Terkini

Beli Rak:Tidak ada perjanjian ditandatangani antara Kementerian Pelancongan atau LPPM dengan syarikat pembekal Leo Communications Sdn Bhd (LCSB)

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati pembelian 1,000 unit rak risalah Tahun Melawat Malaysia 2007 bernilai RM1.95 juta, telah dibuat secara rundingan terus tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.


Menurut laporan itu, perolehan tersebut dibuat oleh Pejabat Menteri Pelancongan dan pembayaran oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM).


Dalam Audit terhadap LPPM itu, didapati tidak ada perjanjian ditandatangani antara Kementerian Pelancongan atau LPPM dengan syarikat pembekal Leo Communications Sdn Bhd (LCSB), dan ia menyebabkan spesifikasi bekalan dan tempoh penghantaran tidak ditetapkan.


Laporan itu menyebut pihak Audit tidak dapat mengesahkan sama ada pengedaran rak risalah diedarkan sepenuhnya dengan disertakan risalah pelancongan.


Pihak Audit dalam laporan itu berpendapat Jawatankuasa Penyiasat perlu ditubuhkan bagi menentukan sama ada terdapat ketidakpatuhan peraturan kewangan dan juga unsur penyelewengan dalam pembelian rak risalah tersebut.


Laporan itu, bagaimanapun, dimaklumkan LPPM bahawa Kementerian Kewangan telah meluluskan pembayaran bagi 773 unit rak bernilai RM1.51 juta pada 18 Mac lepas dan pihak Kementerian Pelancongan mengeluarkan arahan mengingatkan pegawai berkenaan untuk mematuhi peraturan kewangan kerajaan.


Laporan itu juga mendapati pemasangan papan iklan di Indonesia tidak mengambil kira ulasan Pengarah Tourism Malaysia di Indonesia berhubung cadangan lokasi yang kurang sesuai.


Semakan Audit juga mendapati lima pemasangan papan iklan berjumlah RM3.64 juta di Medan, Surabaya dan Jakarta bagi tempoh setahun yang dibina pada 27 Jan 2009 telah dibuat secara rundingan terus tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.


Pihak Audit berpendapat LPPM perlu melaksanakan perolehan papan iklan mengikut peraturan yang ditetapkan bagi memastikan harga yang diperoleh adalah kompetitif dan mendapat nilai yang berbaloi, selain memastikan lokasi yang dipilih adalah sesuai.


Lawatan Audit di sekitar Johor Bharu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Lembah Klang juga mendapati pemasangan papan iklan dilakukan di tempat yang tidak strategik, ada yang runtuh dan tidak dipasang lampu. - BERNAMA

0 Response to "Beli Rak:Tidak ada perjanjian ditandatangani antara Kementerian Pelancongan atau LPPM dengan syarikat pembekal Leo Communications Sdn Bhd (LCSB)"

Post a Comment