Majlis yang dihadiri oleh lebih 2,000 peserta adalah terdiri daripada para Mufti seluruh negara, Ketua Hakim Syarie, ahli Panel Kajian Syariah, dan ahli Panel Kajian Akidah Jakim, ahli panel dari Bahagian Hub Halal Jakim dan para imam seluruh negara.
Ustaz Abu Bakar Hussian menyifatkan peluang ini haruslah digunakan dengan sebaiknya dalam usaha menegur pihak pemerintah tentang mana yang betul dan mana yang salah. Para Ulama’ haruslah membantu sebagai ‘check and balance’ kepada pihak pemerintah dan bukan sekadar mengampu untuk menjaga kerjaya masing-masing.
Beliau turut menceritakan bagaimana 4 Imam Mazhab yakni Imam Hanafi,Imam Malik,Imam Hambali dan Imam Shafie yang masing-masing menerima ujian apabila mengatakan yang haq di hadapan pemerintah. Imam Abu Hanifah sebagai contoh, pernah disogok dengan wang dan wanita, dan beliau juga pernah dipenjara kerana mengkritik fatwa yang dikeluarkan oleh ulama kerajaan.
Tambah beliau lagi,Allah SWT menemplak golongan ulama’ yang menyeleweng fungsi mereka di dalam surah At Taubah ayat ke-9 :
Mereka menukarkan ayat-ayat Allah Dengan harga Yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari agama Allah; Sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan.
“Contoh lain yang kita boleh ambil adalah kisah ‘Izzuddin Bin Abdul Salam yang mendapat gelaran Sultan Ulama’ atas ketegasan dan keberanian beliau. Ketegasan beliau terbukti apabila dipecat daripada jawatan Ketua Hakim Mesir kerana fatwa beliau yang bercanggah dengan dasar kerajaan negara Mesir pada waktu itu yang dipimpin oleh Najmuddin Ayyub”, ulas Ustaz Abu Bakar Hussian.
Pesuruhjaya PAS Perak itu turut menggesa kepada para ulama’ untuk tampil ke hadapan dan meyatakan pendirian mereka bilamana hukum Allah SWT dipersendakan, bila maksiat di kalangan belia semakin meruncing dan bila agama Islam tidak lagi diletakkan sebagai solusi terbaik.Dan pendirian in haruslah selari dengan ajaran yang dibawa baginda Rasulullah SAW, dan bukanlah pendirian yang hanya mahu menghalalkan tindakan pemimpin.
Justeru, Pesuruhjaya PAS Perak itu menyatakan bahawa Islam diletakkan sebagai agama rasmi di dalam Perlembagaan Persekutuan dan ianya mempunyai hak yang istimewa dan tidak ada pertikaian untuk dilaksanakan secara syumul. Tinggal lagi, ulama’ dan umara’ harus mengembalikan cara hidup masyarakat ke arah pelaksanaan Islam yang sebenarnya, dan kemudian sistem masyarakat yang harmoni akan terbentuk. Sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang berbunyi :
"Ada dua golongan manusia apabila mereka baik, orang menjadi baik, apabila mereka rosak, orang menjadi rosak: ulama dan umara."
(Hadis riwayat Abu Na'im)
0 Response to "Ulama perlu jadi check and balance-Ustaz Abu Bakar"
Post a Comment