Terkini

Changkat Jering dianaktiri,20 tahun jalan tak pernah diturap.

CHANGKAT JERING - “Setiap kali ditanya, pasti jawapannya tiada peruntukan untuk naik taraf jalan,” kata Ketua Kampung Larut Ulu,(DUN Changkat Jering) Tajei Hussin.

Menurutnya, sampai bila penduduk mahu menunggu jalan diturap semula untuk jaminan keselamatan mereka.

“Terdapat beberapa jalan di kampung ini yang perlu diturap semula kerana tidak pernah diturap sejak lebih 20 tahun lalu,” katanya.

Tajei berkata, setiap tahun, pihak berkenaan masuk ke kampung dan menjalankan kerja menyukat jalan tetapi sehingga kini tiada sebarang perubahan dilakukan.

“Bagaimanapun, apabila ditanya kepada pihak berkenaan mereka memberitahu bahawa tiada peruntukan.

“Takkan setiap tahun berikan jawapan yang sama. Lebih baik mereka tidak masuk untuk menyukat,” katanya.

Beliau berkata, penduduk sering bertanya mengenai hal itu dan dia sendiri tidak tahu apa lagi jawapan yang perlu diberikan.

“Kita selalu baca dalam surat khabar, kerajaan memberikan pelbagai peruntukan tetapi dalam hal ini, kami terpaksa menunggu lama.

“Jika peruntukan diberikan kepada kawasan lain, takkan setiap tahun permohonan kami, jawapannya tiada peruntukan,” katanya.

Katanya, jika dahulu penduduk menggunakan motosikal untuk keluar masuk ke kampung tetapi kini semuanya mempunyai kereta dan jalan sedia ada kini sudah tidak sesuai dilalui.

“Diharap beberapa jalan di kampung ini dapat diturap semula kerana sudah berlubang dan menyukarkan penduduk.

“Setakat ini, belum berlaku kejadian tidak diingini, langkah pencegahan perlu diambil sebelum penduduk ditimpa masalah lain,” katanya.

0 Response to "Changkat Jering dianaktiri,20 tahun jalan tak pernah diturap."

Post a Comment