MATANG – Tiga murid nyaris maut apabila asrama yang mereka diami di
Madrasah Tarbiah Islamiah, di sini terbakar, awal pagi semalam.
Pada kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, tiga murid yang berumur 11 hingga 8 tahun dikatakan sedang tidur di tingkat dua bangunan asrama madrasah berkenaan.
Bagaimanapun, bencana tersebut disedari ketiga-tiga mereka apabila merasai bahang api sebelum bertindak menyelamatkan diri.
Guru besar madrasah berkenaan, Ustaz Hafizul Azizi Abdul Rashid berkata, meskipun agak terkejut dengan insiden itu, pihaknya bersyukur kerana semua mangsa terselamat.
Menurutnya, bangunan asrama yang bernilai hampir RM50,000 itu siap dibina pada November 2010 untuk menempatkan murid lelaki.
“Bagaimanapun, hanya tiga murid berkenaan sahaja tinggal di asrama sementara 67 murid lagi termasuk perempuan yang belajar di madrasah itu tinggal di rumah masing-masing.
“Dua daripada murid berkenaan berusia 11 tahun dan seorang lagi 8 tahun, buat masa ini kita dimaklumkan mereka masih lagi trauma.
“Kini semua mangsa sudahpun dibawa pulang ke rumah keluarga masing-masing iaitu di Ipoh dan Bukit Gantang,” katanya .
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan penempatan baru bagi murid yang tinggal di asrama berkenaan.
Jelasnya, beliau harap selepas ini, semua kembali kepada keadaan asal dan murid berkenaan dapat belajar seperti biasa tanpa dihantui kejadian kebakaran itu.
Difahamkan, insiden itu adalah yang pertama kali berlaku sejak madrasah tersebut ditubuhkan iaitu 25 tahun lalu.
Terdapat individu terlihat api mula marak di bahagian dinding bangunan berkenaan sebelum menjerit meminta penghuni asrama keluar.
Dalam pada itu , Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 1.52 pagi dan sampai ke lokasi kejadian 15 minit kemudian.
Menurutnya, sebanyak tiga jentera dengan kekuatan 11 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kebakaran.
“Api berjaya dikawal dalam masa tujuh minit, bagaimanapun kebakaran tersebut memusnahkan hampir 80 peratus bangunan asrama,” katanya.
Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kejadian dan kerugian yang dialami masih lagi dalam siasatan.
Kepada sesiapa yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan kepada madrasah tersebut dengan menyalurkannya ke akaun Bank Islam 08040010007671 atas nama Madrasah Tarbiah Islamiah.
0 Response to "Matang, Asrama Madrasah Tarbiah Islamiah terbakar."
Post a Comment