SELAMA - Kasih seorang anak, Kamaruddin Mat Radhi, 37, memang tidak dapat dinafikan lagi apabila dia sanggup mendukung ibunya setiap hari kerana tidak boleh bergerak disebabkan sakit tua sejak 10 tahun lalu.
Menurutnya, setiap pagi dia akan mendukung ibunya, Amna Khamis, 79, ke bilik air untuk memandikannya sebelum dia keluar membuat kerja kampung bagi mendapatkan sesuap nasi buat mereka berdua.
“Setiap pagi saya akan memandikan mak dulu, setelah siap makan dan pakai dia, barulah saya keluar bekerja.
“Kesusahan itu bukanlah alasan untuk saya meminggirkan mak yang kini sedang sakit kerana mak adalah insan yang telah menjaga saya semasa kecil” katanya yang tinggal di Kampung Lampin, di sini.
Tambahnya, tugas menjaga ibu sudah menjadi tanggungjawabnya kerana itulah sahaja peluang yang ada untuk dia membalas segala jasa ibu yang membesarkannya.
“Mak adalah segala-galanya untuk saya, inilah masa dan peluang saya membalas segala jasa dan pengorbanannya” katanya .
Tambah Kamaruddin, kehidupan mereka dua beranak agak sukar apabila di rumahnya tidak mempunyai kemudahan tandas yang sempurna.
Bagaimanapun, kehadiran syawal kali ini memberi sinar baru buat mereka sekeluarga apabila Pertubuhan Khairat Assyabab tampil menyumbang bantuan kerusi roda bagi memudahkan rutin harian mereka.
Wakilnya, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Perak, berkesempatan mengunjungi kediaman keluarga berkenaan berkata, bagi pihak NGO itu, bersedia untuk mencari dana khas bagi membina tandas yang sempurna di kediaman itu untuk kemudahan mereka.
“Kedatangan kami kali ini diharapkan dapat meringankan bebanan yang di- tanggung oleh Kamaruddin dan ibunya.
“Bagi mereka yang mahu memberi bantuan, bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Khairat Assyabab bernombor 558211313335,” katanya.
0 Response to "Berat mata Ustaz Akmal tak sama berat bahu Kamaruddin "
Post a Comment