Terkini

PR Perak berpegang pada Buku Jingga- Nizar


IPOH – Pakatan Rakyat (PR) Perak masih berpegang teguh kepada aturan Buku Jingga yang menggariskan rancangan mentadbir negara sekiranya mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sama ada Pas, PKR mahupun DAP, masing-masing tetap dengan pendirian sebelum ini yang akan menjadikan Buku Jingga sebagai rujukan pentadbiran.

“Itu dasar bersama yang telah dipersetujui dalam pentadbiran PR, jadi kita akan merujuk kepada aturan Buku Jingga jika mentadbir negara, soal pelaksanaan hudud atau tidak, ia tidak timbul di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas, fenomena perbincangan isu pelaksanaan hudud yang terus diperkatakan sehingga kini.

Terdahulu, Pengerusi MCA, Datuk Chong Itt Chew menyatakan sokongan bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang Islam itu di negara ini apabila dikatakan hudud tidak melibatkan orang bukan Islam.

Mengulas lanjut, Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri berkata, persoalan pelaksanaan hudud dilihat hanya satu agenda yang ditimbulkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, ia menunjukkan Umno dan BN berada dalam keadaan terdesak dan tersepit dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kita tidak perlu perbesarkan hal ini kerana PR sendiri sudah ada ruang lingkup perjuangannya seperti yang terkandung dalam Buku Jingga sebagai rencana dasar untuk membela kebajikan rakyat,” katanya.

Buku Jingga menggariskan empat kerangka utama iaitu demokrasi yang telus untuk memperkasakan ketuanan rakyat, memacu ekonomi berprestasi tinggi, keadilan sosial bagi menjamin pembangunan menyeluruh dan hubungan persekutuan-negeri dengan dasar luar yang setara.sumber sinar

0 Response to "PR Perak berpegang pada Buku Jingga- Nizar"

Post a Comment