Terkini

Isu WWW1: Kes saman Nizar didengar 10 April


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan dua hari mulai 10 April tahun depan, untuk mendengar kes saman fitnah RM50 juta yang difailkan oleh bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Utusan Melayu (M) Berhad.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya apabila kes itu disebut dengan kehadiran peguam Mohd Fitri Asmuni dan Zamri Ibrahim, yang mewakili Mohammad Nizar, dan Nor Atasha Sakinah Jubaidi Yean, bagi pihak Utusan.
Mohammad Nizar memfailkan saman itu pada 10 Julai lepas berkaitan komen beliau mengenai nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 yang dibida dengan harga RM520,000.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohammad Nizar berkata pada 28 Mei lepas beliau membuat kenyataan mengenai nombor pendaftaran kenderaan itu menerusi akaun Twitternya dan mendakwa pada 31 Mei, Utusan Melayu menerbitkan satu artikel di halaman 11 akhbar Utusan Malaysia mengenai perkara itu.
Mohammad Nizar, iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pasir Panjang, berkata kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud beliau adalah seorang penderhaka terhadap Raja-raja Melayu, terutamanya Sultan Johor, seorang ahli politik yang anti-sultan dan cuba menghasut rakyat supaya membenci Sultan Johor. - Bernama

0 Response to "Isu WWW1: Kes saman Nizar didengar 10 April"

Post a Comment