Terkini

Ayuh pejuang! Kita daki Gunung Semanggol.


oleh  Khirul Muntanazzar:
Dewan Pemuda PAS Pusat dengan kerjasama Ulamak Pelapis PAS (Pusat) akan menganjurkan Xpresi Ulamak Muda bertempat di Markaz PAS Cawangan Gunung Semanggol pada 16 Mac 2013. Program yang julung-julung kali diadakan ini tidak lain adalah bertujuan untuk memugar semangat dan daya juang Ulamak Muda Haraki mendepani ujian getir dalam Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Umum menjangkakan bahawa PRU ke 13 ini adalah yang paling sengit dan genting dalam sejarah pilihanraya di Malaysia. Pastinya ia akan dipenuhi dengan pelbagai rencam dan liku yang menuntut semangat juang dan ketahanan yang sangat tinggi. UMNO dan Barisan Nasional sudah pasti tidak akan berdiam diri begitu sahaja dan akan bertindak lebih agresif untuk mengekalkan kuasa yang berada di hujung tanduk. Wang, media, saraf dan jentera kerajaan akan digunakan semaksima mungkin untuk menggapai hasrat tersebut. Tidak mustahil juga keganasan dan kekacauan akan ditimbulkan untuk menakutkan pengundi agar terus mendokong mereka.

Golongan Ulamak khususnya daripada generasi muda seharusnya memahami akan realiti perjuangan ini. Â Sejarah perjuangan para Nabi dan Rasul yang diteruskan oleh Salafussoleh tidak pernah lekang daripada perancangan jahat pihak musuh. Kapal Nabi Nuh dibuang najis ke dalamnya, Nabi Soleh disembelih untanya, Nabi Zakaria digergaji tubuhnya, Nabi Yahya dipenggal kepalanya dan Nabi Muhammad hampir sahaja dihempapkan dengan batu yang besar di atas kepala. Semua contoh ini memberi erti yang besar dalam makna sebuah perjuangan.

Kemenangan dalam PRU ke 13 menuntut iltizam yang sangat tinggi daripada para Ulamak Muda Haraki. Kejayaan dalam PRU ke 13 menagih kudrat dan tenaga yang optimum daripada generasi pelapis warisan Anbiya'. Kecemerlangan dalam PRU ke 13 mengarah persiapan rohani yang rapi daripada golongan cendikiawan muda Islam. Merekalah yang seharusnya berada di saf hadapan perjuangan mewarisi semangat juang para Nabi dan Rasul menongkah arus kebejatan musuh.

Justeru, Xpresi Ulamak Muda Haraki ini adalah jambatan untuk memperteguhkan saf, meningkatkan ketahanan, mengentalkan jiwa, mengatur strategi, mempersiapkan diri dan mempertautkan rohani kepada Allah.

Ayuh sahabat! Kita banjiri segenap sudut dan ruang dengan lautan Ulamak Muda Haraki, generasi pelapis warisan Anbiya'. Ayuh pejuang! Kita daki Gunung Semanggol bersama semangat dan keringat Ustaz Abu Bakar Bakir. Ayuh Ansarullah! kita kembalikan kegerunan dan ketakutan Dato' Onn terhadap "Bahaya dari Gunung". Inilah tempat ayah-ayah kita bermula dan disinilah kita menyambung rantai-rantai perjuangan mereka.

0 Response to "Ayuh pejuang! Kita daki Gunung Semanggol."

Post a Comment