SHAH ALAM: Polis sedang mengesan individu pertama yang bertanggungjawab menyebarkan gambar mayat pegawai wanita selepas ditembak pengawal keselamatan di sebuah bank di Subang Jaya pada 23 Okt lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan dengan fokus utama mengesan individu pertama yang menyebarkan gambar mangsa sehingga berleluasa di laman sosial.
Beliau berkata polis juga akan menyiasat petugas bank terbabit memandangkan gambar yang disebar adalah dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu.
"Kita masih siasat dari mana asal penyebaran gambar ini malah kita juga sudah ambil rakaman percakapan dua anggota polis. Kita akan lakukan siasatan terperinci," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor Rabu.
Dalam kejadian itu, Norazita Abu Talib, 37, ditembak dengan senjata api jenis 'pump gun' oleh suspek ketika mangsa membuka peti besi di bilik kebal bersama-sama seorang lagi pegawai bank.
Suspek kemudian melarikan sejumlah RM450,000 dari bilik kebal itu.
Rakaman video selama 32 saat, yang dipercayai sedutan CCTV memaparkan insiden itu, juga tersebar di laman sosial.
Bagaimanapun, Mohd Shukri enggan mengulas lanjut berkaitan suspek namun mengesahkan 11 individu, termasuk tiga anggota keluarga lelaki itu, ditahan bagi membantu siasatan setakat ini.
Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/polis-kesan-individu-pertama-sebar-gambar-mangsa-tembak-ambank-24801?cp
0 Response to "Memburu pembunuh pegawai bank nombor satu,bukannya sebar gambar mangsa yang dicari."
Post a Comment