Terkini

Zambry Kadir ,Hospital Seri Manjung tak cukup 9 ambulans.


KUALA LUMPUR: Empat hospital mengalami kekurangan ambulans, sekali gus dikhuatiri menjejaskan perkhidmatan kesihatan khususnya untuk kes kecemasan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Laporan yang dibentang di Dewan Rakyat pada Selasa menyatakan bilangan ambulans sedia ada tidak dapat menampung keperluan operasi, ditambah dengan aspek penyenggaraan yang tidak dipantau secara berkesan.
Semakan audit mendapati Hospital Seri Manjung di Perak kekurangan sembilan ambulans, Hospital Serdang di Selangor (18), Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu (11) dan Hospital Umum Sarawak (16).
Berdasarkan rekod di Bahagian Perkembangan Perubatan, sepanjang tempoh 2010 hingga Ogos 2012, sebanyak 124 ambulans terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan 44 kematian.
Semakan audit mendapati sehingga Disember tahun lepas, 34 kes kemalangan berlaku melibatkan kos pembaikan melebihi RM0.41 juta dibiayai oleh kementerian.
Menurut laporan itu, kementerian menganggarkan perbelanjaan RM64.17 juta bagi tempoh 2010 hingga 2012 untuk penyenggaraan ambulans di semua hospital kementerian yang dilaksanakan oleh syarikat konsensi - Faber Medi-Serve Sdn Bhd, Pantai Medivest Sdn Bhd dan Radicare (M) Sdn Bhd.
Meskipun secara keseluruhannya pengauditan mendapati pengurusan ambulans memuaskan, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian, antaranya pindaan klausa kontrak tidak teratur dan kontrak perolehan lewat ditandatangani antara 21 hingga 157 hari.
Bagi mengatasi kelemahan, Jabatan Audit mengesyorkan tindakan seperti memantau penyelenggaraan ambulans, meningkatkan kerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan kes kemalangan diselesaikan segera, memastikan pindaan syarat perjanjian dibuat dengan teratur dan disemak Peguam Negara atau Penasihat Undang-Undang.
Kementerian Kesihatan perlu memastikan ambulans yang rosak dan terbiar dilupuskan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan ruang dan penurunan nilai berterusan, di samping memastikan setiap ambulans sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Dalam pada itu, semakan audit mendapati dari 2010 hingga 2012, terdapat lebihan perbelanjaan RM24.52 juta pada pengurusan program latihan kejururawatan, dengan RM12.26 juta adalah bagi menampung pemberian elaun kepada jururawat pelatih pada 2010 manakala bakinya adalah pembayaran gaji kepada pegawai dan Kolej Jururawat.
Pengauditan terhadap pengurusan program Latihan Kejururawatan kementerian yang dijalankan antara Jun hingga September tahun lepas didapati memuaskan namun terdapat beberapa kelemahan antaranya kekosongan perjawatan tidak diisi dan lantikan sebagai pengajar tidak mematuhi garis panduan Lembaga Jururawat Malaysia (LJM).
Selain itu, bayaran uniform dan elaun jahit kepada pelatih 'outsourcing' tidak mengikut kontrak, pemberian elaun upah jahit, uniform dan tuntutan perjalanan pelatih tanpa kelulusan pihak berkuasa, kemudahan peralatan dan alat bantuan mengajar usang dan tidak mencukupi.
Bagi mengatasi kelemahan itu, kementerian disyorkan agar mengambil tindakan segera dalam membuat pengagihan atau penempatan tenaga pengajar serta syarat lantikan pengajar perlu seiring di antara ketetapan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dengan LJM bagi memastikan standard kualiti pengajaran sama bagi semua institusi yang menawarkan program jururawat di Malaysia.
Antara lain, perhatian sewajarnya perlu diberikan terhadap kemudahan, peralatan infrastruktur dan prasarana yang disediakan di Kolej Kejururawatan serta mengkaji terma-terma sesuatu kontrak dengan teliti bagi memastikan kepentingan kerajaan dilindungi sebelum kontrak ditandatangani.
Kementerian Kesihatan perlu merangka program kejururawatan yang lebih intensif bagi memastikan penghasilan jururawat memenuhi keperluan kementerian meskipun kekurangan akan ditampung institusi pengajian tinggi swasta. - BERNAMA

0 Response to "Zambry Kadir ,Hospital Seri Manjung tak cukup 9 ambulans."

Post a Comment