Terkini

Bukti MIC gagal bantu orang India.


BANDAR HILIR: Kerajaan perlu merangka 'pelan pembangunan semula masyarakat india' untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat India di negara ini, kata Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel.

Bagi tujuan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM3 bilion yang akan disalurkan untuk tujuan latihan, pendidikan dan pinjaman perniagaan bagi kepentingan komuniti itu.

Katanya, apa yang diperuntukkan kerajaan ketika ini masih tidak mencukupi untuk membolehkan masyarakat India keluar daripada belenggu kemiskinan, dengan ekuitinya masih kekal 1.3 peratus berbanding populasinya sebanyak lapan peratus daripada jumlah 28 juta rakyat negara ini.

Menurutnya, pelan pembangunan semula dengan suntikan besar projek-projek infrastruktur, geran dan dana dijangka akan melonjakkan kaum India dalam pembangunan arus perdana negara.

Palanivel yakin pelaburan berdimensi baharu itu pasti akan membuahkan kesan berganda sekali gus mampu menyelesaikan masalah pendidikan, agama dan jenayah yang berleluasa di kalangan masyarakat india sejak turun-temurun.

Palanivel berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung MIC kali ke-67 yang diadakan di Hotel Equatorial, di sini hari ini yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, walaupun MIC menghargai sumbangan dan peruntukan kerajaan khusus untuk masyarakat India, misalnya sebanyak RM200 juta dalam Bajet 2014, namun ia hanya 0.08 peratus daripada keseluruhan RM264 bilion Bajet 2014.

Dalam pada itu, Palanivel yang juga menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar juga menarik perhatian 1,500 perwakilan apabila meminta kerajaan mengembalikan 'sistem kuota' dalam menentukan kemasukan tempat di universiti awam tempatan.

Tegasnya, sistem meritokrasi yang dipraktikan ketika ini menunjukkan kegagalan, di mana mahasiswa India ketika ini hanya seramai 1,742 orang daripada keseluruhan 51,673 mahasiswa di universiti awam yang merupakan kurang daripada dua peratus daripada jumlah keseluruhan mahasiswa tersebut.

Palanivel juga mahukan tawaran kemasukan pelajar India ke kursus matrikulasi sebanyak 1,500 tempat diisi sepenuhnya sebagai menepati janji kerajaan terhadap masyarakat India sebelum ini.

Tambah beliau, masyarakat India terus menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung kegagalan MIC dan kerajaan mengisi tawaran matrikulasi yang dijanjikannya.

Bagi meningkatkan mutu dan prasarana sekolah Tamil, Palanivel memohon kerajaan memperuntukkan dana khas tahunan sebanyak RM12 juta bagi membantu kira-kira 8,000 kanak-kanak di bawah program 'Reach & Teach', dengan mengadakan kelas tambahan pada sebelah petang di sekolah-sekolah Tamil.

Beliau juga mencadangkan supaya latihan vokasional ditawarkan kepada masyarakat India yang menganggur atau mereka yang tidak mempunyai sebarang kemahiran.

Dalam usaha untuk memenangi kepercayaan dan kehendak masyarakat India, MIC kini menuju dimensi baharu dengan penampilan lebih ramai pemimpin berpendidikan tinggi dan muda.

0 Response to "Bukti MIC gagal bantu orang India."

Post a Comment