Terkini

"Saya juga takut kemurkaan Allah"-Hakim Mahkamah Pilihan Raya.

Ipoh-Mahkamah Pilihan Raya di sini menolak permohonan pempetisyen supaya hakim yang mendengar perbicaraan petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubok Merbau menarik diri daripada mendengar kes itu.
Hakim Abdul Rahman Sebli semasa membuat keputusan itu berkata adalah tidak wajar Mohd Ridzuan Hasif mengemukakan permohonan itu kerana keputusan yang dibuat pada prosiding terdahulu iaitu pada Ogos lepas adalah berlandaskan tafsiran undang-undang yang berkaitan.
"Mengenai pertimbangannya (pempetisyen) kata saya tidak akan berlaku adil, sebagai orang Islam saya juga takut kepada kemurkaan Allah kalau saya bertindak demikian. Saya berjanji untuk berlaku seadil-adilnya pada beliau," katanya.
Terdahulu, Mohd Ridzuan memohon kepada mahkamah supaya Abdul Rahman menarik diri bagi mengelak berlakunya berat sebelah dalam perbicaraan petisyen itu dan meminta dia dibenarkan untuk mewakili dirinya dalam perbicaraan itu.  
"Saya mahu keadilan...sekiranya Yang Arif menarik diri, integriti Yang Arif dipandang tinggi oleh orang ramai," katanya.
Pada prosiding sebelah petang, peguam yang mewakili responden pertama iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri Lubok Merbau Datuk Siti Salmah Mat Jusak, yang diketuai Datuk Firoz Hussein Ahmad dan Abu Bakar As Sidiq mengemukakan empat alasan utama dalam bantahan awal mereka mengapa petisyen itu perlu ditolak.
Firoz Hussein berkata Seksyen 35 (A) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengkehendaki semua perbicaraan petisyen pilihan raya perlu dilakukan tidak lewat daripada tempoh enam bulan selepas difailkan.
"Mengikut peruntukan tersebut tarikh luput bidang kuasa mahkamah ini ialah pada 11 Disember tahun lepas. Begitu juga tarikh petisyen ini difailkan telah lewat 10 hari dari tarikh  yang sepatutnya kerana mengikut Seksyen 38 akta sama ia perlu dibuat dalam tempoh 28 hari dari tarikh 5 Mei 2013 sedangkan petisyen ini difailkan pada 12 Jun," katanya.
Abu Bakar pula berkata kandungan petisyen tersebut juga tidak diperincikan dan dinyatakan dengan jelas termasuk kesalahan rasuah yang didakwa selain pemberi dan penerima wang berkenaan.
"Timbul kekeliruan amat besar apabila dalam akaun penerimaan petisyen itu ia telah ditandatangani oleh orang lain iaitu Misbahul Munir Masduki sedangkan petisyen itu difailkan Mohd Ridzuan. Ini menimbulkan kekeliruan kepada responden kemungkinan wujud dua petisyen," katanya.
Hakim Abdul Rahman menetapkan esok untuk sambung perbicaraan.
Petisyen itu difailkan bagi membatalkan keputusan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas.
Siti Salmah yang mengalahkan calon PAS Mohd Zainudin Mohd Yusof dengan majoriti 53 undi bagi kerusi itu dinamakan sebagai responden pertama, responden kedua ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan responden ketiga, Pengawai Pengurus Pilihan Raya DUN Lubok Merbau Abdul Halim Hamed.
Pada 23 Dis lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh dan DUN Lubok Merbau diremit semula ke mahkamah pilihan raya untuk mendengar merit kes selepas membenarkan rayuan petisyen pilihan raya yang difailkan pembangkang. - Bernama, 9 Januari, 2014.

0 Response to ""Saya juga takut kemurkaan Allah"-Hakim Mahkamah Pilihan Raya."

Post a Comment