Terkini

Isu hudud, UMNO permainkan PAS-Ahmad Awang.

Calon presiden PAS, Ahmad Awang mempertikaikan keikhlasan Umno dalam menyokong hasrat Kelantan melaksanakan hudud di negeri pantai timur itu, mengatakan ia merupakan permainan politik parti Melayu itu.

Ahli politik veteran itu percaya, ketiadaan rang undang-undang persendirian PAS dalam aturan urusan mesyuarat sepanjang 2 minggu Dewan Rakyat bersidang sejak 18 Mei lalu, membuktikan Umno mempermainkan mereka.

"Dalam sidang Parlimen yang lepas, usul ini dikatakan akan dibincang dalam sidang kali ini. Tetapi sehingga sekarang, ia tidak ada pun. Saya yakin, kita berjaya dipermainkan Umno," kata Ahmad kepada The Malaysian Insider.

 Sebelum ini, pada mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 yang berakhir pada 9 April, alasan yang diberikan ialah banyak rang undang-undang perlu diutamakan.

Ia menyebabkan rang undang-undang persendirian yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu terpaksa diletakkan di hujung sekali, dan akhirnya tidak sempat dibincangkan.

"Kali ini pula, kerana ada Rancangan Malaysia ke-11. Kesudahannya, langsung tiada dalam jadual," kata Ahmad yang menduga rancangan 5 tahun itu mungkin dijadikan alasan untuk sekali lagi rang undang-undang itu tidak berjaya dibentangkan.

"Ada yang kata, speaker memaklumkan, atas arahan perdana menteri, rang undang-undang persendirian ini tidak boleh dibawa,” katanya.

Katanya, keadaan itu mungkin juga berkaitan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah dan Sarawak yang tidak senang dengan tindakan Kelantan dan lantang bersuara menentang pelaksanaan hudud.

"Kesimpulannya, (sokongan kepada) hudud ini hanya permainan politik Umno dan tujuan politik, bukan untuk dilaksanakan," kata Ahmad.

Bekas naib presiden PAS itu berkata, jika benar-benar ikhlas dalam isu hudud ini, wakil rakyat Umno sendiri perlu membawa cadangan pindaan  Rang Undang-undang itu.(SumberMI)


0 Response to "Isu hudud, UMNO permainkan PAS-Ahmad Awang."

Post a Comment