Terkini

Harapan Baru akan bertemu rakyat dari Perlis hingga Sabah-Mat Sabu

KENYATAAN AKHBAR SEMPENA PELANCARAN GERAKAN HARAPAN BARU (HARAPAN BARU)

Tarikh : 13 Julai 2015
Tempat : Hotel Vistana, Kuala Lumpur

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.

1. Perkembangan mutakhir negara sangat meresahkan. Kenaikan harga barang akibat cukai GST serta kejatuhan nilai ringgit terus menekan dan menghimpit kehidupan rakyat. Pada masa yang sama kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu, ketepuan daya-saing negara serta ramalan harga minyak mentah yang terus menjunam bakal mengancam penarafan negara sekaligus menjadikan Malaysia tidak berdaya-saing sebagai destinasi pelaburan. Skandal penyelewengan urusniaga serta hutang 1-MDB dan terkini pembabitan Perdana Menteri dengan 'embezzlement' atau 'salahguna dana awam' berbilion ringgit meletakkan Malaysia menghampiri kedudukan liga "Negara Gagal" atau 'A Failed State'.

2. UMNO dan Barisan Nasional sudah tidak lagi berupaya memimpin dan menjamin kesejahteraan rakyat dalam negara ini. Gelombang kebangkitan rakyat menuntut perubahan semakin memuncak. Tuntutan perubahan ini merentasi semua kaum, jantina, bandar dan luar bandar, golongan miskin dan sederhana, muda dan tua, yang berkerja mahu pun mahasiswa. Anak-anak muda semakin lantang dan menonjol lantas bangkit mewakili suara hati-nurani rakyat. Negara sangat mendambakan perubahan untuk mempastikan masa depan rakyat yang lebih terjamin, makmur, sejahtera dan aman.

3. Kehadiran Pakatan Rakyat sejak dua penggal parlimen yang lalu telah merubah suasana politik tanahair. Pakatan Rakyat telah menampilkan suasana perimbangan kuasa dan prinsip semak-imbang yang berkesan dalam tata-order politik negara. Sekaligus saingan Pakatan Rakyat telah menamatkan monopoli kuasa hegemoni Umno-BN serta mengembalikan keadilan dan membela rakyat. Ini menyelamatkan negara dari segala kerosakan, kebobrokan dan penyelewengan amanah penguasa politik Barisan Nasional.

4. Kini Pakatan Rakyat tidak lagi dapat berfungsi seperti dahulu. Sangat malang bahawa dalam susunan kini, hanya kerjasama longgar dalam pentadbiran negeri Selangor dan Pulau Pinang dapat dilakukan. Kedudukan ini telah menjejaskan agenda memimpin gerakan kebangkitan rakyat untuk terus melakarkan perubahan besar dalam negara.

5. Hari ini, kami ingin mengumumkan penubuhan satu entiti dan wadah yang kami namakan sebagai Gerakan Harapan Baru atau singkatannya HARAPAN BARU yang bertujuan untuk menggerakkan semula kerjasama parti-parti politik, NGO dan rakyat. HARAPAN BARU akan mengasaskan satu penubuhan parti politik baru yang berteraskan Islam bagi mencapai matlamat tersebut.

6. HARAPAN BARU akan mendukungi Islam yang syumul dengan pendekatan yang Inklusif, progresif dan peduli kepada rakyat. Kami komited untuk membawa tawaran Islam yang sebenar-benarnya "Rahmat untuk Semua" dalam memberi pembelaan dan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kami mendokong nilai-nilai demokratik (musyawwarah-rundingan) dalam sebuah negara demokrasi yang subur dan berfungsi serta menghormati kedudukan semua kaum, agama dan budaya, dalam sebuah politik yang mengiktiraf kewujudan kemajmukan dan kepelbagaian (Politik Li Ta'arafu) dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

7. Politik Islam yang kami bawa akan memberi penekanan dalam soal akhlak, moraliti dan amanah dalam tadbir-urus pemerintahan serta interaksi dengan semua pihak. Disamping menekankan pegangan akidah yang teguh, kami juga mendukungi keluasan syariat Islam dan Maqasid Syariah(Tujuan-Matlamat Syariat Islam). Islam yang diperjuangkan bukannya di dalam bentuk slogan, emosi dan sentimen tetapi sebagai satu tawaran "Rahmat dan Keadilan" yang memberi kesejahteraan untuk rakyat dan menjamin kemakmuran negara.

8. HARAPAN BARU akan tampil bertemu rakyat dari Perlis hingga ke Sabah bermula pada akhir bulan Julai hingga akhir Ogos untuk berinteraksi dengan rakyat dan menjelaskan tawaran yang disediakan. Kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan gerakan ini bagi pembentukan semula kerjasama dan muafakat politik sebagai penerusan legasi perjuangan pemimpin terdahulu seperti Al-Marhum Tuan Guru Yusof Rawa, Al-Marhum Ust Fadhil Mohd Noor dan Al-Marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menjayakan usaha penubuhan Pakatan Rakyat 2.0.

Sekian. Wassalam.

Mohamad Bin Sabu

Pengerusi
GERAKAN HARAPAN BARU


0 Response to "Harapan Baru akan bertemu rakyat dari Perlis hingga Sabah-Mat Sabu"

Post a Comment