Terkini

PTPTN dikurangkan, mulai 5 November, pelajar miskin tanggung sengsara.

KUALA LUMPUR - Jumlah pembiayaan baharu Perbadanan TabungPendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dikurangkan sebanyak lima peratus dan 15 peratus untuk pelajar Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mulai 1 November.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Perhubungan Strategik PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata bagaimanapun, jumlah pembiayaan pelajar ijazah Sarjana Muda Perubatan di IPTS dikekalkan dan tidak mengalami sebarang pengurangan kerana yuran pengajiannya yang tinggi.

Katanya, penyelarasan itu dibuat berikutan kekangan dana PTPTN bagi menampung penambahan 50,000 peminjam baharu untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) bermula November ini.

"Satu daripada punca kekangan dana PTPTN adalah peminjam liat untuk membayar balik pinjaman mereka selepas tamat pengajian.

"Bagaimanapun, pelaksanaan penyelarasan ini telah dinyatakan dalam pekeliling PTPTN Bilangan 1 tahun 2014 yang telah dimaklumkan kepada semua IPTA dan IPTS di seluruh negara pada 29 Oktober lalu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mastura juga berkata, pihaknya juga telah melaksanakan kaedah penggunaan data Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai kaedah tapisan bagi menentukan kelayakan jumlah pembiayaan bagi semua peminjam baharu.

"Jika data peminjam atau ibu bapa disenaraikan sebagai penerima BR1M, mereka akan menerima pembiayaan maksimum PTPTN.

"Bagi bukan penerima BR1M, sebanyak 75 peratus pembiayaan akan diberikan kepada keluarga yang pendapatannya tidak melebihi RM8,000 dan 50 peratus untuk pendapatan bulanan keluarga pelajar melebihi RM8,000," katanya.

Katanya, dalam usaha memastikan kelestarian PTPTN, kempen-kempen kesedaran, insentif bayaran balik dan tindakan penguatkuasaan telah dijalankan secara berterusan bagi meningkatkan prestasi bayaran balik pembiayaan.

"Selain itu, tindakan pengurangan perbelanjaan juga perlu dilaksanakan oleh PTPTN berasaskan kedudukan kewangan semasa," katanya. - Bernama

0 Response to "PTPTN dikurangkan, mulai 5 November, pelajar miskin tanggung sengsara."

Post a Comment