Terkini

Haji Hadi , siapa pengkhianat?

Oleh Khalid  Samad.

ULASAN Saya sebenarnya amat tidak berminat untuk berbalah dengan PAS. Tetapi malangnya di sebalik kepincangan pentadbiran negara, isu perkauman yang semakin meruncing, isu 1MDB dan sebagainya; PAS kelihatan bagaikan tidak mampu bercakap mengenai perkara lain selain mengenai parti Amanah Negara. Kami terus difitnah dan digelar dengan gelaran yang menghina.

Dan apabila Presiden PAS sendiri mula menggelar AMANAH sebagai “pengkhianat”, maka kami perlu menjawab. Dalam masa terdekat ini saya akan turut menjawab fitnahnya bahawa kami mahu jadikan PAS parti sekular dan sebagainya.

Walaupun adalah lebih wajar sekiranya PAS menumpukan pada usaha menjatuhkan Umno, tetapi memusnahkan AMANAH telah menjadi keutamaannya pada ketika ini.

Siapa pengkhianat?

Saya membaca dengan penuh tekun laporan The Malaysian Insider berhubung satu ucapan oleh Hadi Awang, presiden PAS. Beliau dilaporkan berkata bahawa PAS tidak boleh bekerjasama dengan parti Amanah Negara yang beliau sifatkan sebagai “pengkhianat kepada perjuangan PAS”.

Beliau turut dilaporkan sebagai berkata, PAS bersedia bekerjasama dengan pihak lawan, namun tidak dengan pengkhianat.

Video ucapan presiden PAS ini telah turut disebar melalui FB dan WhatsApp oleh ahli PAS dan amat jelas sikap tegas beliau akan menjadi alasan untuk PAS tidak menyertai gabungan baru.

Saya turut menjangkakan bahawa kemungkinan besar AMANAH akan dipersalahkan kerana PAS tidak bersama dalam pembentukan Pakatan baru. Walhal, pada hakikatnya, presiden sudah tidak berminat dengan Pakatan dan lebih berminat untuk bekerjasama dengan pihak lawan.

Yang menjadi sedikit aneh pada saya adalah apabila sikap tegas dan tiada kompromi terhadap “pengkhianat” ini tidak mampu menghalang presiden PAS untuk mengkhianati Pakatan. Dan ini dilakukan beliau bukan sekali tetapi berulang kali.

Amat pelik bagi saya apabila seseorang mengutuk dan mengkritik sikap tertentu tetapi apabila dirinya sendiri melakukannya, terhadap rakan-rakannya sendiri, ianya seolah-olah tidak mengapa. Adakah ianya hanya satu kesalahan apabila PAS “dikhianati”, tetapi tidak mengapa untuk PAS mengkhianati?

Adakah mungkin presiden PAS telah lupa mengenai peristiwa Kota Damansara? Di mana persetujuan telah tercapai di setiap peringkat sama ada kawasan, negeri dan pusat, bahawa itu adalah kerusi PKR?

Atas desakan tertentu, maka dibenarkan menantunya meletakkan rakannya sebagai calon PAS. Dan akhirnya calon Umno/BN menang hasil dari pengkhianatan PAS. Tidakkah itu satu pengkhianatan?

0 Response to "Haji Hadi , siapa pengkhianat?"

Post a Comment