MALAYSIA AMANAH KITA

MALAYSIA AMANAH KITA
Terkini

Haji Hadi,tuduh Marxis dan pil kuda, bukankah itu khianat?

Oleh Khalid Samad

Tuduh Marxis, pil kuda

Atau ianya hanya khianat apabila PAS yang dilukai? Tetapi apabila ianya dilakukan oleh PAS maka ianya bukan pengkhianatan kerana khianat hanya boleh berlaku terhadap PAS?

Begitu juga dengan kata-kata kesat beliau terhadap calon PKR Kota Damansara yang diucapkannya sewenang-wenangnya, menghukum Dr Nasir sebagai manusia yang “mempertuhankan Marx”?

Sedangkan, Hadi tidak pernah berjumpa dan berbincang dengan Dr Nasir. Tidakkah itu juga satu pengkhianatan? Sudah pasti kata-kata sebegitu telah menyumbang kepada kemenangan Umno/BN dan kekalahan PKR.

Sepertimana juga dengan tuduhan liar “pil kuda” tanpa dibawanya saksi ataupun bukti tetapi main cakap ikut sedap mulut semata-mata. Sedangkan PKR itu rakan. Bukankah meluahkan tuduhan sebegitu di khalayak umum juga satu pengkhianatan?


Saya tidak mahu menceritakan setiap satu peristiwa pengkhianatan yang telah berlaku terhadap rakan-rakan dalam PR. Tetapi ini sekadar untuk membuka mata mereka yang dengan mudah hendak menuduh orang lain “pengkhianat” seolah-olah diri mereka bersih dan bebas dari apa-apa salah laku.

Kesemua tindakan khianat ini terhadap rakan PR telah ditegur dan cuba diperbetulkan tetapi akhirnya kami pula dituduh lebih PR dari PAS. Walhal, usaha membetulkan perjalanan PAS adalah untuk kepentingan PAS. Namun, apakan daya kerana PAS dianggap boleh buat sesuka hatinya atas alasan bahawa dirinya sebuah parti Islam.

Tetapi usaha khianat yang terbesar yang tidak boleh dilupakan ialah apabila presiden PAS dengan sedar dan sengaja, bersekongkol dengan Umno untuk pertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor semasa krisis yang lalu.

Penubuhan kerajaan PAS-Umno

Melalui tindakan beliau, Khalid Ibrahim telah memecat semua exco PKR dan DAP. Kerajaan PAS-Umno dengan dipimpin Khalid telah berkuasa di Selangor untuk tempoh melebihi seminggu.

Akhirnya kerajaan PAS-Umno yang dipimpin Khalid itu telah dijatuhkan apabila dua ADUN PAS menyatakan mereka tidak menyokong beliau sebagai MB. Mereka berdua telah menandatangani Surat akuan bersumpah menyokong Datuk Seri Wan Azizah sebagai MB bersama 28 ADUN yang lain dari PKR dan DAP.

Kemarahan presiden PAS begitu memuncak sehingga semasa muktamar PAS ke 59 beberapa bulan selepas itu beliau keluarkan tuduhan adanya “broker dan barua” serta tuduhan dua ADUN dibeli tanpa mengemukakan sebarang bukti mahu pun saksi.

Presiden PAS marah kerana ‘dikhianati’ 2 ADUN tersebut tetapi dia tidak nampak pengkhianatan yang telah dia sendiri lakukan terhadap PR dan pengundi Selangor.

Tidak memadai dengan itu, sebagai tindak balas, presiden PAS menawarkan kepada Azmin Ali jawatan MB sekiranya beliau masuk PAS bersama dua atau tiga ADUN PKR yang lain.

Ini akan dilakukan setelah Khalid Ibrahim memegang jawatan MB terlebih dahulu untuk tempoh enam bulan. Adalah jelas bahawa PAS akan hanya mampu mengekalkan Khalid Ibrahim sebagai MB untuk tempoh enam bulan dan menggantikannya dengan Azmin Ali sekiranya usaha PAS ini disokong Umno.

Ini kerana PAS hanya mempunyai 13 kerusi (tanpa dua ADUN yang pasti tidak akan sokong). Sekiranya dicampur dengan Khalid Ibrahim dan Azmin bersama tiga lagi ADUN PKR, jumlahnya hanya 18 kerusi ADUN.

Namun, mereka memerlukan 29 kerusi untuk membentuk kerajaan. Sudah pasti kekurangan ini tidak akan ditampung oleh PKR atau DAP. Maka ianya akan ditampung oleh Umno yang menguassai 12 kerusi DUN.

Sekiranya kerjasama tidak boleh diadakan dengan “pengkhianat” maka sudah pasti, pertama sekali, tidak boleh diadakan kerjasama adalah dengan PAS.

Bagi kami dalam AMANAH, kami dianggap pengkhianat kepada PAS kerana menentang pengkhianatan PAS terhadap PR. Yang menentang pengkhianatan dianggap pengkhianat dan yang mempertahankan pengkhianatan dianggap penyelamat.

Dengan sikap sebegitu, tidak salah untuk ditanya adakah masih ada tempat lagi bagi PAS dalam politik masa depan negara?

0 Response to "Haji Hadi,tuduh Marxis dan pil kuda, bukankah itu khianat?"

Post a Comment