Anggota Dewan Undangan Negeri Aulong daripada DAP, Leow Thye Yih hari ini memfailkan saman pemula terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Seri S K Devamany dan kerajaan negeri Perak berhubung penggantungannya daripada sidang DUN selama sebulan dari 1 April lepas.
Saman pemula itu difailkan oleh Leow di pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di Ipoh pada jam 3.27 petang melalui Tetuan Leong & Tan.
Mengikut pernyataan tuntutannya, Leow mendakwa penggantungannya yang diputuskan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak adalah tidak sah dan 'ultra vires' selain tidak mematuhi Perintah Tetap 72 dan 78 Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Beliau memohon antara lain deklarasi bahawa penggantungan gajinya termasuk elaun dan tuntutan bagi tempoh 1 April hingga 30 April tidak mengikut peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Leow juga memohon deklarasi bahawa beliau berhak kepada semua saraan dan lain-lain elaun dan/ataupun manfaat yang diberikan kepadanya di bawah Perkara XXXVID Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menurut Enakmen Anggota Pentadbiran dan Dewan Negeri (Saraan) 1980.
Leow turut menuntut kos dan relif lain yang ditentukan wajar dan sesuai oleh mahkamah
0 Response to "YB DAP , saman pemula Speaker Dun Perak."
Post a Comment