Terkini

Ustaz Idris Ahmad, bacalah pandangan Dr Mujahid tentang Akta 355.

CADANGAN PINDAAN AKTA 355 DARIPADA PERSPEKTIF AHLI LEGISLATIF: SATU PENDAPAT

Muqaddimah

Berbagai pihak melontarkan pandangan yang sinis dan tidak kurang mencaci dalam satu laporan yang keluar di Sinar Harian pada 5 September baru-baru ini. Laporan itu ialah berkenaan kenyataan saya yang menegur Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri ekoran rencana yang ditulis dalam Bayan Linnas terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertajuk “Isu Cadangan Pindaan Akta 355: Satu Pendapat”. Kenyataan saya itu adalah melalui perbualan telefon dalam soal-jawab yang diajukan oleh salah seorang wartawan Sinar Harian yang menghubungi saya.

Pertama sekali saya memohon maaf jika laporan itu menyinggung pihak tertentu, khususnya SS Datuk Mufti namun biarlah saya jelaskan disini bahawa gaya pelaporan itu adalah di luar kawalan saya, apa yang penting ialah semangat dari intisari kenyataan itu sebagai pandangan saya kepada kenyataan bahawa ‘Ahli Parlimen Muslim Wajib Menyokong’ yang saya anggap mempunyai implikasi berbeza berbanding penulisan orang awam atau NGO yang lain. 

Niat kenyataan saya bertujuan semata-mata memberi pandangan atas isu teknikal dan pentadbiran yang ada kena mengena dengan kedudukan saya sebagai ahli legislatif dan kedudukan SS Datuk Mufti dalam pentadbiran agama. Tidak ada niat untuk memandang rendah institusi mufti jauh sekali menghina ulama tetapi di atas kedudukan Mufti sebagai sebahagian daripada pentadbir agama.

Saya menganggap teguran saya sebagai penggubal undang-undang ada asasnya kerana yang diminta ‘wajib menyokong’ itu adalah saya dan saya terpanggil untuk menyatakan pandangan saya sebagai respons kepada kenyataan ‘wajib sokong’ pindaan 355 itu dalam artikel SS Datuk Mufti. Saya juga mengambil kira bahawa yang mengeluarkan artikel itu adalah Pejabat Mufti yang tertakluk dengan prosedur pentadbiran dan kerana itu saya mengambil inisiatif untuk menjelaskan keadaan tentang gesaan ‘wajib sokong’ dari perspektif ahli penggubal undang-undang negara.

Saya tidak menyatakan saya tidak akan menyokong usul pindaan 355 kerana ia masih jauh untuk saya berbuat demikian pada tahap ini mahupun sikap saya akan menyokongnya, tetapi saya merakamkan kekesalan saya pada artikel tersebut yang menyatakan pendirian awal tanpa mengambil kira keperluan usul pindaan tersebut diperincikan, dibahas dan diperbaiki seolah-olah SS Datuk Mufti telah berpuas hati hanya dengan teks usul semata-mata. Kaedah ini bagi kami Ahli Parlimen agak pelik kerana kami dilantik oleh rakyat untuk berbahas, meneliti dan melihat implikasi lebih besar pada kerangka perlembagaan yang kami bersumpah untuk mempertahankannya. Sebagai pentadbir agama, prosedur ini perlu difahami dengan jelas. 

Saya sama sekali tidak mempertikaikan semua keperluan yang disebut dari sudut Maqasid dan keperluan Taqnin undang-undang, itu bukan isunya tetapi artikel itu dilihat mendahului perbahasan sedangkan Ahli Parlimen Marang sebagai pembawa usul belum pun lagi membahaskan dan memperincikan hujah-hujahnya dalam dewan parlimen yang mulia di hadapan 222 Ahli Parlimen Malaysia. Jika gesaan itu datang secara individu mahupun NGO, mahupun orang politik, kami menganggap ianya perkara biasa tetapi sebagai pentadbir dan penasihat agama rasmi, saya menganggapnya sebagai luar biasa kerana kami sendiri belum mengetahui perincian apa yang hendak disokong.

Sekali lagi saya memohon maaf kerana kurang bersetuju cara SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan membuat rumusan awal yang akan saya terangkan di bawah nanti implikasinya kepada ‘kehangatan’ tajuk ini kepada orang awam yang terdiri dari mereka yang sokong atau tidak menyokong. Saya hanya bertindak sebagai Ahli Parlimen Muslim yang perlu membuat penjelasan kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebagai sebahagian pentadbiran agama, posisi dan sikap saya dari sudut teknikal dan pentadbiran demokrasi berparlimen supaya tidak mudah kita membuat satu rumusan tanpa menelitinya terlebih dahulu.

Perspektif Berbeza

Setiap kita mempunyai perspektif berbeza dalam sesuatu isu walaupun pada dasarnya kita berkemungkinan berkongsi satu persetujuan asas boleh yang disepakati. Premis ini melahirkan kepelbagaian pandangan dan pendapat yang rohnya tidak lari dari kesepakatan dasar yang dipersetujui bersama. Apabila kita boleh menerima premis ini sebagai tajuk perbahasan maka perbezaan pandangan adalah sesuatu yang biasa, malah bersepakat pada satu keadaan yang sememangnya terdedah kepada perbagai perspektif adalah sesuatu yang mustahil. 

Sheikh Dr Ahmad Ar-Raisuni ketika ditanya mengenai kepelbagaian organisasi Islam, kenapa tidak dapat disatukan sahaja? Beliau menjawab setelah menggambarkan hanya pada zaman Nabi kesatuan secara ideal wujud, bahawa:

“Kaum Muslimin dalam mana-mana masa tidak pernah berada atas hanya satu sahaja mazhab atau kelompok mahupun satu Jamaah, kepelbagaian ini ternampak jelas dalam sejarah umat Islam dengan adanya kelompok Ansar dan Muhajirin, dikalangan Ansar adanya Aus dan Khazraj kemudian adanya kelompok Syiah, Khawarij, Ahlu Sunnah dan Murj’ah, kemudian lahirnya berbagai mazhab fiqah dan pengikutnya, begitu juga kelompok tarikat Suffiah sehinggalah hari ini dalam rupanya yang baru iaitu adanya berbagai organisasi dan Jamaah Islam. Hakikat ini secara khusus tidaklah keluar dari Islam dan tidak juga keluar dari tabiaat manusia bahkan ianya adalah hakikat tabiat manusia..”terj (Ahmad Ar Raisuni: (2014) Al Harakah Al Islamiyah Al Maghribiyah, Su’ud am Uful, ms 34, Darul Al Kalimah Mesir)

Apa yang perlu dipelihara ialah jauhi sebarang bentuk perpecahan, permusuhan dan kebencian, tidak mungkin kita semua berada pada hanya satu pandangan sahaja. Hakikatnya keadaan berbagai pandangan ini tidak terelak tetapi yang perlu dielak ialah permusuhan dan kebencian hanya kerana pandangan yang berbeza-beza. Disiplin ilmu mengendalikan perbezaan ini terkenal dalam Islam sebagai Fiqh Al-Khilaf. Malah kerana keprihatinan ulama kita kepada disiplin ini maka ilmu Fiqh Amali berkembang dengan perubahan zaman dan gaya hidup manusia yang kerana kekalnya suasana kondusif kepelbagaian. 

Umat akan terbantut perkembangannya jika kejumudan terhadap satu pandangan mengambil alih norma kehidupan umat Islam. Solah Shawi (2002,ms 18-20) merakamkan dalam bukunya Prinsip-Prinsip Gerakan Dakwah Yang Mutlak Dan Yang Relatif (terj), bahawa dalam kategori perbezaan pendapat, salah satu kategori iaitu ikhtilaf tanawu’ yang dijelaskan sebagai pemahaman kepada dalil syara’ yang memiliki keragaman hukum dan tidak bertentangan antara satu sama lain kerana adanya dalil kebenaran. 

Saya ingin menambah satu lagi sebab perspektif yang berbeza ialah dengan melihat posisi seseorang dalam menilai sesuatu isu boleh menyumbang kepada perbezaan pandangan. Sudut penilaian terhadap sesuatu isu juga melihat kepada konteks khusus diperkatakan walaupun konteks umum mereka tidak berbeza pandangan. 

Tulisan saya ini adalah atas kesedaran di atas dan menganggap isu RUU 355 dan perdebatannya berdiri atas premis ini bahawa pandangan-pandangan yang dikeluarkan berlaku atas berbagai perspektif dan atas posisi mereka yang memberikan pandangan. Pada waktu yang sama, tulisan ini cuba menjauhkan diri dari berdebat dengan golongan Busata’ (golongan terlalu memudahkan sesuatu atau simple minded mentality) yang mahu dunia ini berjalan dalam mode Hitam atau Putih. Mereka golongan Busata’ mudah menjadi mangsa keadaan dan terperangkap dalam jerangkap minda sendiri lantas melembapkan minda berfikir secara Progresif dan membudayakan kejumudan.

Menjawab Tulisan SS Mufti Wilayah Persekutuan

Saya amat gembira sekali kerana Mufti Wilayah Persekutuan SS Datuk Dr Zulkifli Bin Mohamad Al Bakri dalam Bayan Linnas no. 67 menulis artikel berkenaan RUU 355 dengan meletakkan tajuknya sebagai “Satu Pendapat”. Ini bermakna ianya hanya satu pendapat yang boleh dikritik dan diperdebatkan. Saya yakin dengan keilmuan SS Datuk Dr Zulkifli Al Bakri yang banyak menyumbang idea-idea Islam yang kontemporari dan semasa, sebagaimana saya yakin dengan penerimaan beliau terhadap premis awal yang saya utarakan bahawa kita boleh berbeza dalam hal-hal yang terdedah perspektif masing-masing khusus pada membuat perkiraan Maalatul Afa’al atau kesan dan akibat daripada sesuatu keputusan atau tindakan yang dibuat. 

Saya juga berterima kasih kepada keprihatinan SS Mufti Wilayah kerana melihat RUU 355 ini sebagai satu hak dan berhujahkan dalam kerangka perlembagaan malah memberi pandangan terhadap kebimbangan non-muslim dalam isu ini. Syabas dan tahniah kepada usaha murni ini dan bagi memperhebatkan budaya intelektualisme yang sihat dan bukan bersikap paranoia, saya Ahli Parlimen Malaysia Dr Mujahid Yusof Rawa ingin menyambut tulisan SS Dato’ Mufti Wilayah Persekutuan dengan beberapa pandangan dari perspektif legislatif untuk memberi keadilan kepada budaya kepelbagaian pendapat yang menjadi mercutanda ketamadunan kita.

Konteks Umum Yang Disepakati

Saya mulakan dengan banyak perkara yang saya sependapat tanpa bangkangan dalam tulisan SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan. Dalam bahagian ‘Beberapa Noktah Penting’ ada tujuh fakta yang dikemukakan menegakkan beberapa asas kepada perbincangan selanjutnya seputar RUU 355. Tidak ada mana-mana Muslim yang cintakan Keadilan dan meyakini Syariat Islam boleh menolak isi kandungan dalam ‘Beberapa Noktah Penting’ yang dinukilkan. 

Saya tertarik kepada fakta keenam iaitu Sikap Toleransi Umat Islam di bawah 9 ciri utama bermula dengan al Karamah al Insaniyah (kemuliaan manusia) hingga ke Man’u Fasad (mencegah keburukan). Inilah yang saya perjuangkan selama ini, ketika ramai yang memilih jalan kebencian antara agama, saya memilih jalan berdialog, ketika suara pengikut agama lain tidak diperjuangkan haknya, saya menyatakan haknya atas premis saya sebagai ahli legaslatif negara. Ketika ramai ahli politik memilih nuansa perkauman saya mengasaskan pergerakana anti perkauman, malah saya diberi kepercayaan oleh Jabatan Perdana Menteri untuk duduk sebagai anggota Majlis Perpaduan dan Konsultasi Negara (MPKN) menyediakan Pelan Induk Perpaduan Negara. Selaku pengerusi undang-undang dan polisi, saya ditugaskan untuk menderaf undang-undang keharmonian nasional yang asasnya adalah untuk memastikan kesaksamaan dan tiada diskriminasi, memperundangkan jenayah kebencian dan menubuhkan Suruhunjaya Rekonsiliasi dan Keharmonian Nasional. Semua yang disebutkan dalam bahagian tersebut tulisan SS Datuk Mufti menjadi sebahagian daripada perjuangan saya selama ini dan terimakasih kerana menyebut panduan asasnya dalam suasana sebahagian budaya masyarakat hari ini yang bernuansakan rasis dan berfikiran sempit dalam hal agama.

Saya sebagai rakyat Malaysia yang mahu menegakkan keadilan merentas semua kaum dan agama amat bersetuju jika asas ini boleh dijadikan panduan umum bukan sahaja sebagai pemula perbincangan RUU 355 sahaja tetapi perlu diperluaskan sebagai struktur asas untuk membina landasan politik negara yang hari ini yang memerlukan satu rombakan semula. Khususnya dalam tajuk Maqasid/Tujuan Perlaksanaan Hukum Syariah, di ms 19, petikan dari Prof. Dr. Jasser Auda menyatakan:

“Oleh itu, pendekatan maqasid boleh mengangkat isu-isu fiqh ke satu landasan falsafah yang lebih tinggi bagi menangani perbezaan perbezaan bersifat sejarah , sekitar politik antara mazhab Islam dan menggalakkan satu budaya yang diperlukan iaitu kehidupan bersama yang harmoni (al-ta’ayush al-silmi) dan saling memperbaiki (al-tasalih) yang kita amat memerlukannya sekarang ini”

Saranan Prof. Dr. Jasser Auda yang dihujahkan oleh SS Datuk Mufti perlu juga menjadi panduan kepada kemelut politik hari ini yang menuju kepada kediktatoran dengan penggubalan undang-undang lain seperti MKN (Akta Majlis Keselamatan Negara), Akta Hasutan, Akta Kesalahan Keselamatan Langkah Khas atau (SOSMA) serta salah guna kuasa oleh pemimpin politik tertinggi negara bagi melindungi jenayah kleptokrasi yang satu dunia mengetahuinya. Saya menyarankan landasan Maqasid yang dipetik dari tulisan tentang RUU 355 diperluaskan mesejnya kepada kemelut negara yang dihadapi hari ini agar memberi keadilan kepada kehendak umum tujuan Maqasid diperjuangkan. 

Malah saya mengharapkan perbahasan kami di Parlimen selama ini bagi menentang salahguna akta oleh pemerintah turut disokong oleh SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan dalam tulisannya yang lain nanti dalam Bayan Linnas supaya dapat juga mendapat tasawwur dan mafhum yang jelas suasana pergolakan politik negara yang sedang berlaku hari ini dari perspektif intelektual. Hujahan Maqasid bukan sahaja dipakai untuk akta yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam sahaja seperti 355, tetapi ia bertujuan untuk Karamatul Insan dan Kehidupan yang harmoni dan seimbang bagi mengelakan kefasadan dan kerosakan. Ini penting supaya Maqasid tidak bersifat selektif dalam memperjuangkan keadilan untuk semua. 

  

70. Dan Sesungguhnya Telah kami muliakan anak-anak Adam, kami angkut mereka di daratan dan di lautan, kami beri mereka rezki dari yang baik-baik dan kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang Sempurna atas kebanyakan makhluk yang Telah kami ciptakan. (Al-Isra’)

Pemerkasaan Mahkamah Syariah 

Saya yakin kesepakatan kita sebagai rakyat Malaysia walaupun dari posisi yang berbeza tidak akan meminggirkan mana-mana aspek yang menjadi kepentingan orang ramai, apatah lagi ianya diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Bukan sahaja orang Islam tetapi bukan Islam perlu mengiktirafi Mahkamah Syariah sebagai entiti perundangan yang diberikan keabsahannya oleh Perlembagaan Persekutuan. 

Sejarah panjang perjalanan Mahkamah Syariah sehinggalah dalam bentuknya hari ini boleh dianggap sebagai satu perjuangan setelah disisihkan dan dikesampingkan oleh penjajah. Mercutanda pengiktirafan dan kewibawaan Mahkamah Syariah ialah apabila pindaan 121(1A) tahun 1988 dibuat sekaligus meletakkan garis pemisah hitam putih antara kuasa Mahkamah Syariah dan Sivil dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun menurut Dr Aziz Bari pakar perlembagaan persekutuan, kedudukan Mahkamah Syariah secara tidak langsung sebelum ini telahpun diiktirafi tanpa 121(1A) melalui Perkara 145 yang menyatakan Peguam Negara tidak ada kuasa dalam Mahkamah Syariah, Mahkamah Tentera dan Mahkamah Anak Negeri. Selain daripada itu menurut Dr Aziz Bari lagi, Perlembagaan Persekutuan menyebut soal Mahkamah Syariah dalam jadual ke-9 bawah kuasa-kuasa perundangan dalam senarai negeri.

Pemerkasaan Syariah amat diperlukan dan saya sebagai rakyat Malaysia dan ahli legislatif amat prihatin agar perjalanan panjang ini diteruskan kerana selain dari pengiktirafan dan kewibawaan keputusan-keputusan Mahkamah Syariah, aspek pentadbiran, sumber manusia dan professionalism pegawai dan hakim-hakimnya masih lagi memerlukan penambahbaikan dan pemerkasaan.

Maksud Pemerkasaan Mahkamah Syariah

RUU 355 tidak boleh dipandang dari sisi berasingan dari kemampuan Mahkamah Syariah secara menyeluruh untuk menampung peningkatan kuasa hukuman yang diberikan melalui RUU 355 ini. Saya ingin berkongsi masalah yang perlu difikirkan sama penting dengan usul Ahli Parlimen Marang yang diminta oleh SS Mufti Wilayah ‘wajib’ MP Muslim menyokongnya. Makna pemerkasaan tidak boleh disempitkan dengan meningkatkan hukuman semata-mata tanpa melihat kelompongan-kelompongan pentadbiran perundangan Mahkamah Syariah yang perlu diutamakan sebelum perlu kami MP Muslim ‘wajib’ menyokong usul 355 ini. Saya yakin bahawa titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menggesa supaya “…memperkukuhkan Institusi agama dan kecekapan perlaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah Syariah…” tidak hanya kepada meningkat hukuman tetapi juga dalam berbagai aspek pentadbiran. Antara lainnya maksud pemerkasaan ialah;

1. Masalah bidangkuasa bukan sahaja persoalan tingkatkan hukuman, tetapi juga bidangkuasa bermakna perlunya Mahkamah Syariah melihat dalam kes bukan Islam yang terlibat sama dalam tuntutan seperti jika salah seorang pasangan memeluk Islam kes cerai tidak diputuskan oleh Mahkamah Syariah tetapi oleh Sivil dalam Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian ) 1976. Ini termasuk isu Hadhanah (hak penjagaan anak) dimana pasangan yang tidak memeluk Islam boleh membawa kes ke Mahkamah Sivil walaupun pasangannya telahpun memeluk Islam. Bukankah berlaku konflik dalam menentukan sesuatu keputusan perundangan lantas menggangu keadilan yang menjadi teras perundangan Islam khususnya? Jadi meningkatkan bidang kuasa bukan sahaja dalam meningkatkan hukuman tetapi juga bidangkuasa bagi menentukan keputusan yang ada kepentingan Islam dan bukan Islam bagi memberi keadilan yang saksama dan bukan bertindih. Begitu juga soal pasangan jenayah, jika berlaku antara Islam dan bukan Islam dalam kesalahan zina atau khalwat, hukuman di Mahkamah Syariah hanya melibatkan pasangan Islam sahaja dan rakan jenayahnya yang bukan Islam terlepas dari bidangkuasa Mahkamah Syariah. (lihat Musa Awang: Dimanakah Kita dalam Pemantapan Pentadbiran Keadilan jenayah Syariah? Ms 68 dalam 27 Kanun (1), Jan 2015)

2. Bidangkuasa Mahkamah Syariah selain peningkatan hukuman juga bererti menyelesaikan isu pertindihan antara Sivil dan Syariah yang kadang-kadang menimbulkan campurtangan Mahkamah Sivil hanya kerana tiada peruntukan jelas sedangkan ia merupakan permasalahan syariah. Kes menentukan agama bagi seseorang yang telah mati seperti kes Dalip Kaur lwn Pegawai Polis Daerah Bukit Mertajam, kes Sukma Dermawan Sasmitaat Madja lwn Ketua Pengarah Penjara yang memilih Mahkamah Syariah kerana jenayah yang didakwa bertindih antara Kanun Keseksaan dan Jenayah Syariah. (lihat Zulkifli Hasan dalam kertas bertajuk Isu Undang-Undang Jenayah Islam Di Malaysia Dan Sejauh Manakah Perlaksanaannya)

3. Mempertingkatkan bidangkuasa Mahkamah Syariah juga bermakna perlu ditingkatkan hirarki Mahkamah Syariah yang hari ini hanya ada tiga peringkat iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Raya Syariah berbanding dengan Mahkamah Sivil yang ada 5 peringkat masing-masing Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Tanpa peningkatan ini ruang bagi menuntut keadilan dalam Mahkamah Syariah dilihat tidak selari dengan sivil sekaligus menimbulkan persepsi terhadap keadilan Islam. Walaupun di peringkat perbahasan Parlimen sejak 2010 dan 2013 Menteri di JPM menyebut ada usaha peningkatan ini iaitu mengadakan Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tengah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Majlis Rayuan Syariah, hingga kini tiada apa-apa hasil yang nyata lagi. (Musa Awang, opp.cit) 

4. Selain itu peningkatan hukuman bererti bebanan tugas kepada hakim-hakim dan pegawai perundangan yang akan mengendalikan laporan-laporan kes. Ini termasuk pentadbiran keadilan perlu lebih cekap dan kemaskini dalam memastikan keadilan tertegak dengan lebih telus dan bertanggungjawab. Namun jika kita lihat taraf perjawatan hakim mahkamah syariah dan pegawai-pegawainya masih ketinggalan berbanding dengan perjawatan dalam Mahkamah Sivil. Selain dari skim perkhidmatan guna sama di bawah penyeliaan JKSM, hakim mahkamah syariah dibawah penjawat awam negeri. Berbeza dengan perlantikan hakim mahkamah sivil, hakim mahkamah tinggi ke atas dilantik atas kuasa Akta Suruhanjaya Perlantikan kehakiman 2009 (akta 695) pada peringkat persekutuan. Jaminan penjawatan hakim di Mahkamah Syariah tertakluk pada prosedur perkhidmatan awam, berbanding dengan jaminan perjawatan hakim di mahkamah sivil yang tertakluk pada Akta Saraan Hakim 1971 (akta 45).

5. Dari sudut gaji, hakim mahkamah Syariah jauh lebih rendah berbanding dengan mahkamah yang menikmati gaji dua kali ganda, tidak termasuk elaun lain. Menurut Dr Mohd Naim Mokhtar Ketua Hakim Mahkamah Syarie dalam kenyataannya di Utusan Malaysia 22 April 2015, Hakim Mahkamah Syariah menerima gaji mendengar kes penjagaan anak menerima gaji RM 6,000 manakala hakim mahkamah sivil yang mendengar kes yang sama menikmati gaji RM 40,000. Saya amat yakin aspek ini perlu diberi tumpuan sama dengan peningkatan bidangkuasa hukuman, jika tidak pemerkesaan akan menjadi tempang.

6. Sudut ketidakseragaman undang-undang sering mendapat perhatian para pengkaji dan ahli legaslatif, ini adalah kerana undang-undang Enakmen Jenayah Syaria duduk di bawah kuasa negeri yang menjadi penggubal mengikut kuasa yang diperuntukkan dalam senarai Negeri dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Hatta nama pada enakmen tersebut disebut berlainan dan undang-undang disetiap negeri juga berbeza dari sudut hukumannya pada jenayah yang sama. Ini memandangkan kuasa menggubal enakmen adalah dalam kuasa negeri dan setiap negeri ada penafsirannya tersendiri. (lihat Masalah kelemahan Mahkamah Syariah Yang Diperkatakan Oleh Masyarakat dan Penyelesaiannya (2009) dalam mahir al-hujah.blogspot.my) Bagaimana keadaan yang ada hari ini menjamin bahawa usul MP Marang dapat menyelesaikan permasalahan ini jika sekadar meningkatkan hukuman?

7. Selain daripada itu timbul juga masalah penguatkuasaan baik dari segi tenaga mahupun dari segi teknikal di kalangan PPA (Pegawai Penguatkuasa Agama). Menurut Musa Awang nisbah seorang penguatkuasa berbanding dengan 17.8 juta penduduk Melayu beragama Islam ialah 1: 24184 orang. Peningkatan jumlah pendaftaran kes jenayah syariah di seluruh negara menunjukkan perlunya lebih ramai PPA yang cekap dan efisyen selain kekurangan tenaga PPA wanita. Oleh kerana pentadbiran keadilan jenayah syariah perlu menekankan keadilan dan keberkesanan dalam perlaksanaannya, pegawainya juga perlulah terlatih dan celik undang-undang. Setakat ini kesalahan khalwat mendominasi statistik jenayah syariah dan berkemungkinan besar penguatkuasaan jenayah lain syariah PPA dan penguatkuasaan yang berkesa jarang berlaku berlaku kerana kekurangan tenaga dan professionalism PPA.

Sebahagian dari rumusan permasalahan Mahkamah Syariah yang dipaparkan dapat memberi gambaran betapa pemerkasaan Mahkamah Syariah tidak terhad hanya kepada melihat teks usul Marang tentang RUU355 semata-mata dan justeru itu saya sebagai ahli legislatif Muslim tidak mudah menentukan sokongan tanpa berbahas panjang lebar dahulu kerana ini adalah peluang terbaik untuk isu sebenar mahkamah syariah digarap dengan berkesan. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, tiada asas untuk kami menetapkan sikap sekarang tanpa Ahli Parlimen Marang sebagai pembawa usul menjelaskan terlebih dahulu apa yang beliau inginkan dari usul ini di hadapan semua penggubal undang-undang seramai 222 orang. 

Maaf Saya Berbeza Pandangan

Setelah menjelaskan apa isu sebenar yang melanda Mahkamah Syariah dan erti pemerkasaan yang dimaksudkan, saya akan memulakan di bahagian ini perkara-perkara yang membezakan pendirian saya dengan SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan dalam pendapat yang diberikan berkenaan isu pindaan 355 oleh Marang. Perbezaan yang saya maksudkan bukan tentang samada saya sokong atau tidak usul pindaan 355 oleh Ahli Parlimen Marang tetapi perbezaan memahami proses perbahasan demokrasi berparlimen dan implikasi perundangan serta politik kerana posisi saya sebagai ahli legislatif.

1. Usul MP Marang agak unik kerana ia berjaya diterima untuk pembentangan sebagai aturan mesyuarat yang tersenarai ke 15 pada sesi selepas rehat. Laluan diberikan oleh Menteri dengan membelakangkan semua urusan kerajaan pada 26 Jun 2016 Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke 13-2016. Keadaan dan cara bagaimana MP Marang dapat membentang usul ini menimbulkan tandatanya di kalangan kerusi pembangkang kerana parameter apakah YDP Dewan menganggap ianya satu usul penting kerana usul sebelum ini yang cuba dibawa oleh pembangkang dalam hal lain sering ditolak atas sebab ianya tidak memenuhi ketiga-tiga kriteria, iaitu ianya satu isu, ianya ada kepentingan awam dan ianya perlu disegerakan. Selalunya kriteria perlu ‘disegerakan’ tidak dapat dipenuhi oleh pembawa usul dari pembangkang. Dalam peraturan 49 Rang Undang-Undang yang bukan kerajaan yang hendak diusulkan lebih ketat kerana segala urusan kerajaan didahulukan dan selalunya urusan kerajaan tidak akan habis malah ditangguh pada sesi seterusnya. Bagi prosedur parlimen kes pembentangan RUU secara peribadi bukan kerajaan oleh MP Marang menimbulkan berbagai persoalan daripada jawapan. 

2. Apa yang menarik dalam usul MP Marang pada hari tersebut ialah, beliau menangguhkan ruang perbahasan dengan permintaannya sendiri pada sesi akan datang (iaitu pada Oktober 2016 ini). Penangguhan perbahasan permintaan pembawa usul adalah sesuatu yang agak ganjil kerana beberapa usul pembangkang yang pernah diizinkan atas peraturan usul dimaklumkan lebih awal untuk persediaan perbahasan pada sesi tersebut tetapi Marang secara sukarela menolak untuk dibahas pada hari tersebut. Tergantungnya usul Marang atas kehendaknya sendiri bermula dari 26hb Jun 2016 hingga sesi Oktober (lebih kurang 4 bulan) menimbulkan tandatanya malah menimbulkan berbagai kekeliruan dan polemik yang tidak produktif kepada persepsi terhadap Mahkamah Syariah. Saya tidak dapat lari dari menganggap tindakan ini telah diambil peluang sebagai satu ‘free ride’ untuk diambil kesempatan pembawa agenda sempit negara mencapai maksud licik politik mereka atas nama Islam dan Mahkamah Syariah. Bagi saya ia amat malang sekali.

3. Menarik kerana SS Datuk Mufti Wilayah ‘mewajibkan’ MP Muslim menyokong usul ini sedangkan kami sebagai MP Muslim tidak tahu apa yang akan kami sokong kecuali teks usul yang berbaris 5 dan dua butiran pindaan kepada seksyen 2 (5 baris) dan tambahan seksyen 2A (5 baris). Tiada penjelasan dan perincian dari pembawa usul ini. Tidak tahulah saya jika kami diminta sokong ‘buta-tuli’ sedangkan budaya intelektualism yang disarankan oleh Datuk Mufti dalam muqadimah artikelnya menyatakan tentang intelektualism ini. 

4. Mana-mana usul akan diikuti dengan ruang untuk perbahasan setelah pembawa usul membentangkannya dan menjelaskannya secara lisan. Mewajibkan MP Muslim menyokong usul Marang seolah menafikan hak berbahas secara bebas seperti diperuntukkan dalam aturan dan peraturan parlimen sedangkan semasa perbahasan itu banyak perkara teknikal perundangan dan kesannya jika tidak diperhalusi boleh menjejaskan perjalanan Mahkamah Syariah dalam usaha untuk memperkasakannya. Sokong atau tidak terpulang kepada implikasi perundangan secara keseluruhan setelah dibahas untuk mengelak mudharat yang lebih besar jika tergesa-gesa menyokongnya walaupun dengan niat yang baik begitu juga sebaliknya jika menolak tanpa meneliti dan mendengarnya dahulu. Ruang kosong ini perlu diberi kepada kami MP Muslim dan non Muslim sebelum apa-apa keputusan dibuat agar ruang perbahasan secara demokrasi mengambil tempatnya terlebih dahulu.

5. Saya menganggap usul Marang ini adalah persoalan teknikal undang-undang walaupun melibatkan entiti sebuah Mahkamah Syariah, malah semasa Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2013 dibentangkan ada beberapa ADUN Kedah dari pembangkang tidak menyokong dan mereka terdiri dari orang Islam, apakah ini bermakna mereka tidak memahami maqasid dan keperluan taqnin undang-undang jenayah Islam? Saya harap kita tidak semudah itu membuat kenyataan ‘wajib’ sokong kerana implikasinya amat mengelirukan antara isu teknikal perundangan dan isu dosa-pahala. SS Datuk Mufti seharusnya menasihati awam agar mencermati isu perundangan dan proses serta prosedurnya yang akan berlaku dalam institusi penggubal undang-undang negara agar tidak terheret kepada sentimen dan emosi apatah lagi dalam isu pentadbiran agama. Saya sering mengulangi prinsip bahawa mengkritik pentadbiran dan urusan agama bukan mengkritik prinsip doktrin keagamaan yang menjadi pegangan umat Islam. Kita harus membezakan antara keduanya agar institusi dan pentadbiran agama senantiasa dapat diperbaiki dari semasa ke semasa dan pegangan agama melalui pendidikan dan dakwah dipertingkatkan.

6. SS Datuk Mufti Wilayah telah menyatakan pendapatnya agar ‘wajib’ MP Muslim menyokong usul Marang tentang pindaan 355, namun sedarkah Datok Mufti berpandukan kepada teks usul yang dikemukan oleh Marang dalam Parlimen berpotensi membawa beberapa implikasi serius kepada perlembagaan negara itu sendiri, iaitu;

a. Meluaskan apa sahaja kuasa Mahkamah Syariah untuk melaksanakan apa sahaja bentuk hukuman yang ditetapkan oleh undang-undang syariah kecuali hukuman mati.
b. Tidak menetapkan had kepada jumlah hukuman (denda,sebat atau penjara) yang boleh dikenakan sebagai hukuman oleh Mahkamah Syariah,
c. Tidak menetapkan kaedah hukuman (kecuali mati) yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah ke atas pesalah dan ini bermakna hukuman yang dikenakan tidak terhad kepada hukuman denda, penjara dan sebat sahaja.

Dalam kanun keseksaan sendiri setiap hukuman itu dihadkan dan hakim tidak boleh menjatuhkan hukuman melebihi had yang telah ditetapkan. Tanpa penelitian rapi usul Marang boleh membawa kepada persepsi lain dari sudut doktrin perundangan negara dan berpotensi menjadi masalah walaupun dengan niat yang baik. Dengan tidak menghadkan hukuman dan jenis hukumkan menurut usul Marang, ada kemungkinan ianya dicabar di dalam mahkamah dan keabsahan pindaan akan dipersoalkan, bolehkah saya menyokong sesuatu yang akan mencacatkan perjalanan Mahkamah Syariah?
  
7. Banyak pihak menggunakan isu pindaan 355 ini untuk membuat penjelasan mereka sendiri walaupun Marang belum mendedahkan penjelasannya di hadapan 222 Ahli Parlimen Malaysia lagi. Saya memerhatikan sentimen menguasai keadaan, walaupun ada yang bersifat objektif namun cara perkara ini dipersembahkan kepada awam oleh kelompok tertentu khususnya dari pihak yang diwakili golongan ‘mode hitam-putih’ lebih bersifat ‘memaksa’ melalui kaedah menghukum dan mengkafirkan sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan berbeza. Saya mengharapkan pihak Mufti sensitif dan prihatin kepada ‘cara’ isu ini dibawa pihak tertentu dan ‘reaksi’ yang ditimbulkan dan tidak mengambil pendekatan ‘menyemarakkan’ dengan membuat sikap menyokong tanpa melihat implikasi kepada ‘kehangatan’ isu ini dikalangan pihak yang sempit pemikirannya. Bukankah Mufti itu yang terbijak hikmahnya menangani keadaan?

Saya telah mengemukan pandangan saya yang agak berbeza dengan SS Datok Mufti atas kapasiti saya sebagai ahli legislatif negara dalam isu Pindaan RUU 355 oleh YB Marang. Saya menyanjung keprihatinan SS Datuk Mufti dan saya menganggap penjelasan tulisan ini dapat melengkapkan tasawwur SS Datuk Mufti tentang isu ini dari perspektif berbeza. Jangan salah tanggap bahawa saya tidak menghormati kedudukan SS Datuk sebagai Mufti dan keilmuan serta kewarakan Datuk. 

Saya serahkan segala kebaikan dalam diri SS Datuk Mufti untuk dinilai oleh Allah, tetapi dalam hal pentadbiran dunia, Islam mengajar kita untuk mencapai Maslahah sebagai sebahagian matlamat Syariah dan kerana Maslahah mempunyai berbagai dimensi, kita dituntut bersikap objektif dan professional. Sekali lagi saya jelaskan bahawa tulisan ini tidak ada kena mengena dengan memperlekehkan ulamak dan institusinya, tulisan ini bersifat pentadbiran dan Institusi Mufti sebahagiannya adalah tentang pentadbiran. 

Saya juga yakin bahawa selagi mana perkara ini berada dalam ruang awam untuk dibahaskan, setiap apa yang dipersembahkan kepada awam sepatutnya boleh dinilai, dikritik dan diberi pandangan barulah semangat Bayan Linnas lebih bersemarak.

Semoga tulisan SS Datuk Mufti Wilayah boleh menjadi input kepada kami sebagai bahan perbahasan nanti. Saya dan rakan-rakan dari Parti Amanah Negara telah berusaha untuk mengadakan diskusi meja bulat sejak dua bulan yang lalu untuk kami mendengar pandangan awam, NGO, Muslim dan Non Muslim serta pihak berkepentingan. Kami juga menyertai wacana awam anjuran NGO lain agar kami dapat mendidik orang ramai kaedah dan cara sesuatu perundangan itu dibuat dalam proses demokrasi berparlimen termasuk perundangan dalam isu pemerkasaan Mahkamah Syariah. Semoga niat baik kita terhasil dengan natijah yang baik juga, sehingga itu saya menanti pembentangan Ahli Parlimen Marang dan usul pindaan 355 dengan penuh debar dan harapan agar ia menjadi sesuatu yang baik untuk negara ini.

Dato’ Dr Mujahid Bin Haji Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia

8 September 2016

5 Responses to "Ustaz Idris Ahmad, bacalah pandangan Dr Mujahid tentang Akta 355."

  1. Alhamdulillah YB penjelasan yang ilmiah dan bernas namun YB bukan saja ahli legislatif tetapi seorang muslim yang perlu memartabatkan Islam pada setiap kesempatan. Kalaulah hujah Dan tindakan YB boleh meningkatkan Islam silakan tetapi umum melihat kenyataan awal YB sebagai sesuatu yang kurang sesuai atas kapasiti YB sebagai pejuang Islam.

    ReplyDelete
  2. knp perlu minta maaf krn menyatakan kebenaran? sebaliknya.

    elok mufti senyap selagi tidak berani kritik tentang 1mdb.

    ReplyDelete
  3. satu penjelasan yang sangat bernas tanpa unsur emosional, inilah yang kita mahukan sifat menerang secara ilmiah dan berfakta serta penggunaan kata yang jelas sedalam-dalamnya. Tidak kira mana2 ahli parlimen bak dari pembangkang, AMANAH,DAP,PAS atau pun BN, semua ahli parlimen mempunyai daya pemikiran sebagai pemimpin yang berwibawa serta matang dalam tindakan dah penghujahan. Ia selaras sebagai wakil rakyat yang dilantik rakyat dalam menjalankan tanggungjawab awam. Saya ucapkan syabas kepada Dato Dr Mujahid di atas penjelasan ini tanpa dibalut emosi melampau dan menegur secara ilmiah lagi membina.

    ReplyDelete