Terkini

Jangan takut tolak UMNO.

JANGAN TAKUT MENOLAK UMNO

Apa yang menyedihkan masih berlaku di kalangan orang Melayu ialah ketakutan untuk menolak UMNO dan seolah-olah suatu dosa besar jika berbuat demikian.

Selalunya hujah yang digunakan ialah kerana UMNO begitu berjasa kepada orang Melayu, bukan saja dalam memerdekakan negara, malah juga dalam menaik taraf kehidupan dari segi ekonomi, sosial, pendidikan, perumahan dan sebagainya.

Bagi mereka ini, UMNO wajib terus dipertahankan dan diberi undi setiap kali pilihanraya diadakan disebabkan jasa-jasa silamnya itu.

Tidaklah dinafikan jasa dan sumbangan besar UMNO selama ini, tetapi semua itu berlaku kerana kebetulan ia memegang kuasa. Jika parti lain yang memegang kuasa sejak merdeka, mereka juga akan melakukan perkara yang serupa kepada rakyat sebagaimana yang dilakukan oleh UMNO.

Lihat saja pelbagai parti di negara-negara lain yang turut melakukan banyak kebaikan untuk rakyat masing-masing. Mereka melakukan demikian kerana itulah tanggungjawab kerajaan kepada rakyat setelah mendapat kuasa dan memperolehi pendapatan melalui pelbagai cukai yang dikenakan.

Dalam erti kata lain, bukan UMNO saja yang berbuat jasa dan melakukan kebaikan seperti menuntut kemerdekaan, menaiktaraf kehidupan dari segi ekonomi, sosial, pendidikan, perumahan dan sebagainya yang merupakan keperluan hidup semua manusia. Ia adalah tugas dan tanggungjawab normal mana-mana parti di dunia ini.

Sementara kita mengakui jasa dan sumbangan UMNO, kita juga tidak harus menutup kata dan pemikiran bahawa tidak ada parti lain yang mampu berbuat lebih baik daripada itu.

UMNO berbuat banyak kebaikan selama ini banyak difaktorkan kerana ia mempunyai pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Mahathir serta ramai pemimpin lapisan kedua lainnya.

UMNO mulai rosak ketika era Tun Abdullah Badawi dan bertambah teruk kerosakannya ketika dipimpin oleh Najib Razak. Ketika inilah bermulanya perkara-perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini seperti penguasaan keluarga, bermewah, membazir, mengumpul kekayaan melampau, suka melihat angka besar dalam akaun bank peribadi dan bermacam lagi karut-marut yang lain.

Di era Najib, ia sudah dikira mencapai tahap kemuncaknya. Jika sebelum ini, onar dan permasalahan seperti yang berlaku sekarang hanya kita baca atau saksikan pernah berlaku di negara-negara Arab atau di Filipina ketika era Marcoz dan Indonesia semasa pemerintahan Suharto, kini segala-galanya sudah berlaku di depan mata kita sendiri.

Tidak sekadar itu, malah ruang untuk menukar Najib melalui proses dalaman UMNO atau menegakkan keadilan turut tertutup rapat apabila Peguam Negara ditukarkan secara tiba-tiba dalam suatu tindakan yang menimbulkan kesangsian kepada seluruh dunia.

Dalam keadaan sekarang, hanya proses pilihanraya satu-satunya peluang yang tinggal untuk menyingkirkan Najib. Tetapi, mahu tidak mahu ia mesti disekalikan dengan menumbangkan UMNO.

Terus memberi undi dan kemenangan kepada UMNO bermakna memberi peluang kepada Najib untuk terus berkuasa dan mungkin menimbulkan lebih banyak masalah kepada rakyat dan negara di masa depan.

Dengan itu, orang Melayu tidak perlu terus bernostalgia dengan segala jasa dan sumbangan UMNO selama ini, sebaliknya harus lebih memikirkan keperluan masa depan anak cucu dan pewaris masa negara. Jasa dan sumbangan masa lalu hanyalah kenang-kenangan, tetapi yang boleh membuatkan mereka bernafas dengan lebih baik ialah harapan masa depan.

UMNO yang dipimpin Najib tidak mampu lagi memberi harapan kepada rakyat dan orang Melayu. Najib dalam tempoh tujuh tahun berkuasa terbukti lebih mengutamakan diri, keluarga dan kaum kerabatnya semata-mata.

Oleh itu, menolak dan mengalahkan UMNO bukan lagi suatu dosa, bahkan jihad dan pahala yang mampu menamatkan segala keburukan serta kecelaruan dalam negara. Menolak dan mengalahkan UMNO juga memberi harapan lebih baik untuk masa depan rakyat dan negara.

Dosa besar sebaliknya sudah berpindah kepada sesiapa yang terus mahu mengekalkan kuasa UMNO kerana mempertahankan UMNO bererti memberi nafas lebih panjang kepada segala macam kemungkaran seperti rasuah, kecurian, penyonglapan dan samunan terus berleluasa serta pesalahnya terlepas akan begitu sahaja.

0 Response to "Jangan takut tolak UMNO."

Post a Comment