Terkini

VAN Jenazah, Jamal kena "sound"dengan JAIS

KENYATAAN MEDIA

VAN JENAZAH DIPERGUNAKAN OLEH PIHAK YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

Shah Alam, 15 Februari 2017 (Rabu) – Kenyataan media ini dibuat adalah bagi menjelaskan laporan awal hasil siasatan keterlibatan beberapa van jenazah milik masjid-masjid kariah dalam demonstrasi di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor pada 14 Februari 2017 sekitar jam 10.00 pagi. Demonstrasi ini telah diketuai oleh Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Dato’ Seri Jamal bin Md Yunos.

Siasatan awal yang dijalankan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapati terdapat unsur-unsur memanipulasi dan mengambil kesempatan ke atas pihak pengurusan van jenazah untuk turut sama di dalam demonstrasi tersebut. Pihak JAIS dimaklumkan bahawa terdapat beberapa individu yang mendakwa dari Gabungan NGO Selangor telah menghubungi pihak masjid untuk menyewa van jenazah bagi tujuan antara lain untuk sesi penggambaran, kempen anti judi, pameran dan sebagainya.

Berdasarkan kepada semakan van jenazah yang terlibat, pemilikan van ini terbahagi kepada 4 kategori iaitu:
a. Van jenazah yang dimiliki dan diselia oleh pegawai dan jawatankuasa masjid kariah
b. Van jenazah yang dimiliki dan diselia secara secara swasta atau persendirian
c. Van jenazah yang dimiliki oleh agensi Persekutuan yang disumbangkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP)
d. Van jenazah yang dimiliki oleh Badan Khairat Kematian yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan tidak dikawal oleh masjid kariah.

JAIS amat kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh beberapa individu yang tidak bertanggungjawab kerana telah mengeksploitasi kemudahan masjid bagi tujuan demonstrasi di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor. Selain itu, tindakan beberapa individu ini telah mencemarkan kemuliaan institusi masjid.

Dalam hal ini, JAIS memohon kepada semua ahli jawatankuasa masjid agar lebih berhati-hati di masa hadapan dan menyemak terlebih dahulu program-program yang bakal dilaksanakan oleh mana-mana pihak yang melibatkan institusi masjid agar tidak disalahgunakan lagi pada masa akan datang.
  
Sekian, terima kasih.

DATO’ HARIS BIN KASIM
Pengarah 
Jabatan Agama Islam Selangor

1 Response to "VAN Jenazah, Jamal kena "sound"dengan JAIS"