Terkini

Kerajaan Zambry Kadir patut malu,Perak negeri miskin.

IPOH – Statistik menunjukkan Perak sebagai negeri yang memiliki isi rumah miskin serta miskin tegar kedua tertinggi di Semenanjung Malaysia baru-baru ini disifat mengejutkan.

Timbalan Pengerusi DAP Negeri, V Sivakumar berkata, statistik diperoleh daripada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri itu jelas membuktikan Perak tidak mempunyai pencapaian atau prestasi yang baik khususnya dalam menangani masalah kemiskinan.

Menurutnya, rekod diberikan juga mendapati, tahun lalu terdapat seramai 908 bilangan isi rumah miskin tegar di negeri ini, manakala jumlah isi rumah miskin di Perak iaitu 8,600 orang.

“Kita dapati jumlah ini sangat tinggi berbanding negeri lain dan agak membimbangkan.

"Perbandingan jumlah isi rumah miskin tegar di Malaysia Barat pula menunjukkan Perak mencatatkan peratusan memeranjatkan iaitu sebanyak 16.36 peratus.

“Begitu juga dengan jumlah isi rumah miskin di negeri ini yang mencatat 16.22 peratus daripada jumlah direkodkan untuk keseluruhan Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Berdasarkan statistik sama, Kelantan dikenal pasti memiliki bilangan isi rumah miskin tegar dan miskin paling ramai di Semenanjung Malaysia iaitu seramai 1,048 dan 8,800 orang.

Bagaimanapun, bagi kategori miskin tegar, Perak menduduki tempat kedua iaitu 908 isi rumah diikuti Pahang (720) dan Kedah (644).

Perak juga muncul di tempat kedua bagi kategori miskin dengan mencatatkan 8,600 isi rumah diikuti Kedah (7,400) dan Johor (7,000).

Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah berkata, kerajaan negeri seharusnya mengambil langkah wajar bagi mencapai ‘miskin sifar’ untuk tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, Perak pernah menjadi negeri terkaya dan termasyhur, tetapi malangnya pada hari ini menjadi negeri kedua mencatat jumlah isi rumah miskin dan miskin tegar.

“Kerajaan negeri sewajarnya malu kerana gagal mengembalikan zaman kegemilangan ekonomi di negeri ini kerana dalam keadaan sebegini pun, mereka (kerajaan negeri) dilihat masih ‘boros’ melaksanakan projek-projek yang tidak berfaedah kepada rakyat,” katanya.

0 Response to "Kerajaan Zambry Kadir patut malu,Perak negeri miskin."

Post a Comment