Saya ingin mulakan ucapan ini dengan mengingatkan kita semua bahawa perjuangan kita Parti Islam Semalaysia (PAS) ini merupakan satu ibadah di medan siasah dan dakwah pasti akan diganjari oleh Allah SWT dengan kebaikan insya-allah. Perlulah diingatkan PAS adalah Gerakan Islam yang menyertai pilihanraya dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Biarpun ruang demokrasi itu kian sempit namun perjuangan untuk membebaskan umat Islam dari kepungan jahiliyah moden ini berpndukan syara' mesti diteruskan walau dengan apa cara sekalipun.
Saya mengajak seluruh pimpinan pemuda pas Bukit Gantang supaya berlapang dada dengan teguran dan kritikan yang mungkin akan bergema sepanjang mesyuarat ini, kerana saya penuh percaya tidak ada perwakilan yang menegur kerana cemburu atau dengki, melainkan kerana keikhlasan mereka ingin melihat Dewan Pemuda Pas Bukit Gantang dan qqgerakan Islam PAS ini bangun dan berdiri untuk memenuhi aspirasi mengejar keredhaan Allah SWT. Ahli-ahli juga, dalam membuat teguran dan kritikan, gunakanlah cara yang paling berhikmah dan ’mauizatul hasanah’ supaya pandangan saudara semua diterima tanpa ada yang terluka. Saya memperakui bahawa mesyuarat ini adalah medan terbaik untuk tuan2 bermuhasabah dan menjadikan ia satu forum tarbiyyah operasional dan pemikiran. Marilah Sama- sama kita manfaatkan mesyuarat agong ini untuk membolehkan Dewan Pemuda PAS Bukit Gantang terus melangkah gagah dalam arena jihad ini.
Para Muktamirin sekalian, Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ
تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُون
"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan satu perniagaan yang boleh menyelamatkanmu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang menegakkan agama Allah dengan hartabenda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; serta ditempatkan kamu di tempat- tempat tinggal yang baik dalam Syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang kamu sukai iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman."
(Surah As-Saff: Ayat 10-13)
PAS pernah bangun, bangkit dan berada di puncak kejayaan, kita juga pernah rebah, jatuh dan tersungkur dalam meniti perjuangan. Tersungkur kita mencium pasir, terlentang kita minum embun, tetapi direndam kita tidak reput, dibakar kita tidak hangus, patah sayap kita bertongkatkan paruh, namun mengalah sama sekali tidak. Kita mewarisi jiwa perjuangan kepemudaan yang dirintis oleh tokoh- tokoh yang dahulunya mereka bangkit menyatakan kebenaran dan menolak kezaliman. Allah SWT telah merakamkan bagaimana pemuda Ashabul Kahfi yang mempertahankan iman dan kebenaran, sanggup menegaskan tauhid di hadapan pemerintah yang menjuarai kezalim. Firman Allah SWT,
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾ وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا
رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَـٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا ﴿١٤﴾
"Kami kisahkan kepadamu (wahai Muhammad SAW) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu adalah pemuda- pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami teguhkan hati (dengan kesabaran dan keberanian) semasa mereka bangun (menegaskan tauhid di hadapan pemerintah yang zalim) lalu berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi; kami sekali- kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran."(Surah Al-Kahfi: Ayat 13-14)
Kita juga ditunjukkan bagaimana pemuda Ashabul Ukhdud sanggup menggadaikan kepentingan dunia, bahkan nyawa semata-mata kerana mahu orang lain mengimani ketuhanan Allah SWT. Dan akhirnya mereka yang dibakar dalam parit api ini diisytihar oleh Allah SWT sebagai,
ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْكَبِيرُ
”Itulah kemenangan yang besar”.(Surah Al-Buruj: Ayat 11)
Allah SWT telah menggariskan satu panduan yang amat bermakna kepada pemuda-pemuda yang beriman bahawa orang yang berusaha untuk memastikan hanya Allah SWT sahaja yang berhak disembah, kemudian mereka berusaha melaksanakan syariat Allah SWT serta membina sistem sosial berasaskan akhlak Islam, jika mereka gagal memperolehi sebarang habuan dunia, pasti mereka bakal beroleh kemenangan terbesar disisi Allah SWT. Kita hanya ada dua pilihan dalam perjuangan, sama ada menang atau syahid! Tetapi apalah ertinya kita memperoleh kemenangan di dunia tetapi gagal memastikan kita mendapat keredhaan Allah SWT. Kejayaan kita memenangi kerusi yang banyak atau memperoleh majoriti yang tinggi dalam pilihan raya, tidak mempunyai nilai disisi Allah SWT jika kita gagal mempertahankan dasar aqidah kita, sekali gus kita mengabaikan tujuan sebenar kita untuk menegakkan di dalam negara ini "sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah."
Kita tentu berasa hairan yang amat sangat apabila Allah SWT memproklamasikan bahawa orang-orang yang mati dibakar dalam tragedi 'parit berisi api' itu sebagai mencapai kemenangan yang besar, kerana kita sering berfikir bahawa kemenangan yang besar itu ialah mendapat habuan kekuasaan dan kekayaan di dunia. Sebenarnya, mereka dianggap 'menang besar' oleh Allah SWT adalah lantaran mereka berjaya mempertahankan iman daripada godaan kuasa dan harta dunia. Marilah kita renungkan pesanan Allah SWT kepada kita,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ ﴿٩﴾
"Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) hartabenda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (Surah al-Munafiqun: Ayat 9)
Saya mengajak para muktamirin sekalian supaya tidak leka dengan limpahan nikmat Allah SWT, kerana saya bimbang jika kita alpa, nikmat ini akan bertukar menjadi bala.
Saya mengingatkan diri saya dan pemuda2 sekelian ,supaya mempelajari pengalaman Jaafar bin Abi Talib di Habsyah dan Rubaie bin Umair di Parsi ketika membawa misi politik dan dakwah. Sebagai diplomat yang pintar, mereka bukan sahaja tidak menggadai dasar perjuangan tetapi langsung tidak tersilau oleh tawaran-tawaran keduniaan yang disogokkan. Inilah contoh terbaik yang harus kita jadikan rujukan dalam kita mewakili kepentingan Islam ketika berdialog dengan mana-mana pihak supaya kepentingan kita terjamin dan jerat musuh tidak mengena. Sesiapa yang bertindak bagi pihak PAS dalam misi dakwah dan politik seperi ini hendaklah mestilah mengutamakan kepentingan parti, bukannya kepentingan peribadi. Saya percaya bahawa pimpinan PAS telah melakukan yang terbaik untuk kepentingan jamaah, dan kerana itu saya menyeru pemda-pemuda PAS supaya terus memberikan wala’ dan thiqah mereka tanpa berbelah-bahagi. Yakinlah, hanya dengan kepercayaan yang penuh daripada ahli-ahli dan kejujuran pimpinan akan dapat memperteguh kemenangan ini.
Kita baru sahaja menyambut ulang tahun ke 56 kemerdekaan negara. Rakyat umumnya mengetahui bagaimana kemerdekaan kita ini diperjuangkan dengan keringat, airmata dan darah perwira-perwira negara. Kita membangun setapak demi setapak sehingga apa yang kita telah capai pada hari ini. Sebagai generasi muda satu persoalan yang amat penting ialah bagaimana kita akan menghadapi cabaran mengisi 56 tahun telah di capai.
Dalam proses pembinaan negara bangsa (Nation Building) pengelibatan generasi muda amat penting dan bermakna. Golongan muda bukan hanya bakal mewarasi tanahair mereka malah akan menentukan masa depan bangsa dan negara.
Generasi muda sepatutnya bukan hanya disogok dengan pembangunan tetapi mesti dilibat sama dalam merancang, mengatur dan membangunkan negara sehingga mereka berupaya menjadi peneraju dunia. Isunya sekarang apakah suasana, sistem dan budaya yang ada hari ini menghasilkan generasi pelapis yang berwibawa.
Pegangan hidup yang kukuh berteraskan agama, membina jatidiri, kebijaksanaan dalam meneraju kehidupan, meliliki kezaman politik dan kuasa politik, menegakkan perpaduan dan memperjuangkan kebebasan dan ketenteraman mestilah menjadi visi yang jelas kepada generasi muda yang bertanggungjawab kepada negara.
Terima kasih saya ucapkan kepada Dewan Pemuda yang merupakan salah satu sayap Pas Bukit Gantang
Akhir kata, saya berharap agar muktamar pada kali ini dapat berjalan dengan lancar dan membuahkan hasil yang terbaik untuk perjuangan PAS. Saya juga dimaklumkan bahawa akan berlaku pertandingan untuk jawatan-jawatan utama di dalam Dewan Pemuda pada kali ini. Harapan saya agar pertandingan berlaku secara adik beradik dan penuh harmoni dan semangat ukhuwwah. Bagi saya, pertandingan sebagai jalan meraih pahala dan rahmat Allah SWT. Semoga para perwakilan dapat membuat pilihan yang paling tepat untuk memilih pemimpin yang dapat menjalankan amanah sebaik yang mungkin di dalam mengemudi Dewan Pemuda PAS Pusat ini terus maju ke hadapan dalam arena politik tanah air.
Demikianlah amanah yang dapat saya sampaikan di dalam majlis ini. Saya berdoa agar kita semua dapat mengambil manfaat daripada apa yang telah saya sampaikan. Apa yang paling penting, ikhlaskanlah usaha kita kerana Allah. Semoga setiap usaha yang kita lakukan kesemuanya dikira amalan yang baik dan menndapat ganjaran di sisi Allah SWT. Saya sudahi dengan :
أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
teks ucapan YDP Bukit Gantang semasa berucap di Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Bukit Gantang.
0 Response to "Pertandingan jalan meraih pahala- Ustaz Nordin Jaafar."
Post a Comment