Terkini

Ustaz Nordin Jaafar:Perjuangan bukan sekadar berlandaskan ijazah


UCAPAN YANG DIPERTUA PAS KAWASAN BUKIT GANTANG 2013

Assalamulaikum warahmatullahi wabarokatuh dan salam sejahtera

الحمد  لله حمدا الحامدين , وحمدا الشاكرين , وحمدا يوافي نعمه ويكافي مزيده , يا ربنا لك الحمد كما ينبغي لجلال وجھك وعظيم سلطانك . 
أشھد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له , له الملك وله الحمد وھو على كل شيء قدير . وأشھد أن محمدا عبده ورسوله , البدر الدجى والسراج المنير .
اللھم وصل وسلم وبارك على محمد أشرف الأنبياء والمرسلين , وعلى آله وصحبه أجمعين , ومن سار على نهجه الى يوم الدين. 



Saya ucapkan ahlan wa sahlan wa marhaban bi kum, selamat datang dan selamat bermesyuarat, kepada semua para perwakilan, pemerhati dan tetamu yang memeriahkan Mesyuarat Agong  Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kawasan Bukit Gantang kali ke 46 pada tahun ini.

Marilah dengan penuh yakin kita memohon kepada Allah SWT akan keberkatan dan fadilat, serta pahala yang berlipat ganda daripada kelebihan ribat fi sabilillah, kerana keyakinan terhadap dasar dan matlamat perjuangan kita.

Firman Allah SWT

{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)}

(al-Hujurat : 15)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Ayat di atas memperlihatkan kepada kita bahawa keimanan menghasilkan keyakinan kepada Allah dan Rasul serta mencetuskan jihad dan perjuangan dalam kehidupan seseorang yang beriman itu. 

Orang yang tinggi imannya mempunyai kesanggupan dan kesungguhan untuk berjuang atas nama jhad dengan tahap kesungguhan yang tinggi kerana mempunyai keyakinan bahawa segala pengorbanan yang dilakukan akan dibalas dengan ganjaran yang amat besar di akhirat nanti.

​Banyak orang yang boleh bercakap tentang perjuangan dan kewajipan berjemaah tetapi hakikatnya tidak banyak yang sanggup menempuh pelbagai halangan dan cabaran dalam mengharungi cabaran yang dihadapi oleh jemaah. 

Perjuangan bukan sekadar berlandaskan ijazah atau kelulusan yang tinggi tetapi perlu disertakan dengan keyakinan, kesanggupan, ketahanan, kesungguhan, kepatuhan, ketaatan, keikhlasan dan pelbagai lagi resepi yang perlu dimiliki oleh pejuang.          

Firman Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?"

 Mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!" (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.
(as-Saff 14) 

 Para hadirin dan hadirat sekalian,

Berdasarkan keterangan di atas, kita seharusnya amat bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dipilih untuk berada dalam jemaah PAS yang secara prinsip dan pelaksanaannya adalah untuk berjuang dan menegakkan agama Allah di bumi Malaysia yang kita cintai ini. 

Keberadaan kita dalam perjuangan suci ini perlu dihayati dan diterjemahkan dalam bentuk perlakuan dan tindakan kita. 

Kita perlu memastikan kefahaman dan penghayatan kita terhadap perjuangan ini sentiasa ditingkatkan melalui peningkatan ilmu dan pengetahuan.

 Pendukung PAS semestinya sentiasa kasih dan cinta akan ilmu agama dan sentiasa berusaha untuk mendalami pengetahuan mereka kerana dengan adanya kefahaman dan pengetahuan, segala tindak-tanduk yang diambil akan berdasarkan panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui ktab suci-Nya Al-Quran Nur Karim.

Selain itu, pejuang PAS juga perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti kerja dan sumbangan kita kepada perjuangan PAS dalam apa juga kedudukan dan keadaan. 

Kita seharusnya sentiasa membuat koreksi diri untuk menilai tahap dan kualiti sumbangan kita untuk menguatkan PAS di semua peringkat yang kita diamanahkan. 

Refleksi diri yang kita lakukan akan memberi kesan positif kepada kualiti amalan kita dan secara tidak langsung akan membina kekuatan dan keupayaan PAS untuk berhadapan dengan cabaran yang berada di luar. 

Kita perlu faham dan sedar bahawa segala kerja keras dan kesungguhan yang kita lakukan adalah untuk bekalan kita sendiri apabila berhadapan dengan Maha Pencipta. 
Refleksi dan koreksi diri ini akan mengurangkan sikap negatif yang sentiasa melihat dan mencari kelemahan orang lain tetapi akan menerima kelemahan dan kekurangan rakan sebagai suatu proses lengkap-melengkapi.

Perkara paling penting sebagai pejuang ialah keikhlasan dan keupayaan kita meletakkan segala penat lelah dan pengorbanan kita dalam perjuangan hanya sesungguhnya kerana Allah SWT. 
Kita perlu sentiasa dalam keadaan sedar untuk menilai bahawa landasan yang kita pilih merupakan laluan yang betul dan tidak tidak terbabas daripada tujuan dan matlamat asalnya. Amatlah malang sekiranya segala cabaran dan susah payah kita dalam perjuangan ini tidak dapat kita persembahkan kepada Allah SWT hanya semata-mata kerana hilangnya keikhlasan kita dalam perjuangan suci ini. 

Aspek populariti, keagungan, kehebatan dan kelebihan yang dianugerahkan kepada kita sekiranya tidak diatur dengan baik akan menegelamkan kita ke jurang kebinasaan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua jentera pilihan raya di semua peringkat kerana telah berjaya mempertahankan kemenangan kita di Parlimen Bukit Gantang, DUN Changkat Jering dan DUN Kuala Sapetang. Namun Allah SWT masih menangguh kemenangan kita di DUN Trong.

Kejayaan yang diraih ini merupakan kejayaan kita bersama-sama. Kejayaan ini hasil daripada keikhlasan semua jentera yang bekerja dengan penuh sistematik dan berstrategi di samping doa dan munajat. 

Hal ini kerana kerja-kerja pilihan raya merupakan suatu seni yang memerlukan kepakaran dan kemahiran yang tinggi untuk mengatur strategi bagi mengalahkan musuh yang juga dilatih dan dibentuk oleh tenaga pakar mereka.

 Malah dengan keupayaan kewangan dan kuasa yang ada, sudah tentu mereka jauh lebih berkemampuan untuk mendapatkan khidmat pakar dari dalam dan luar negara. 

Namun yakinlah bahawa Allah SWT akan bersama-sama dengan perjuangan yang berteraskan perintah-Nya asal sahaja kita memenuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan dalam perjuangan agama Allah SWT ini. Penangguhan kemenangan juga merupakan hikmah yang Allah SWT berikan kepada kita bagi membuka lebih ruang dan peluang untuk kita bekerja. 

Kekalahan ini perlu diterima dengan berlapang dada tetapi perlu mencari jalan untuk meningkat keupayaan kita dan mengurangkan kelemahan kita agar tiada ruang dibuka untuk membolehkan musuh mengekalkan kemenangan mereka. Paling penting diharapkan semua kita ada saham yang dilaburkan dalam PRU-13 lalu.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Dunia Islam hari ni dikejutkan dengan peristiwa rampasan kuasa di Mesir dan kekejaman yang dilakukan oleh Barsha As Saad di Libya. Kekejaman dan keganasan ini menunjukkan bahawa musuh Islam tidak pernah redha untuk melihat kejayaan yang dimiliki oleh perjuangan yang berlandaskan Islam.

Selain peristiwa di atas, pembongkaran tentang Syiah terutama di negara ini pelu ditangani dengan baik. Sebagai pejuang PAS yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita perlu memastikan tiada unsur luar menyerap masuk ke dalam jemaah kita. Kepatuhan kita hanya kepada ketetapan yang telah diputuskan dalam PAS.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Dalam kesempatan ini saya memohon daripada semua untuk meneruskan kerja kita terutamanya untuk mengisi kemenangan yang dianugerah oleh Allah SWT. 

Kemenangan bukan sekadar kayu ukur untuk menilai kekuatan dan kelemahan musuh tetapi suatu amanah yang perlu ditanggung oleh kita. Kemenangan yang tidak dipenuhi dengan tanggungjawab akan mengundang kita ke jurang kehancuran pada masa depan. 

Lantaran itu, mengisi kemenangan di Parlimen Bukit Gantang merupakan tanggungjawab kita bersama agar kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada kita dalam PRU ke-13 merupakan suatu pelaburan yang berbaloi. 

Jawatan wakil rakyat bukan jawatan eksekutif tetapi merupakan institusi yang dianggotai oleh semua dalam kalangan kita.

Saya juga ingin menyeru kepada Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang merupakan sayap kepada pentadbiran PAS Kawasan agar dapat bergerak sederap dan seiring dengan pimpinan PAS Kawasan menuju matlamat dan tujuan yang sama.

Generasi muda adalah harapan umat menjadi pewaris kesinambungan perjuangan dan tenaga terpenting, mereka juga menjadi sasaran musuh. UMNO/BN lebih suka kalau generasi ini dalam kedaan leka, jahil, miskin dan menganggur, supaya mudah menjadi penyokong mereka, sekurang-kurangnya sekadar menjadi tukang sorak walau pun kampung tergadai.

Oleh itu, Dewan Pemuda perlu sentiasa proaktif sesuai dengan
keanggotaannya. Dewan Pemuda perlu mempunyai aspirasi untuk memimpin dan memandu sebahagian besar anak muda di luar yang masih lagi hanyut dibuai dengan keseronokan dunia yang menjerat mereka. 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Golongan wanita lebih mudah menjadi mangsa media yang datang dan masuk ke rumah mempengaruhi keluarga, mereka adalah benteng di rumah dan tenaga penting di luar rumah bersama masyarakat. 

Kepada Dewan Muslimat pula yang terkenal dengan kecekalan dan ketabahan menghadapi segala liku perjuangan ini ,perlu mengorak lebih jauh untuk memenuhi kehendak wanita di luar yang sebahagian besarnya masih lagi buta dari hakikat kebenaran. Selama ini pun Dewan Muslimat telah turun ke rumah pengundi sasaran, dengan penuh menghadapi cabaran yang tidak pernah dihadapi oleh muslimin.
Saya menaruh keyakinan dengan keupayaan kedua-dua Dewan ini untuk memenuhi hasrat tersebut.

Kita juga amat berbangga kerana mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS Kawasan Bukit Gantang yang sentiasa bersama-sama kita sama ada ketika kita susah ataupun senang. Persepakatan yang dijalin merupakan suatu anugerah yang Allah SWT berikan kepada kita untuk hidup dalam suasana harmoni dan aman. 

Sebagai sayap parti yang baharu, DHPP perlu terus berusaha meningkatkan kefahaman masyarakat bukan Islam tentang perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat yang akan membawa kehidupan rakyat lebih selesa dengan pemerintahan yang adil dan amanah. Hidup rakyat akan lebih terbela dan masa depan anak-anak kita lebih terjamin.

 Para hadirin dan hadirat sekalian,

Mesyuarat Agong ini dilangsungkan bersama pemilihan kepimpanan tertinggi parti, maka seluruh perwakilan hendaklah meletakkan perkara kepimpinan di atas tanggungjawab amanah yang besar dalam ajaran Islam, yang menjadi dasar dan matlamat perjuangan kita.

Maka hendaklah berpandukan kepada amanah yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW :

  "يا عبد الرحمن بن سمرة، لا تسأل الإمارة، فإنك إن أوتيتها عن مسألة وكِّلت إليها، وإن أوتيتها عن غير مسألة أُعِنْتَ عليها. 

Wahai Abdul Rahman bin Samurah !, jangan sekali-kali meminta jawatan menjadi ketua (pemimpin) . Maka sesungguhnya jika sekiranya kamu diberi jawatan dengan memintanya nescaya dibiarkan memikulnya (tanpa pertolongan Allah), sekiranya diberi jawatan itu tanpa memintanya nescaya kamu diberi pertolongan melaksanakannya. 


إَِّنا والله لا ُنَولِّي َعلَى َھَذا العمل احدا َسأَلَُه َوَلاأََحًدا َحَر َص َعلَْيِه

Sesungguhnya kami, demi Allah tidak melantik memegang jawatan dalam melaksanakan tugas ini ,kepada seseorang apabila dia memintanya dan tidak juga kepada seseorang terlalu ingin menjawatnya.

 Para hadirin dan hadirat sekalian,

Pemilihan dalam Islam mempunyai nilai moral keluhuran dan kemuliaan yang tersendiri, bukan sahaja kelayakan pemimpin yang berteraskan Islam dari aspek iman, akhlak, ilmu, pengalaman dan pengaruh, kemampuan melaksanakan amanah, komited dengan gerakerja, termasuklah cara penonjolan yang berakhlak. 

Ingatlah bahawa kita memimpin bukan untuk menjadi popular, atau supaya digelar orang sebagai pahlawan, tetapi adalah untuk melaksanakan amanah Allah SWT, kerana amanah khilafah ini tidak akan surut hinggalah ke hari kiamat.

Inilah pendekatan yang dihayati oleh PAS di sepanjang jalan, sehingga kita mampu menghadapi ranjau dan gelombang perjuangan yang suci ini. 
Maka tunaikan amanah ini dengan cara dan sifat Islam yang kita junjung selama ini, supaya PAS terus menjadi bahtera penyelamat di dunia dan akhirat.
Akhirnya, saya sekali lagi bagi pihak PAS Kawasan Bukit Gantang mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih kepada para dermawan yang sudi menyumbangkan derma bagi menjayakan aktiviti kita sepanjang tahun ini. 
Kepada tetamu yang hadir pada pagi ini dan para perwakilan serta pemerhati, saya merakamkan ucapan terima kasih.  
Sebelum saya mengundur diri marilah kita hayati firman Allah ini:

ان الله يحب الذين يقاتلون في سبيله صفا   كانه بنيان مرصوص.
 Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berjuang dijalanNya dalam saf yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh (daripada bata yang disusun dengan rapi dan diikat dengan teguh)

Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

MOHD NORDIN B. JAAFAR
Yang Dipertua
PAS Kawasan Bukit Gantang

1 Response to "Ustaz Nordin Jaafar:Perjuangan bukan sekadar berlandaskan ijazah "