Terkini

Hari pertama banjir ,Kuantan bagaikan kelam kabut.

Di Pahang,kawasan petempatan banjir  pun "BAH" 
KUANTAN - Bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, tsunami dan sebagainya bukanlah sesuatu yang tidak boleh diramal atau dijangkakan seperti Malaysia yang saban tahun menghadapi ancaman banjir.

Di negara-negara maju, mereka bersiap sedia dari awal lagi bagi mengurangkan kerugian harta benda dan nyawa.

Banjir di Pahang ketika ini yang melumpuhkan hampir keseluruhan bandar Kuantan sejak semalam bukanlah suatu yang baharu. Pernah berlaku sebelum ini, namun apa natijahnya?

Media sebelum ini telah pun melaporkan bahawa semua agensi berkaitan bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi banjir.

Pada 15 November lepas, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata kerajaan Pahang sudah bersedia menghadapi banjir, yang dijangka melanda negeri ini bermula hujung November.

Muhammad Safian berkata sebanyak 579 pusat pemindahan dikenal pasti dengan 60 peratus merupakan bangunan sekolah, manakala barang keperluan seperti makanan akan ditempatkan di 73 pangkalan hadapan bermula 18 November, membabitkan peruntukan RM1.2 juta.

"Sebanyak 6,000 petugas dari 14 jabatan dan agensi yang terlibat secara langsung telah bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir," katanya.

Ironinya, pada hari pertama banjir di Kuantan, semuanya bagaikan kelam kabut, termasuk bilik operasi banjir agensi keselamatan yang bagaikan 'terpinga-pinga' dengan musibah yang berlaku.
Laman sosial seperti Facebook dan Twitter pula melimpah ruah dengan gambar dan maklumat yang pastinya menggusarkan semua pihak yang tidak berada di Kuantan atau Pahang bagi mendapatkan maklumat sebenar.

Pihak media pada peringkat awal lagi, malah sehingga pagi tadi, bagaikan sukar mendapat maklumat terkini untuk disiarkan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob ketika ditemui pemberita semalam mengakui banyak kekurangan dan kelemahan pada hari pertama banjir melanda tiga hari lepas.

Bagi Adnan, petugas operasi banjir juga terbabit dalam kejadian banjir apabila kediaman mereka turut ditenggelami air.

Sejak petang semalam, bandar Kuantan lumpuh apabila berubah menjadi 'Taman Tema Air Kuantan', bekalan elektrik dan air terputus, manakala pusat-pusat pemindahan mangsa banjir pula dilaporkan kekurangan bekalan makanan dan keperluan asas.

Bagi Adnan, apa sahaja masalah di pusat pemindahan sedang diperbetulkan ketika ini.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mempunyai stok bekalan makanan, mereka perlu membeli makanan di kedai untuk dihantar ke pusat pemindahan, pusat pemindahan pula tidak dapat dihubungi jalan darat," katanya.

Kenapa JKM tidak mempunyai stok bekalan makanan? Kata Adnan: "Jabatan Audit Negara sebelum ini melihat pihak JKM mempunyai lebihan stok makanan, jadinya, JKM tidak lagi menyimpan stok lebihan makanan, jadi inilah masalahnya sekarang!"     

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim ketika meninjau pusat pemindahan di Kuantan hari ini pula berkata lebih banyak sukarelawan perlu tampil membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Beliau berkata kekurangan sukarelawan untuk membantu mangsa banjir berpindah sedikit sebanyak menyukarkan operasi pemindahan dari kawasan terjejas.

Sekali lagi, apa persiapan kita sebenarnya dalam menghadapi bencana alam?

Lewat tengah hari tadi, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu sidang akhbar di Kuantan menjelaskan bahawa bekalan eletrik yang terputus di sekitar bandar Kuantan akibat banjir sejak petang semalam, kini beransur-ansur pulih.

Sidang akhbar selepas lebih 18 jam bandar Kuantan 'bergelap' itu seharusnya menjadi iktibar untuk kesiapsiagaan seterusnya dalam kita menghadapi banjir di musim akan datang.

Mudah-mudahan semua pihak lebih bersedia selepas ini. - Bernama

0 Response to "Hari pertama banjir ,Kuantan bagaikan kelam kabut."

Post a Comment