Terkini

Rayuan untuk batalkan keputusan DUN Lubuk Merbau.

IPOH 27 Jan. - Seorang pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang sekali lagi menolak petisyennya untuk membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di DUN berkenaan, Datuk Siti Salmah Mat Jusak.
Notis rayuan itu difailkan Mohd. Ridzuan Asit, 48, menerusi peguam yang mewakilinya, Chan Kok Leong di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi, di sini tengah hari ini.

Mohd. Ridzuan yang juga penyokong Pas ketika ditemui selepas itu berkata, rayuan itu dibuat atas alasan Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Abdul Rahman Sebli telah terkhilaf dalam penghakimannya.
Pada 16 Januari lalu, Hakim Abdul Rahman menolak petisyen yang difailkan oleh Mohd. Ridzuan pada 12 Jun 2013 setelah memutuskan petisyen berkenaan mempunyai banyak kecacatan.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd. Ridzuan membayar kos RM60,000 iaitu masing-masing RM30,000 kepada Siti Salmah selaku responden pertama dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) responden kedua.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Mei tahun lalu, DUN Lubuk Merbau dimenangi Siti Salmah yang menewaskan calon Pas, Mohd. Zainudin Mohd. Yusof dengan majoriti 53 undi.

Mohd. Ridzuan memfailkan petisyen itu bagi membatalkan keputusan PRU-13 kerusi kawasan berkenaan kerana mendakwa berlaku pelanggaran peraturan pilihan raya termasuk kegiatan rasuah.

Bagaimanapun, Hakim Abdul Rahman menolak dengan kos petisyen itu pada 13 Ogos tahun lalu selepas mendapati petisyen tersebut tidak mematuhi kaedah-kaedah pilihan raya iaitu cara penyampaian petisyen kepada responden.

Mahkamah Persekutuan kemudiannya membenarkan rayuan yang dibuat pempetisyen dan mengarahkan kes itu dibicarakan semula di Mahkamah Pilihan Raya.sumber



0 Response to "Rayuan untuk batalkan keputusan DUN Lubuk Merbau. "

Post a Comment