Terkini

80 peguam GHB akan tolong jika ada peserta BERSIH ditangkap.

80 peguam yang kebanyakannya bekas ahli dan pemimpin PAS menawarkan khidmat percuma untuk peserta Bersih 4 yang akan turun ke jalan raya di ibu negara hari ini.

Mereka yang kini bernaung di bawah Pertubuhan Pengamal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam) menyatakan sokongan kepada penganjuran Bersih 4, kata presidennya Noorazmir Zakaria.

Semalam, Noorazmir, yang juga bekas pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS (Juham), dan rakan-rakannya mewakili 4 daripada 16 orang mahasiswa yang terlibat dalam prosiding reman yang dihadapi mereka.

Tiga daripada mahasiswa itu merupakan anggota PAS dan seorang daripadanya dari Anak Muda Harapan Baru.

Menurut Noorazmir, para peguam ProGuam akan ditugaskan di lapangan iaitu di tempat perhimpunan tersebut bagi tujuan memantau dan juga akan ke lokap atau balai bagi tujuan prosiding reman sekiranya berlaku tangkapan.

Mereka melancarkan tiga nombor Hotline bagi membolehkan para peserta Bersih 4 hubungi sekiranya berlaku tangkapan iaitu 017-394 1559, 017-394 1561 dan 017-303 2591.

Nombor tersebut mula diaktifkan sejak jam 8 malam tadi.

ProGuam juga melancarkan panduan ringkas undang-undang untuk tatapan dan panduan kepada para peserta Bersih 4 khususnya berkaitan hak peserta sekiranya ditahan polis.

"Panduan ringkas ini akan diviralkan melalui media baru seperti Facebook, Twitter, Whatsapp dan lain-lain untuk kemudahan orang ramai," katanya lagi.

Dalam kenyataan itu, ProGuam juga menegaskan perhimpunan Bersih 4 tidak boleh diisytiharkan sebagai tidak sah sebagaimana pengumuman Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.

"ProGuam ingin menegaskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Julai, 2012 membuat keputusan mengenepikan pengisytiharan menteri dalam negeri yang Bersih adalah pertubuhan haram," katanya.

Malah, katanya, keputusan Mahkamah Tinggi tersebut tidak pun dirayu dan masih kekal hingga kini.

"Justeru, ProGuam menegaskan kenyataan ketua setiausaha itu bertentangan dengan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut serta boleh mengundang rasa kebimbangan yang tidak berasas kepada masyarakat," katanya.

Sehubungan itu, katanya, ProGuam percaya kenyataan ini lebih kepada ingin menakut-nakutkan rakyat daripada hadir menyertai perhimpunan aman terbabit.

"Seharusnya, pihak berkuasa seperti KDN dan PDRM sama-sama berganding bahu bagi memastikan Bersih 4 berjalan dengan aman dan tanpa sebarang provokasi.

"Secara tidak langsung, ia boleh memartabatkan imej negara sebagai mendaulatkan hak demokrasi dan hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan," kata Noorazmir lagi.

Oleh itu, ProGuam menyeru rakyat Malaysia untuk tidak berasa takut selagi mana hak mereka dijamin oleh undang-undang. – 29 Ogos, 2015

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/80-bekas-peguam-pas-tawar-khidmat-percuma-untuk-peserta-bersih-4#sthash.0LsIgZgq.dpuf


0 Response to "80 peguam GHB akan tolong jika ada peserta BERSIH ditangkap."

Post a Comment