Terkini

1 MDB mesti isu besar, jika tidak Raja-Raja Melayu tak keluar kenyataan.



KENYATAAN MEDIA

YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO

Saya amat menyambut baik dan menjunjung kasih titah DYMM Raja-Raja Melayu supaya kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap piha-pihak yang terlibat. Titah yang terkandung dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Peyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad semalam menunjukkan keprihatinan DYMM Raja-Raja terhadap kemelut 1MDB yang semakin hari semakin menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

DYMM Raja-Raja pada kebiasaannya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kecuali ianya melibatkan isu besar yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara. Apabila DYMM Raja Raja bertitah mengenai isu 1MDB, ini menandakan 1MDB adalah satu isu yang amat besar pada hemat baginda sekalian dan membayangkan kebimbangan mereka tentang kesan negatif kemelut 1MDB terhadap rakyat jelata dan negara. Titah DYMM Raja-Raja dalam hal ini amatlah saya hargai dan sanjung tinggi.

Oleh kerana DYMM Raja-Raja telah bertitah menggesa kerajaan supaya bertindak segera menyelesaikan kemelut 1MDB, maka pihak yang sewajarnya menjunjung titah baginda sekalian ialah YAB Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan. Tanggungjawab menyelesaikan isu ini akhirnya terpikul di bahu YAB Perdana Menteri sendiri.

Beliau mesti memastikan siasatan terhadap 1MDB oleh agensi-agensi berkaitan dijalankan secara telus, adil dan berkecuali tanpa sebarang gangguan atau campur tangan daripada mana-mana pihak. Lebih penting lagi, jika hasil siasatian mendapati terdapat pihak-pihak yang melanggar undang-undang, maka tindakan undang-undang perlu diambil dengan kadar segera tanpa rasa takut dan pilih kasih.

Sehingga kini, masih tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak berhubung skandal 1MDB. Sepertimana yang dilaporkan oleh media, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia, telah membuat kenyataan bahawa BNM telah pun menyelesaikan siasatan berhubung transaksi 1MDB dan hasil siasatan telah diserahkan kepada Peguam Negara pada bulan Ogos yang lalu.

Jika hasil siasatan Bank Negara mengandungi bukti-bukti yang boleh mensabitkan mana-mana pihak dengan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang negara, maka adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa mereka yang terbabit di mahkamah.

Saya khuatir oleh kerana kemelut 1MDB adalah satu isu yang menyentuh kepentingan awam, maka kelewatan Peguam Negara membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis. Adalah wajar bagi Peguam Negara tampil dalam masa terdekat untuk memaklumkan kepada masyarakat umum mengenai perkembangan mutakhir berhubung perkara ini.

Mengambil semangat titah DYMM Raja-Raja berhubung kemelut 1MDB, agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dahulunya terlibat dalam Pasukan Petugas Khas siasatan terhadap 1MDB mesti diberikan ruang yang seluas-luasnya untuk meneruskan siasatan terhadap syarikat ini hingga selesai dan menyerahkan hasil siasatan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Begitu juga dengan siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Keanggotaan PAC mesti diisi dengan segera untuk membolehkan jawatankuasa ini meneruskan siasatan mereka terhadap 1MDB. Amat malang sekiranya siasatan oleh PAC terbengkalai hanya disebabkan beberapa ahlinya menerima pelantikan sebagai anggota pentadbiran kerajaan persekutuan ekoran rombakan kabinet baru-baru ini.

Masyarakat umum juga tertunggu-tunggu laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. Laporan awal mengenainya telah pun diserahkan kepada PAC. Dengan siasatan oleh PAC yang tergendala setakat ini, masyarakat umum pastinya ingin mengetahui status laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

Pada hemat saya, perkembangan siasatan dan pendakwaan berhubung skandal 1MDB amat mendukacitakan. Di satu peringkat kerajaan kelihatan serius untuk menyelesaikan kemelut ini, tetapi kemudiannya perkembangan proses siasatan kelihatan perlahan dan hampir tergendala. Seolahnya terdapat tangan-tangan ghaib yang sengaja mahu menutup kesalahan pihak-pihak tertentu. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Saya juga berasa bimbang dengan tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat laporan mengenai 1MDB. Yang terbaharu ialah penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA 2012 semata-mata kerana tindakan beliau membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa di luar negara berhubung transaksi 1MDB.

Seingat saya SOSMA adalah satu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen negara kita untuk membendung kegiatan keganasan atau terrorisme. Adakah tindakan membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa berhubung transaksi yang dibuat oleh sebuah syarikat swasta merupakan satu kegiatan keganasan? Adakah 1MDB kini telah menjadi satu institusi yang kebal dan amat dilindungi oleh pihak berkuasa negara kita? Saya tidak fikir begitu. Membuat laporan terhadap 1MDB bukanlah satu kegiatan keganasan dan 1MDB bukanlah sebuah institusi yang kebal. 1MDB adalah satu entiti yang tertakluk kepada undang-undang negara.

Memandangkan DYMM Raja-Raja telahpun bertitah menggesa kerajaan menyelesaikan segera kemelut 1MDB dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit, maka pada hemat saya adalah amat wajar bagi warganegara yang prihatin menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu 1MDB atau membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa supaya menyiasat setiap dakwaan terhadap 1MDB secara telus, adil dan berkecuali. Mereka yang membuat laporan mengenai 1MDB sewajarnya mendapat perlindungan undang-undang dan bukan sebaliknya.

Malaysia adalah sebuah negara yang berpaksikan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berasaskan perlembagaan dan undang-undang negara dalam menyelesaikan kemelut 1MDB bukan sahaja akan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis malah mencemarkan nama Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.

Dalam beberapa lawatan saya ke luar negara yang mutakhir ini, saya sering ditanya oleh pemimpin negara luar tentang isu 1MDB. Mereka berasa amat hairan dengan apa yang terjadi kepada negara kita. Mereka tidak percaya sebuah syarikat pelaburan strategik negara menanggung hutang berbillion ringgit dan menghadapi masalah aliran tunai yang kronik sehingga tidak mampu untuk membayar hutang-piutang syarikat. Lebih malang jika wang dalam kantung syarikat ini juga telah lesap.

Malaysia adalah sebuah negara yang amat dihormati oleh masyarakat antarabangsa dan diyakini oleh para pelabur dan pedagang di seluruh dunia. Janganlah kita biarkan kemelut 1MDB mencemarkan nama baik Malaysia. Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Oleh yang demikian, amatlah wajar bagi kerajaan dan pihak berkuasa negara kita menjunjung sepenuhnya titah DYMM Raja-Raja Melayu supaya menyelesaikan segera kemelut 1MDB dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.


TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN


0 Response to "1 MDB mesti isu besar, jika tidak Raja-Raja Melayu tak keluar kenyataan."

Post a Comment