Terkini

Selamatkan Kelantan-Husam Musa.

SELAMATKAN KELANTAN: HENTIKAN PEMBERIAN HUTAN SIMPAN KEKAL UNTUK LADANG HUTAN

Tahun lepas, bah mega melanda Kelantan dengan dahsyatnya.

Sedikit sebanyak, ia berkaitan dengan penebangan hutan yang luas serta konsep tebang habis yang diamalkan oleh Kerajaan Kelantan.

Kelantan menjadi antara negeri terbesar meluluskan kawasan hutan tebang habis di Semenanjung Malaysia, seperti saya jangka juga dalam makluman YB.

Di bawah konsep ladang hutan, semua hutan sedia ada terlebih dahulu ditebang habis menjadi gondol sepenuhnya. Orang yang berkenaan mendapat untung besar dengan menjual semua balak kecil dan besar.

Itu pun tujuan utama kebanyakan mereka.

Saya telah menegur Kerajaan Negeri Kelantan mengenai isu ini beberapa kali. Baik secara dalaman mahu pun terbuka.

Saya merujuk khusus kepada tindakan terkini kerajaan negeri. Saya difahamkan seluas 4,500 hektar lagi diluluskan kpd sebuah syarikat - D_R K_LSt_r Plantation.

Syarikat ini dimilik oleh individu yang selalu mendapat kelulusan seperti ini sudah berkali-kali.

Kelulusan seluas 4,500 ha ini menambahkan lagi jumlah keluasan hutan simpan kekal yang akan dibersihkan buat selama-lamanya bersama semua flora dan faunanya.

Saya menyeru Kerajaan Negeri Kelantan dengan setulus hati saya untuk segera menghentikan kelulusan seperti ini.

Fikirkan tugas dan amanah di bahu anda sebagai Khalifah di bumi yang wajib menjaga semua makhluk termasuk haiwan di hutan, kelangsungan khazanah bumi untuk generasi akan datang, keadilan dalam pengagihan kekayaan serta kesan-kesan berikut dengan saksama:

A. Kesan kepada alam sekitar seperti bah besar dan pemanasan global.

Bayangkan kepanasan yang berlaku akibat penebangan hutan yang amat luas. Kekeringan sumber air di musim kemarau dan mala petaka alam yang lain.

Satu kajian kesan ekologinya saya agak belum pernah dilakukan.

B. Ancaman perubahan cuaca, penghapusan sumber dan punca hasil kepada anak cucu dan generasi akan datang.

Bahkan keindahan negeri juga akan terhapus buat selama-lamanya dan hidupan liar menjadi pupus.

C. Kaedah pemberian langsung tanpa tender yang merugikan hasil negeri, menguntungkan segelintir kroni dan memungkinkan amalan rasuah berlaku dalam pelbagai cara.

D. Tanah yang sama patut diagihkan untuk dimiliki oleh lebih ramai rakyat Kelantan dengan pelbagai skim komersial dan bukan komersial secara terhad dan seimbang sekiranya perlu.

Ini lebih utama.

Pada masa yang sama ia boleh menjanakan hasil yang lebih besar kepada kerajaan serta menjadi.katalis menyusun semula sosio ekonomi negeri ini.

E. Saya sekali lagi menyeru Kerajaan Kelantan segera menghentikan amalan ini.

Kelulusan terkini kepada syarikat berkenaan dengan keluasan 4,500 ha dan 9,000 ekar untuk penanaman sawit, juga dalam HSK masing masing ditarik balik.

Saya sangat berharap Kerajaan Negeri dapat menimbangkan rayuan ini.

YB Husam Musa
ADUN SALOR
19 Zulhijjah 1436H/ 3 Oktober 2015

Nota:

1. Surat ini telah dihantar kepada kerajaan negeri Kelantan pada 3 Oktober 2015.
Memandangkan tiada sebarang respon dari kerajaan negeri, saya kongsikan dengan seluruh rakyat Kelantan.

15 Oktober 2015/2 Muharam 1437

2 Responses to "Selamatkan Kelantan-Husam Musa."

  1. MB kelantan, sila jawab surat YB Husam. Walaupun kamu seorang ulama, tetapi kamu hanyalah manusia biasa yang diberi amanah oleh rakyat utk memerintah dan menjaga negeri ini...kamu bertanggungjawab utk beri penjelasan kepada rakyat kelantan dan malaysia...kami rakyat ingin beri ingat, jagalah amanah yg kamu pikul sebaik nya sebab kelak kamu akan bersama kami di Mahsyar Allah...

    ReplyDelete
  2. Alah Husam biarkanlah Hutan Gondol sekalipun, Kelantan Bah sekali pun..tetaplah untung menjadi ahli Pas smpi mati.. Masih kepimpinan ULAMAK WARIS AL ANBIA.

    ReplyDelete