ANTARA
RATU DAN RAKYAT
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Sambutan Diamond Jubilee sempena 60 tahun pemerintahan Queen Elizabeth II
yang menaiki tahta sejak 1952 akan berlangsung di UK beberapa hari lagi.
Dikatakan beberapa negara yang masih mendaulatkan Monarki British itu seperti
Australia, Canada, New Zealand dan lain-lain akan turut menyambutnya. Di UK,
sambutan kelihatan agak besar. Masih nampak perasaan sayang rakyat pada Ratu.
Kritikan
Pun begitu sambutan Diamond Jubilee yang akan berlangsung itu tidak sunyi
dari kritikan. Akhbar dan orangramai ada yang memprotes sambutan tersebut
sebagai membazir wang negara dalam keadaan ekonomi Eropah yang tidak stabil
sekarang. Ada yang membuat undian pendapat apakah sambutan itu membazir ataupun
tidak. Ada pula yang mengira kos kerugian cuti disebabkan sambutan tersebut.
Hasrat Queen untuk mendapat hadiah sebuah Yacht (kapal persiaran)
daripada kerajaan sempena Jubilee ini pun telah ditolak apabila survey
menunjukkan 64% rakyat tidak bersetuju (Rujuk : http://yougov.co.uk/news/2012/01/27/and-against-queens-yacht/).
Demikian ramai juga yang mengkritik sambutan Jubilee ini disebabkan antara
jemputan Queen ialah raja-raja yang dianggap tidak demokratik dan zalim dari
pelbagai negara. Kritikan ditujukan kepada Queen sebagai tidak sensitif dengan
isu kemanusiaan.
Empayar British yang luas
Apapun, kami di sini akan dapat cuti. Segala kritikan dan sokongan kepada
Queen adalah asam garam kehidupan mereka di sini yang menghormati hak rakyat
dalam bersuara. Setuju ataupun tidak satu hal. Namun memberikan ruang rakyat
bersuara adalah tanda pemerintah yang demokratik dan menghormati rakyat.
Rakyat tidak dianggap derhaka hanya dengan memberikan pendapat yang berbeza.
Hanya kelompok ‘jakun’ yang cuba hidup dalam kalangan manusia berakal
sahaja yang menganggap memberi pendapat itu satu jenayah, sekalipun ia tidak
diikuti dengan aktiviti yang mengancam dan merosakkan keselamatan rakyat.
Ya, sudah pasti ada peraturan dan adabnya dalam setiap perkara. Namun hak
bersuara tidak boleh dinafikan. Kita patut ‘tabik’ kepada Monarki
British di ‘sudut itu’. Mungkin perkembangan politik British juga
tidak memberikan mereka pilihan melainkan demikian. Saya rasa itulah salah satu
sebab Monarki British itu masih disayangi dan rakyat merasakan mereka patut
terus berada di situ.
Isu
Malaysia
Saya terlambat ikuti perkembangan isu di Malaysia. Saya dimaklumkan bahawa
ada isu tentang istana tertentu membida nombor kereta sehingga lebih RM
500,000. Saya juga dimaklumkan bahawa ada yang telah kritik isu ini. Saya tidak
tahu pendetilan isu tersebut. Saya tidak tahu siapa yang patut dipersoalkan.
Cuma, apabila ada yang bertanya dalam twitter, saya jawab secara umum bahawa ‘JIKA’
golongan istana tidak boleh dipertikaikan bererti rakyat telah mempertuhankan
mereka. Ini kerana hanya Tuhan sahaja yang tidak boleh dipertikaikan oleh
manusia.
Saya twit hal itu secara umum tanpa ditujukan khusus kepada sesiapa. Ada
yang cuba menjadikan twit itu khusus kepada isu berkenaan. Sebenarnya tidak.
Ada pula yang menyunting rakaman ucapan saya dalam isu lain yang dah lama
semasa saya masih di Malaysia, lalu dikaitkan dengan isu berkenaan. Itu pun
tidak betul. Saya tidak tujukan kepada peribadi, tetapi kaedah yang umum. Saya
juga setuju, menegur pemerintah ataupun raja dalam isu peribadi memerlukan
bahasa yang sesuai dan berkesan. Kritikan hendak membina (constructive
criticism). Namun hak menegur tetap ada.
Saya mungkin tidak bersetuju dengan isi sesuatu kritikan. Bahkan saya
mungkin menentang pengkritik itu sendiri dalam isu-isu yang lain. Namun saya berpegang
bahawa seseorang rakyat itu selagi dia menggunakan bahasa yang wajar dan hujah
yang betul, tidak wajar untuk dia dihukum kerana mengkritik.
Mana-mana pihak yang menghalang orang mengkritik golongan bangsawan
sekalipun dengan bahasa yang betul, adalah golongan feudal yang tidak wajar
menguasai politik masakini. Adakah sesiapa dalam kalangan pemerintah kita yang
lebih mulia, hebat dan gagah dari Saidina ‘Umar bin al-Khattab?! Beliau pernah
ditegur, namun beliau tidak menghukum pengkritiknya.
Khalifah Umar bin al-Khattab suatu hari pernah membahagi-bahagikan kepada
rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar dan berkata:
“Wahai manusia dengarlah!” Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami
tidak mahu dengar”. Lantas Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya:
Engkau berikan kamu semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai”.
Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman”. Lalu Umar memanggil anaknya Abd
Allah. Kata Umar: aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku
pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku”. Jawabnya: Ya!. Maka
kata Salman: “Sekarang kami akan dengar”. (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar,
1/55).
Tiada hukuman pun, sedangkan itu ‘Umar bin al-Khattab. Apakah kita merasakan
bahawa ada pihak yang lebih mulia dari Nabi s.a.w dan para al-khulafa
ar-Rasyidin. Nabi s.a.w sendiri pernah dipersoalkan beberapa tindakan baginda
seperti tentang isi perjanjian Hudaibiyyah yang baginda meterai. Baginda tidak
menghukum pengkritik. Sedangkan baginda seorang nabi. Siapakah yang merasakan
lebih mulia dari baginda?!
Ulama
Ulama mestilah bersikap seperti tokoh ilmuwan agung mazhab al-Shafi’i iaitu
al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H). Saya telah petik kisah beliau dalam artikel
saya semasa saya masih menjadi Mufti Perlis. Saya ketika itu mengkritik
kenaikan harga barang. Artikel itu disiarkan oleh Akhbar Utusan (Mingguan
Malaysia).
Saya petik kisah al-Imam al-Nawawi r.h (631-676H) yang diminta oleh Raja
pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja
mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara
iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara
dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.
Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan
fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan
Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan
negara juga. Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan
menyokong?
Beliau menjawab:
Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian
Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja.
Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki
talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan,
dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua,
sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha
perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada
simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan
mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya
ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat:
‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).
Inilah tokoh Mazhab al-Shafi’i yang sangat hebat dari segi ilmu dan akhlak.
Di Malaysia, ada yang fanatik mazhab. Pantang dengar orang tidak berpegang
dengan mazhab Shafi’i yang ‘dia faham’, terus hendak diadukan kepada
sultan dan raja. Malang sekali, sikap dan budi tokoh-tokoh mazhab itu tidak
diteladani. Kita tidak meminta pemerintah supaya jadi seperti ‘Umar bin ‘Abd
al-‘Aziz. Kita minta jangan buat sesuatu yang menimbul persoalan dan
kegelisahan rakyat.
Kita ingin sayangkan pemerintah kita dengan ikhlas. Pihak istana akan lebih
dihormati dan disayangi jika mereka mengikut perkembangan dan perasaan rakyat.
Hari ini dunia terbuka. Memaksa orang suka hanya membakar rasa kebencian.
Namun, akhlak yang baik, teladan yang bagus dan kehidupan yang jujur akan
menjadikan sesebuah institusi itu bertambah dekat di hati dan jiwa rakyat.
0 Response to "Antara Ratu dan rakyat- Dr Mohd Asri"
Post a Comment