oleh Tuan Abdul Hadi Awang
Saya merasa hairan sekiranya Umno yang memimpin kerajaan BN tidak
mengizinkan pilihanraya diadakan di musim haji, kalau berlaku
sebaliknya memang menghairankan. Umno pernah menggunakan kuasanya
mengadakan pilihanraya umum di musim haji, kerana dasar dan konsep
perjuangannya terus berpegang teguh dengan nasihat Suruhanjaya Reid
yang meletakkan agama sebahagian sahaja daripada aspek politik dan
urusan negara sebagaimana Umno melaksanakan tugasnya menghapuskan
tulisan jawi dan meletakkan kedudukan agama yang ada di bawah kuasa
raja-raja sekarang tanpa perubahan walaupun kemerdekaan sudah berlalu
lebih lima puluh tahun. Maka mengadakan pilihanraya di musim haji
terlalu kecil bagi Umno, kerana pilihanraya dianggap tidak ada hubungan
dengan dosa dan pahala boleh menipu, rasuah dan sebagainya. Kalau
berdosa pun boleh ditampung dengan haji dan umrah subsidi.
Kepada Umno ibadat haji boleh dipolitikkan, bukan sahaja mengadakan
pilihanraya di musim haji dengan menafikan hak mengundi kepada kalangan
umat Islam yang berada di Makkah atau Madinah. Pilihanraya boleh
diadakan di musim haji sekiranya mengurangkan sedikit undi yang boleh
memberi kemenangan kepada BN walaupun dengan majoriti kecil khususnya
di negeri-negeri utara dan Pantai Timur Semenanjung. Bahkan Umno boleh
mempolitikkan haji dengan mengeluarkan wang peruntukan kerajaan bagi
memberi subsidi haji kepada imam-imam, JKKK dan sebagainya. Walaupun
rukun haji diwajibkan kepada seseorang yang mampu secara individu bagi
dirinya dan berbuat kebajikan sunat kepada kalangan keluarga dan
sahabat. Maka memberi subsidi haji dan umrah oleh kerajaan tidak wajib
dan menerimanya juga tidak wajib, bahkan haram sekiranya menjejaskan
peruntukan rakyat miskin yang pendapatannya tidak mencukupi sara
hidup, begitu juga pelajar-pelajar miskin yang menuntut ilmu fardu
kifayah. Memang ternyata masih ramai yang tercicir dan ada yang dinafi
dan dibatalkan haknya kerana tidak menyokong Umno.
PAS tetap menegaskan bahawa memilih musim haji bagi tarikh
pilihanraya adalah bercanggah dengan Islam, kerana politik adalah
sebahagian penting bagi agama Islam dan menjadi syarat kepada
melaksanakan hukum-hukum Islam yang banyak, termasuklah membuktikan
Islam itu adil kepada seluruh manusia dan seluruh alam serta
melaksanakan kewajipan amar makruf dan nahi munkar dengan kuasa
pemerintahan negara.
Saya telah menjelaskan hujah syarei dalam tulisan sebelum ini,
walaupun ramai yang tidak boleh menerimanya kerana asas ilmu feqah
politik yang tidak ada sedikit pun. Allah pernah menempelak para
pemimpin Makkah yang berbangga dengan khidmat hajinya dan memakmurkan
Al Masjid Al Haram, di mana pahalanya seratus ribu kali ganda daripada
beramal di masjid yang lain daripada Masjid Madinah dan Masjid Aqsa.
Firman Allah:
أجعلتم سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام كمن آمن بالله واليوم الآخر
وجاهد في سبيل الله , لا يستوون عند الله والله لا يهدي القوم الظالمين .
التوبة 19
(Adakah kamu jadikan amalan memberi layanan minuman air kepada para
jamaah haji dan mengimarahkan Al Masjid Al Haram itu, sama seperti
kalangan yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta berjihad
pada jalan Allah (menegakkan agamanya )? Sebenarnya mereka tidak sama
di sisi Allah dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang
zalim ).
Mengundi adalah hak yang ditunaikan bagi memilih pemimpin dan
kerajaan. Kewajiban ini mengikut ajaran Islam adalah satu amanah yang
sangat besar dibebankan kepada umat Islam.
Firman Allah:
إن الله يأمركم أن تؤدوا الآمانات إلى إهلها وإذا حكمتم بين الناس أن
تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا . (النساء
).
Sesungguhnya Allah memerintah kamu supaya menunaikan amanah dengan
menyerahkan kepada orang yang mampu menunaikannya. Dan apabila kamu
melaksanakan hukuman di kalangan manusia hendaklah berlaku adil,
sesungguhnya Allah menyuruh kamu melakukan ajaran yang terbaik,
sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat.)
Maka pilihanraya memilih pemimpin dan kerajaan adalah kewajipan
besar dalam ajaran Islam, bagi menunaikan amanah, menyerahkan amanah
yang menentukan baik dan buruk, adil dan zalim yang menjadi kepentingan
umum dan masa depan dunia sehingga akhirat. Rasulullah S..A.W.
meletakkan hilangnya amanah memberi tugas memimpin umat kepada orang
yang tidak melaksanakan Syariat Allah menjadi punca kemusnahan yang
membawa berlakunya ajal dunia. Memilih pemimpin bukan kerana kelayakan
agama, akhlak dan ilmunya tetapi kerana wang, pangkat dan sebagainya
adalah mengkhianati Allah dan Rasul.
Sebahagian besar para sahabat R.A. hanya bersembahyang jenazah
Rasulullah S.A.W. kemudian berundur meninggalkan upacara mengebumikan
jenazahnya yang mulia kerana menghadirkan diri dalam perhimpunan di
Thaqifah Bani Saidah, melaksanakan amanah yang lebih besar daripada
mengebumikan jenazah Rasulullah S.A.W. iaitu amanah pemilihan Khalifah
pertama, yang membuat keputusan majoriti memilih Abu Bakar R.A.
PAS hanya mampu mengerahkan segelintir ahlinya sahaja dengan
penyebaran ajaran politik Islam, supaya menangguhkan haji wajib kalau
berlaku pilihanraya, kerana memilih wajib menunaikan amanah besar yang
tidak boleh ditangguh kerana dipaksa. PAS tidak mampu menyebarkan
kefahaman ini kepada masyarakat Islam seluruhnya, kerana khutbah Jumaat
di masjid-masjid, ustaz-ustaz upahan dan media digunakan oleh BN bagi
menyempitkan fahaman umat Islam terhadap ajaran Islam dan menyebarkan
fitnah terhadap PAS melalui segala medan, termasuk media yang berlagak
Islam, mencampurkan dosa dan pahala, benar dan bohong, laksana lembu
yang mengibas ekor di belakang terhadap sesiapa sahaja dan hanya
melihat ke hadapan ke arah rumput yang boleh diisi ke dalam perut.
Warga Turki yang bekerja di Australia yang peka dengan amanah ini,
pulang ke negaranya dengan tambang berlipat kali ganda daripada
menunaikan haji. Mereka pulang untuk mengundi parti Islam sehingga
mengalahkan kaum Kamal Atarturk yang memaksa umat Islam Turki dengan
pemerintahan sekularisme yang melemahkan Turki dan merosakkannya. Warga
Mesir dan Tunisia di luar negara berjaya memenangkan parti Islam
setelah berlakunya kesedaran politik sehingga mengalahkan parti ala
Umno di negara masing-masing.
Harapan PAS kepada umat Islam di negara ini supaya bersedia
menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 walaupun Umno BN melaksanakannya
tanpa mengira musim haji. Tema politik itu kotor (politic is dirty),
adalah penipuan penjajah terhadap umat Islam supaya meninggalkan
politik dan memberi ruang dan peluang kepada mereka dan pengikut mereka
menjajah selama-lamanya dan menghalang Islam berdaulat. Sebenarnya
merekalah yang mengotorkan politik yang menjadi amanah Allah yang
termasuk dalam perkara kerasulan yang membawa rahmat Allah kepada
seluruh alam dengan melaksanakan Islam yang adil kepada semua dan
matlamat kejadian manusia yang dihisab pada Hari Akhirat nanti.
Akhirnya Rasulullah S.A.W. memberi jaminan daripada Allah, bahawa
sesiapa yang melaksanakannya dengan sempurna menjadi kalangan pertama
daripada tujuh jenis manusia yang bernaung di bawah naungan Allah di
padang Mahsyar.sumber
0 Response to "Pilihanraya di musim haji terlalu kecil bagi Umno, kerana pilihanraya dianggap tidak ada hubungan dengan dosa dan pahala -TG Haji Hadi"
Post a Comment