Terkini

Adun Titi Serong ,Ustaz Abu Bakar tanya kenapa tiada mesyuarat agung kariah masjid.


Ini jawapan DS Zamry Kadir,mesyuarat banyak kelemahan,kelemahan pula besar.Mungkinkah ini alasan sebenar  DS Zambry kerana takut orang UMNO tak terpilih sebagai ahli jawatankuasa kerana tidak layak.

IPOH: Pemilihan anggota jawatankuasa masjid di seluruh negeri tidak menggunakan kaedah mesyuarat agung memandangkan ia mempunyai pelbagai kelemahan yang besar, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata walaupun pada dasarnya segala urusan kaedah dan pentadbiran agama Islam tertakluk kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992 namun kerajaan negeri sentiasa mengkaji kaedah terbaik pelantikan anggota jawatankuasa masjid.
"Pemilihan anggota jawatankuasa masjid melalui mesyuarat agung kariah mempunyai batasan dan kebarangkalian yang besar adalah pengundi bukan anggota kariah, anggota kariah tidak tahu hal ehwal masjid dan mengimarahkan masjid selain tiada kemahiran untuk melaksanakan pentadbiran," katanya ketika menjawab soalan Abu Bakar Hussain (PAS-Titi Serong) pada hari ketiga persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Rabu.
Beliau berkata kebanyakan negeri tidak menggunakan pemilihan melalui mesyuarat agung tetapi memilih kaedah pencalonan yang ditentukan oleh Majlis Agama Islam masing-masing seperti di Perak yang mana pencalonan dibuat penghulu, pegawai tadbir agama dan Orang Besar Jajahan.
Mengenai guru takmir agama yang dipecat pula, Zambry mengakui ada di kalangan mereka yang dipecat kerana didapati melakukan kesalahan oleh pihak pentadbiran agama.
"Kebanyakan mereka dijemput oleh pengurusan masjid untuk mengajar masyarakat di situ berdasarkan keperluan setempat. Kuliah oleh guru takmir agama ditentukan oleh masjid berkenaan. Kerajaan negeri hanya mengeluarkan tauliah mengajar selain memantau sebelum mengambil tindakan jika terdapat aduan serta masalah terhadap guru takmir," katanya.
Guru takmir di Perak sepatutnya mengisi penuh pengajiannya di masjid kepada masyarakat dengan pelbagai ilmu agama yang dimiliki serta tidak menjadikan institusi itu sebagai tempat untuk menyampaikan ideologi politik, katanya.
"Dari segi undang-undang, kerajaan negeri tidak boleh mengambil tindakan terhadap masjid yang menghalang guru takmir daripada mengajar di masjid, bidang kuasa itu berada di bawah Majlis Agama Islam Perak yang diketuai Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah," katanya.
Beliau menasihati supaya guru takmir agama menjaga tanggungjawab dan peranan masing-masing dengan baik di samping mengajar masyarakat dengan ilmu yang benar dan sahih.
"Dalam soal politik, jagalah perpaduan, dalam masjid tidak perlu berpolitik, kita sedih hari ini apabila masjid tidak dijadikan gelanggang perpaduan, di luar negara masjid dijadikan gelanggang berbunuhan," katanya. -BERNAMA

0 Response to "Adun Titi Serong ,Ustaz Abu Bakar tanya kenapa tiada mesyuarat agung kariah masjid. "

Post a Comment