Dalam kejadian sekitar jam 9.20 pagi itu, mangsa Low Kai Aik, 34, berkata, ketika tiba di Jalan Tupai 2, kereta dipandunya dilanggar secara tiba-tiba oleh seorang anggota penguat kuasa lengkap beruniform.
“Saya segera keluar dari kenderaan untuk mendapatkan penjelasan dan anggota penguat kuasa itu kata saya cuba langgar mereka ketika sedang menjalankan tugas berhampiran Plaza Perbandaran, namun saya menafikannya," katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat Adun Aulong, Leow Thye Yih semalam.
Kai Aik berkata, kemudiannya tiga lagi anggota penguat kuasa MPT yang menaiki kereta tiba dan dan beberapa orang daripada mereka terus membelasahnya tanpa belas kasihan.
“Apabila saya menjerit minta tolong, ramai datang cuba membantu namun dihalang seorang anggota.
“Tidak berapa lama kemudian datang kira-kira 30 anggota penguat kuasa MPT dan beberapa orang dari mereka bercakap kasar dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya serta memasukkan saya ke dalam kenderaan mereka,” katanya.
Peniaga itu berkata, dia terkilan kerana pada masa sama terdapat beberapa anggota berpangkat turut berada dalam kumpulan terbabit tetapi hanya berdiam diri dan tidak menghalang kakitangannya melakukan kekerasan terhadapnya.
“Apabila saya minta pegawai terbabit menghubungi pihak polis, ia tidak diendahkan dan mujurlah ada orang awam memaklumkan kejadian itu kepada polis.
“Setelah polis tiba di lokasi kejadian, saya terus dibawa ke balai polis Taiping untuk membuat laporan berhubung kejadian tersebut,” katanya.
Menurutnya, dia bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap penguat kuasa MPT terlibat.
Sementara itu, Thye Yih berkata, dia turut kesal dengan tindakan penguat kuasa MPT yang disifatkannya berlagak samseng dan memukul orang awam dengan sewenang-wenangnya.
“Sekiranya benar bersalah, mereka tidak sewajarnya memukul mangsa di khalayak ramai tetapi sebaliknya perlu melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.
“Saya harap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian ini kerana ia boleh menjejaskan imej MPT sendiri,” katanya.
Mengulas mengenai insiden itu, Yang Dipertua MPT, Shahrom Abdul Malik menjelaskan, pihak berkuasa tempatan itu menerusi bahagian penguatkuasaannya telah menjalankan Ops Halangan di sekitar Bandar Taiping.
Katanya, semasa mengadakan operasi di hadapan Plaza Perbandaran, kenderaan dipandu laju cuba merempuh anggota penguat kuasa bertugas.
“Kenderaan terbabit berjaya ditahan dan semasa menunggu kedatangan polis, berlaku sedikit pergelutan,” katanya.
Beliau berkata, lelaki terbabit di bawa ke IPD Taiping oleh pihak polis dan anggota penguat kuasa terlibat telah membuat laporan polis.
“Tidak dinafikan bahawa wujudnya kacau ganggu ketika penjawat awam sedang menjalankan tugas dan pihak polis juga sedang menjalankan siasatan,” katanya.
0 Response to "Dua penguatkuasa Majlis Perbandaran Taiping didakwa pukul taukeh restoran."
Post a Comment