Terkini

Saman RM230 juta,Kelantan selamat tiada kontrak ditandatangani


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menjelaskan tidak ada apa-apa kontrak ditandatangani dengan syarikat Dae Hanguru Infra Sdn Bhd (DHI) bagi membina lebuh raya rakyat Kota Bharu-Kuala Krai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, syarikat terbabit hanya diberi surat tawaran sahaja sebelum ini.

Malah katanya, syarikat terbabit juga telah dihantar surat pada 15 Mei 2013 bagi menjawab sama ada masih berminat meneruskan projek terbabit atau sebaliknya.

“Bagaimanapun sehingga 15 Jun 2013 syarikat itu tidak jawab apa-apa sama ada setuju atau tidak dengan projek berkenaan.

“Jadi kerajaan negeri menganggap syarikat itu tidak lagi berminat sehingga akhirnya dibuat keputusan menamatkan tawaran awal yang diberi sebelum ini,” katanya di sini.

Semalam DHI memfailkan saman terhadap anak syarikat kerajaan negeri, Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan atas dakwaan gagal memenuhi perjanjian pembinaan lebuh raya terbabit.

Projek lebuh raya rakyat dirancang kerajaan negeri ekoran kerajaan pusat menyinsihkan projek tersebut sejak Rancangan Malaysia Kelima.

Ekoran itu pecah tanah projek tersebut dilakukan pada 28 Mei 2012 di Machang. Lebuh raya berkenaan sejauh 68 km dirancang kerajaan negeri membabitkan kos kira-kira RM1.8 bilion.

Sebelum ini pada 30 Disember 2009 kerajaan Kelantan diperintah membayar sebanyak RM800 juta kepada syarikat Timbermine Sdn Bhd ekoran pembatalan kawasan pembalakan di hulu Kelantan pada 1974.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu membuat keputusan supaya kerajaan Kelantan membayar RM800 juta termasuk melibatkan ganti rugi RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat itu.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ketika itu, banyak pihak menyerang kerajaan Kelantan kerana gagal mematuhi perjanjian yang ditandatangani.

Bagaimanapun katanya, pada 23 Julai 2012 Mahkamah Rayuan mengetepikan saman berjumlah RM800 juta syarikat Timbermine.

Minggu lepas kerajaan  negeri menjelaskan 50 syarikat berminat terhadap projek lebuh raya rakyat. Dan sejak tender dibuka bermula 15 Januari lalu 15 daripada 50 syarikat terbabit telah mengemukakan permohonan mereka.

0 Response to "Saman RM230 juta,Kelantan selamat tiada kontrak ditandatangani"

Post a Comment