Terkini

 Biar orang lihat PAS dan ahlinya 10 kali atau lebih,lebih baik.-Ustaz Nordin.

UCAPAN YANG DIPERTUA PAS KAWASAN BUKIT GANTANG 2015

Assalamulaikum warahmatullahi wabarokatuh dan salam sejahtera

1. Yang dihormati Tuan Pengerusi Tetap

2. YB SITI ZAILAH MOHD YUSOFF,  Ketua dewan Muslimat PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Rantau Panjang selaku perasmi Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kali ke-48

3. Y. BHG TN. HJ RAZMAN B. ZAKARIA, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak

4. YB DATO SERI HJ MOHD NIZAR B. JAMALUDDIN, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Ckt Jering

5. Yang Berusaha Ust Zulkefli b. Ahmed, Timbalan Yang Dipetua PAS Kawasan

6. YB Chuah Yee Ling, selaku Ketua Cabang PKR Bukit Gantang dan rakan-rakan,  wakil Parti Keadilan Rakyat Cabang Bukit Gantang

7. ...................................................................... dan rakan-rakan,  wakil DAP Bahagian Bukit Gantang

8. Seluruh ahli jawatankuasa PAS Kawasan, Ketua dan ahli jawatankuasa Urusan ulama, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, dan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

9. Dan seterusnya seluruh perwakilan dan pemerhati yang dirahmati sekalian.

Firman Allah SWT

(إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ)
{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)}
(al-Hujurat : 15)

Tuan-tuan dan puan-puan,para perwakilan danpemerhati yang dirahmati Allah sekalian,

 Ayat di atas memperlihatkan kepada kita bahawa keimanan menghasilkan keyakinan kepada Allah dan Rasul serta mencetuskan jihad dan perjuangan dalam kehidupan seseorang yang beriman itu. Orang yang tinggi imannya mempunyai kesanggupan dan kesungguhan untuk berjuang atas nama jhad dengan tahap kesungguhan yang tinggi kerana mempunyai keyakinan bahawa segala pengorbanan yang dilakukan akan dibalas dengan ganjaran yang amat besar di akhirat nanti.

 Banyak orang yang boleh bercakap tentang perjuangan dan kewajipan berjemaah, tetapi hakikatnya tidak banyak yang sanggup menempuh pelbagai halangan dan cabaran dalam mengharungi cabaran yang dihadapi oleh jemaah. Perjuangan bukan sekadar berlandaskan ijazah atau kelulusan yang tinggi tetapi perlu disertakan dengan keyakinan, kesanggupan, ketahanan, kesungguhan, kepatuhan, ketaatan, keikhlasan dan pelbagai lagi resepi yang perlu dimiliki oleh pejuang.  Firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ . (الأنعام :153).

Dan sesungguhnya inilah jalan ku yang betul (istiqamah), maka jangan sekali-kali kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti kamu akan pecah terpelanting keluar daripada jalannya (yang sebenar), begitulah Allah memberi peringatannya kepada kamu, supaya kamu bertaqwa (kepadanya).

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Istiqamah dalam perjuangan kita ini, menuntut kita memahami erti sebenar manusia diciptakan, menerima amanah dari Allah SWT, dan seterusnya bersama kumpulan Islam menerusi PAS bagi memikul amanah khilafah ini. Ianya menuntut kita beristiqamah kepada panduan Allah dan Rasul dalam setiap gerak tindakan kita. TERUS BERISTIQAMAH . Berasaskan kepada keyakinan terhadap teras perjuangan PAS inilah maka kita melafazkan rasa penuh syukur kepada Allah S.W.T. yang meletakkan kita dalam wadah Parti Islam SeMelaysia (PAS), di mana sejarah penubuhannya menjadi mata rantai perjuangan Islam yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Kita sama-sama memahami dan meyakini bahawa Islam adalah cahaya petunjuk Allah yang tidak boleh dipadamkan, maka selagi kita beristiqamah (konsisten) di atas landasan Islam dan matlamatnya yang ditetapkan oleh Allah dan ditunjukkan perjalanannya oleh Rasulullah S.A.W, maka kita tetap berada di pihak yang benar dan berpijak di atas landasan hidup yang teguh. Maka kita akan selamat di dunia dan akhirat, walau pun menghadapi keadaan rebah dan bangun, kalah dan menang, serta belum dilihat hasilnya di alam dunia ini

Bagi mengukuhkan kedudukan dan keaslian dasar perjuangan PAS, maka kita wajib beristiqamah bersama Islam serta berpegang kepada dasar yang digariskan dalam perlembagaan PAS. Ianya menggariskan bahawa hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH Alquran dan SUNNAH RASUL serta IJMA’ ULAMA dan QIYAS. Istiqamah dalam perjuangan ini memberi makna yang jelas bahawa sebarang tindakan kita, sama ada dalam aspek politik, dakwah, tarbiyah; semuanya mestilah dalam panduan hukum yang tertinggi ini, manakala batasan pegangan PAS ini hendaklah berpandukan konsep Tafaqquh Fi al-Din. Para pemimpin yang terdahulu daripada kita telah meletakkan asas yang kukuh dalam Perlembagaan PAS menerusi nukilan Fasal 3 dan 7 yang memperincikan tentang Hukum, Kekuasaan dan Majlis Syura Ulama. Ianya diikuti oleh Fasal 8 yang mewajibkan penubuhan Majlis Syura Ulama dengan tugas dan fungsinya yang jelas. Semuanya wajib difahami dan diamal oleh seluruh ahli dan khususnya kepimpinan di semua peringkat.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Menurut Islam, kepimpinan atau imamah wajib dibentuk bagi melaksanakan dua tanggungjawab yang besar iaitu untuk memelihara agama dan menguruskan siasah dunia. Memelihara agama bermaksud menjaga, mengembang, mempertahan dan melaksanakan syariat agama dalam semua bidang hidup sama ada yang mengenai peribadi, keluarga, masyarakat an negara bahkan dunia seluruhnya. Sementara menguruskan siasah dunia bererti mengendalikan urusan pentadbiran, pemerintahan dan pembangunan yang melibatkan soal-soal kehidupan, pembangunan material, kemajuan dan peradaban berasaskan kepada nilai-nilai agama dan prinsip-prinsip syariat. Dasar-dasar ini adalah dasar-dasar yang berkaitan kepimpinan negara dan ummah.

Lantaran penting dan besarnya tanggungjawab kepimpinan ini iaitu kepimpinan yang mengabungkan tanggungjawab keagamaan dan keduniaan yang tidak boleh dipisahkan maka Islam meletakkan syarat-syarat tertentu agar amanah kepimpinan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menepati matlamatnya, kerana seorang pemimpin dalam Islam bukan sahaja bertanggungjawab kepada umat bahkan bertanggungjawab kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

(الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ)
“Mereka yang apabila kami kukuhkan mereka di bumi mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat dan mereka menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mereka mencegah dari berbuat yang mungkar dan kepada Allah jualah akibat dari segala urusan”

(al Hajj : 41)

 Berdasarkan kepada tanggungjawab besar dalam kepimpinan, maka saya menyeru agar setiap ahli di Kawasan Bukit Gantang akan terus berpegang kepada konsep kepimpinan ulama yang dibentuk dalam PAS. Kita akan berdiri teguh untuk mempertahankan kepimpinan Ulama yang diketuai oleh pimpinan TG Presiden yang telah terbukti kehebatannya sama ada di dalam negara atau di luar negara. Kasih kita kepada kepimpinan TG Presiden bukan hanya melalui kata-kata tetapi perlu diterjemahkan melalui gerak kerja dan tindakan kita. Seruan dan harapan TG Presiden perlu disahut dengan tindakan yang diatur secara strategik dengan disiplin kerja yang bersungguh-sungguh serta kesanggupan mengadai masa, keringat, harta dan sebagainya demi perjuangan yang suci ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Kita baharu sahaja kehilangan beberapa tokoh besar dalam PAS yang telah kembali kerahmatullah. Pemergian TG Harun Taib dan TG Nik Aziz Nik Mat memang sukar dicari ganti. Jasa dan keringat yang dicurahkan dalam perjuangan ini memang tiada tandingannya. Namun yang pergi tetap pergi dan tidak akan kembali lagi. Apa yang penting jika kasihkan mereka ialah kita akan cuba sedaya upaya untuk mengikut dan menuruti saranan yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh besar ini. Mereka berjuang dan mengorbankan masa mereka puluhan tahun
sejak daripada usia muda tanpa ada garis penamat kecuali nyawa ditarik oleh Allah SWT.
Lantaran itu, saya ingin menyahut seruan ini sekiranya diberikan kepercayaan untuk terus menyumbangkan keringat dalam kepimpinan PAS Kawasan Bukit gantang.

 Walaupun kini saya diuji oleh Allah SWT dengan penyakit yang saya hadapi ketika ini. Apalah sangat ujian ini jika dibandingkan dengan sahabat-sahabat lain yang sanggup mengorbankan nyawa untuk perjuangan suci ini. Alhamdulillah keadaan kesihatan saya kini semakin pulih, hasil daripada doa daripada para sahabat. Saya juga mendapat nasihat daripada pakar perubatan yang merawat saya untuk meletak diri saya bukan sebagai seorang yang menghadapi penyakit tetapi bertindak dan berfikir seperti orang yang sihat kerana inilah merupakan terapi yang terbaik untuk pesakit kanser.
Insyallah, saya berikrar dan berjanji akan melawan UMNO BN dan musuh2 islam sehingga nyawa saya di ambil oleh Allah SWT.

Saya juga masih ingat dan amat mengkagumi dua tokoh pimpinan muslimat yang tidak tunduk dengan ujian penyakit untuk terus berjuang dalam PAS iaitu Allahyarhamah Puan Amizan Baharuddin dan Dr Lolo Ghazali. Kedua-duanya tidak pernah tunduk dan menunjukkan sikap menggalah untuk terus menaburkan bakti dan keringat mereka untuk terus berjuang hingga ke akhir hayat mereka.
 Marilah kita sama-sama membaca surah Al fatehah untuk para pejuang PAS yang telah pergi terlebih dahulu daripada kita. Semoga mereka ditempatkan bersama-sama para syuhada. Alfatehah.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Hari ini kita berhadapan dengan cabaran pertelingkahan sesama ahli jemaah akibat perbezaan pendapat dan pandangan yang dikira antara yang paling kritikal dalam sejarah PAS. Pertelingkahan ini menjadi lebih meruncing disebabkan perkembangan pesat kemajuan bidang media sosial yang dijadikan medan untuk meluah perasaan dan isi hati yang bersengketa. Percakaran sesama kita dipaparkan dalam media sosial tanpa memikirkan kesan buruk yang akan dihadapai dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Kita perlu belajar daripada sejarah, bagaimana beberapa jemaah Islam di dunia kini berhadapan dengan nasib menuju keruntuhan akibat penggunaan media sosial secara tidak beretika.

 Kita kena lebih berhati-hati untuk menggunakan saluran media sosial ini untuk meluahkan ketidak puasan hati kerana jangkauan audiannya cukup besar dan melebar.

 Ingat pesanan Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS yang memberi panduan penggunaan media sosial ini agar kita tidak terpalit dengan fitnah dan terlibat sama secara tidak sengaja untuk menjatuhkan rakan sejemaah atau jemaah PAS itu sendiri. Pesan beliau, kalau dapat bahan daripada media sosial, siasat dahulu sama ada bahan itu sahih atau tidak. Ada tidak mengandungi fakta yang meragukan atau bahan tersebut memang jelas fitnah. Sekiranya bukan fitnah dan betul, fikirkan dahulu bahan tersebut menguntung atau tidak sekiranya disebarkan kepada jemaah.

Sebenarnya kemajuan media Internet ini khususnya media sosial merupakan satu kredit kepada kita sekiranya digunakan dengan betul.

 Jadikan media ini sebagai jambatan untuk mengembangkan pengaruh PAS dan Islam. InsyaAllah pahalanya berpanjangan.

  Jaga akhlak kita sebagai orang Muslim apatah lagi kita berada dan bertanggung jawab kepada jemaah Islam yang dinilai oleh orang luar tentang gerak geri kita dan tingkah laku kita.

 Biar orang lihat PAS dan ahlinya 10 kali atau lebih, lebih baik daripada yang disangkakan bukannya kita dilihat lebih buruk atau sama dengan ahli parti lain.

 Kita kena faham bahawa di luar sana orang ramai meletakkan persepsi bahawa orang PAS ini orang baik-baik, jadi kita bertanggungjawab untuk menterjemahkan kebaikan itu agar PAS terus dihormati.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Mesyuarat Agung merupakan medan untuk kita bermuhasabah dan berkongsi pandangan serta  pendapat ke arah memantap dan mengukuhkan parti.  Pertemuan dalam mesyuarat ini amat penting, bagi menentukan hala tuju dan landasan parti di kawasan ini berdasarkan matlamat yang telah ditetapkan oleh Parti.

 Justeru kehadiran kita dalam mesyuarat ini merupakan suatu anugerah dan pilihan Allah SWT. Maka kita seharusnya menggunakan medan ini untuk memberikan pandangan dan idea mengikut akhlak yang danjurkan oleh Islam.
Di samping itu, diharapkan juga pertemuan ini dapat mengeratkan ukhwah sesama ahli jemaah. Kita perlu memerah idea untuk mengatur strategi dalam pertemuan agung ini untuk menghancurkan rencana musuh yang tidak pernah leka untuk mengatur strategi untuk memusnah perjuangan suci ini.

Mesyuarat agung tahun ini juga berkebetulan dengan tahun pemilihan kepimpinan parti Kawasan Bukit gantang. Pemilihan kepimpinan dalam jemaah adalah suatu yang amat penting kerana di tangan mereka terletak tanggungjawab untuk membawa jemaah ini dalam arena politik dan dakwah khususnya di kawasan ini.

 Oleh itu, nasihat saya pilihlah dalam kalangan mereka yang difikirkan layak dan terbukti berjaya memikul tanggungjawab serta amanah, cabaran dan dugaan dalam perjuangan yang mungkin penuh onak dan duri.

 Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Kepada Dewan2 yang menjadi benteng perjuangan kita, wajar dibajai dgn persiapan diri dgn pengetahuan dan pengalaman yang mendalam sebelum turun ke medan meminpin masyarakat, dengan lebih memahami realiti politik semasadalam masyarakat berbagai lapisan yang ada sekarang ini,
Peluang kemenangan yang dilihat seperti hampir dan cabaran baru di era alam maya juga ,memerlukan ulama, pemuda dan muslimat untuk mengurus cabaran tersebut secara berhemah dan berstratigi,
Tarbiyyah ulama, pemuda dan muslimat pula perlu dinamik , bukan hanya untuk melahirkan pemimpin parti yang murni fikrah perjuangan nya, tetapi juga umtuk membentuk pemimpin masyarakat dan negara yang mempunyai sakhsiah, kerampilan yang tinggi dan mampu merungkai persoalan-persoalan besar yang mewarnai kehidupan masyarakat.
Akhir kata saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang berkerja dengan bersungguh-sungguh untuk kekuatan dan kemenangan PAS di Kawasan Bukit gantang tanpa mengharapkan habuan dan balasan khususnya seluruh ahli jawatankuasa Kawasan, Pimpinan urusan Ulama, Pimpinan Dewan Pemuda, Pimpinan Dewan Muslimat,DHPP
 PimpinanJPrk, JPrd ,UPU dan Pimpinan Cawangan-cawangan serta semua ahli dan petugas PAS yang dikasihi sekalian.Semoga kita sentiasa berada dalam petunjuk dan rahmat Allah SWT

Sekian, اقول قولي Wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.



MOHD NORDIN B. JAAFAR

Yang Dipertua

PAS Kawasan Bukit Gantang

0 Response to " Biar orang lihat PAS dan ahlinya 10 kali atau lebih,lebih baik.-Ustaz Nordin."

Post a Comment