Terkini

Muhyiddin perlu jumpa Agong, cadang lucut jawatan PM-Husam Musa

Ini adalah kali pertama negara berada dalam keadaan yang sangat kritikal seperti ini. Perdana menteri selaku ketua pengurus negara pada waktu ini dilingkari tanda-tanda penyalahgunaan kuasa yang amat dahsyat.

Namun kemudi negara untuk membetulkan keadaan itu masih di tangan perdana menteri. Maka, tidak mungkin usaha untuk meletakkan negara kembali ke landasan yang benar dapat dilakukan.

Landasan keluhuran undang-undang adalah kunci perjalanan kerajaan di atas dasar jujur dan amanah serta menjamin keamanan dan kedaulatan negara.

Kenyataan berani dan terbuka peguam negara pada Sabtu lepas sebenarnya sudah cukup bagi seorang pemimpin yang bermaruah mengambil langkah mengundurkan diri.

Segalanya telah tersimpul dalam kenyataan itu dan hingga petang Isnin 6 Julai, empat hari selepas kenyataan itu, PM gagal mengeluarkan sebarang penjelasan terhadap kenyataan AG.

AG menyatakan telah melihat sendiri dokumen-dokumen berkaitan dan mengarahkan serbuan dibuat ke atas syarikat berkaitan, maka negara kita sepatutnya telahpun diambil alih oleh seorang PM yang baru atau paling kurang pemangku PM.

Tindakan berdiam diri ke atas kenyataan AG itu hanya akan membuka jalan kepada usaha untuk menyembunyikan jenayah dan pelbagai manipulasi politik.

Kenyataan oleh badan-badan mahasiswa UIA semalam adalah sangat bermakna dalam situasi kritikal sekarang. Saya mengucapkan syabas kepada semua mahasiswa UIA khususnya pemimpin mereka Saudara Hanif Mahpa dan Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda dan lain-lain.

Sesuatu mesti dilakukan oleh semua pihak dalam negara kita untuk memaksa PM melepaskan tanggung jawab dan kuasanya setidak-tidaknya untuk sementara waktu bagi membolehkan siasatan dan tindakan yang bebas dapat diambil.

Saya bersetuju TPM mesti mengambil inisiatif utama untuk meluruskan langkah pembetulan negara.
TPM sewajibnya menemui Yang di-Pertuan Agong bersama AG untuk menyembah maklum keadaan yang ada dan seterusnya mencadangkan pelucutan jawatan PM.

MP seluruhnya perlu menunjukkan sikap patriotik mereka termasuk memberikan sokongan kepada TPM untuk mengambil alih negara dari DS Najib sekalipun mereka adalah dari parti-parti di luar kerajaan.

Tan Sri Muhyiddin juga perlu menjamin suatu tindakan undang-undang diambil tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Lebih banyak malapetaka akan berlaku jika tindakan segera tidak diambil.

HUSAM MUSA ADUN Salor dan bekas naib presiden PAS.



0 Response to "Muhyiddin perlu jumpa Agong, cadang lucut jawatan PM-Husam Musa"

Post a Comment