Terkini

PAS berpecah dua, apa berlaku kepada harta" sepencarian"-Asmuni Awi.

Bila PAS berpecah, apa berlaku kepada ‘harta sepencarian’ mereka?


PAS tidak seharusnya terlalu keras menghalang GHB menggunakan premis parti dalam aktiviti mereka kerana ia dibina hasil sumbangan bersama, kata Penyelaras GHB Perak Asmuni Awi. Selepas perpecahan ketara berlaku dalam PAS, dengan ada yang bakal menghasilkan satu parti baharu, soalan timbul apakah akan berlaku kepada harta milik parti itu yang selama ini diusahakan bersama para pemimpinnya.

Istilah harta sepencarian akan timbul apabila satu penceraian berlaku antara suami dan isteri, tetapi bagaimana pula kalau sebuah organisasi seperti PAS berpecah, apakah ada isu harta pencarian?

Inilah yang bakal rancak dibahaskan pemimpin dan ahli PAS selepas ini apabila Gerakan Harapan Baru (GHB) bertukar menjadi sebuah parti politik gabungan pembangkang yang baharu.

Perbahasan ini mula hangat apabila PAS didakwa menghalang markas dan pejabat mereka digunakan GHB untuk menjalankan aktiviti mereka, seperti didedahkan bekas bendahari parti Asmuni Awi.

"Mereka jangan begitu keras dalam hal ini, seolah-olah semuanya harta mereka. Ia sepatutnya dibincangkan dengan baik.

"Kalau suami isteri bercerai pun akan ada isu harta sepencarian, inikan pula sebuah organisasi politik, sudah tentu ada. Jadi ia sepatutnya dibincangkan dengan baik," katanya kepada The Malaysian Insider.

Asmuni mengulas tindakan pemimpin PAS yang didakwanya begitu keras dan angkuh menyekat GHB daripada menggunakan premis parti dalam aktiviti mereka, padahal ia dibina hasil sumbangan bersama ketika mereka masih dalam parti Islam itu.

"Jangan sampai ada antara kami yang mengatakan 'tidak halal' segala sumbangan itu. Kalau ini berlaku, silap-silap nanti akan ada markas PAS yang tinggal tiang saja nanti.

"Lampu, kipas dan pendingin hawa tercabut nanti," katanya yang merupakan seorang peguam dan antara penyumbang dan pemegang amanah utama harta milik PAS ketika ini.

Antaranya, Asmuni merupakan penama kepada syarikat yang memiliki pejabat agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Bangunan bekas cawangan sebuah bank itu diusahakan Datuk Husam Musa dan bendahari PAS ketika itu Dr Mohd Hatta Ramli.

Ia dibeli dengan harga RM8 juta, sementara sejumlah RM4 juta lagi dibelanjakan parti itu untuk penambahbaikan dan pengubahsuaian.

Selain pejabat agung, hampir semua PAS negeri dan kawasan, termasuk sesetengah cawangan, mempunyai bangunan dan pejabat masing-masing yang dibina bersama.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan dalam kenyataannya menyifatkan GHB tidak bermaruah apabila menggunakan premis PAS untuk menjalankan aktiviti mereka.

"Lebih malang, mereka adakan 'roadshow' ke seluruh negara, menggunakan premis PAS dan mengajak ahli parti menyertai mereka untuk menyertai parti baharu itu.

"Jelasnya, mereka mengajak ahli PAS keluar parti. Tindakan itu sangat tidak bermaruah," katanya menyelar tindakan itu.

 Asmuni pula berkata, beliau menyifatkan tindak balas PAS terhadap penubuhan GHB sebagai 'pelik' kerana sebelum ini mereka meminta pihak yang tidak sependapat dengan presiden meninggalkan parti.

"Mereka nak apa sebenarnya? Masa kita dalam PAS, mereka kata kita sekular, liberal dan sebagainya, serta menghalau kita keluar.

"Apabila kita keluar, mereka kata kita tinggalkan jamaah, pecahkan jamaah," kata penyelaras GHB Perak itu.

Katanya, istilah yang lebih tepat sebenarnya adalah, PAS berpecah dua bukannya penyokong GHB meninggalkan parti atau keluar jemaah sebagaimana yang sedang didoktrinkan sesetengah pemimpin parti Islam itu sekarang. – 5 Ogos, 2015.(sumber tmi)

1 Response to "PAS berpecah dua, apa berlaku kepada harta" sepencarian"-Asmuni Awi."

  1. kadang sedih nengok geng ghb ni..asal pas kini ahli pas tapi memusuhi pas parti sendiri..dan sekarang timbul kan isu harta sepencarian..masa kamu beri sumbangan utk pas dulu niat nya utk apa..takut dunia tak dapat ikhirat melepas..

    ReplyDelete