Terkini

Benarkan Presiden Amanah ke Sarawak.

KENYATAAN MEDIA

PRN SARAWAK: BENARKAN PRESIDEN AMANAH KE SARAWAK

1. Saya sempat bersama Hj Mohamad Sabu ke Sarawak awal Mac 2016, sebelum beliau dihalang memasuki Sarawak baru-baru ini.

2. Sepanjang berada di Sarawak, sambutan rakyat disana sangat mengujakan dan luar biasa. Ke mana sahaja beliau lawati pasti mendapat sambutan dari kalangan masyarakat setempat.

3. Selama empat hari berada di Sarawak kami telah menginap di homestay dan rumah rakan. Jadual harian bermula seusai subuh dan berakhir selepas tengah malam. 

4. Tidur beliau tidak kira tempat sama ada diatas katil, diatas sofa, dalam kereta, atau diatas lantai termasuklah di lantai anjung Rumah Panjang. Senang punya sosok Presiden sebegini. Kalau presiden tidur di sofa, setiausaha politik beliau tidur di katil, kalau presiden tidur di katil, setiusaha politik beliau akan tidur dilantai. Ingat, tidur kita bukan kerana katil, tidur kita kerana mengantuk. Di parlimen pun ramai pemimpin tidur.

5. Empat hari di Sarawak membolehkan Presiden Amanah bertemu rakyat dibanyak Dewan Undangan Negeri. Sama ada yang bakal ditandingi Amanah maupun rakan Pakatan Harapan. Pasar, restoran, Rumah Panjang, program dipedalaman atau dibandar beliau akan turun dalam usaha menyampaikan mesej perubahan. Beting Maro, Kabong, Sebuyau, Krian, Muara Tuang dan beberapa DUN lagi telah beliau lawati. Pejabat Wakil Rakyat Keadilan YB Ali Biju di Krian, turut beliau lawati sambil mendengar penerangan dan gerak kerja terkini dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

6. Dalam mana-mana majlis sekali pun, penerangan beliau mudah difahami masyarakat setempat. Antaranya dalam melawan rasuah, menentang cukai yang sangat membebankan rakyat seperti yang dilakukan oleh Imam Nawawi, disamping beliau mengajak rakyat memilih pemimpin yang bersifat amanah bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang memiliki ciri "good governance" dan seumpamanya. 

7. Antara contoh mudah dan dekat yang beliau gunakan agar lebih difahami rakyat ialah berkenaan ketiadaan sumber air bersih. Beliau mengajak rakyat Sarawak berfikir mengapa mereka tidak mendapat bekalan air bersih yang mencukupi sedangkan sungai-sungai di Sarawak begitu besar dan mempunyai sumber air yang mencukupi, dimana silapnya? Lainlah Melaka, sungainya kecil, sumber airnya terhad dan airnya sudah mula dicatu, wajarlah Ketua Menteri Melaka sekadar berdoa pagi dan petang memohon hujan tetapi tidak bagi Sarawak.

8. Persoalannya mengapa Hj Mohamad Sabu dihalang ke Sarawak? Apakah kandungan ucapan, pengaruh beliau, atau tidur beliau dirumah panjang tidak disenangi pimpinan BN Sarawak walau puluhan tahun merdeka, mereka mungkin belum pernah melakukannya. 

9. Sekiranya ucapan beliau dianggap boleh menggangu keharmonian rakyat Sarawak, apakah BN Sarawak mengecilkan kemampuan rakyat Sarawak untuk membedakan yang mana baik dan yang mana buruk. Saya fikir rakyat Sarawak sudah cukup matang menilai baik buruk setiap pandangan pemimpin politik. Sekiranya melampaui batas, Sarawak juga punya kedaulatan undang-undang yang harus dipatuhi rakyat Malaysia.

10. Menghalang Presiden Amanah ke Sarawak merupakan satu lagi titik hitam dalam sejarah politik Malaysia. Apakah Pimpinan BN Sarawak mahu diingat sebagai pemimpin yang "mengikat mulut dan kaki" lawan politiknya dalam konteks demokrasi. Sejarah akan ditulis sedemikian rupa, maka masih ada ruang dan masa bagi Tan Sri Adenan Satim merubah nukilan sejarah tersebut.

11. Dalam masa yang sama, dimanakah suara Pimpinan Putrajaya? Mana slogan satu Malaysia yang dilaungkan? Menghadkan rakyat Malaysia ke Sarawak adalah satu hukuman kepada rakyat dalam kerangka negara berdaulat. Putrajaya sudah boleh menggali lubang dan mencampakkan slogan Satu Malaysia untuk dikebumikan atau mungkin Putrajaya sedang sibuk menutup lubang 1MDB.

12. Namun masih belum terlambat untuk Petrajaya dan Putrajaya bertindak. Benarkan bukan sahaja Presiden Amanah tapi semua rakyat Malaysia ke Sarawak. Biarkan rakyat Sarawak mendengar mesej semua dan mereka pasti dapat menilainya. 

13. Besarlah harapan kami agar pintu demokrasi itu terbuka luas, bertanding secara sihat, hujah lawan hujah. Biarkan rakyat Sarawak yang matang menentukan pimpinan Sarawak dalam PRN yang akan datang.

Selamatkan Sarawak, Selamatkan Malaysia.

Adly bin Zahari
Majlis Pimpinan Nasional 
Parti Amanah Negara

0 Response to "Benarkan Presiden Amanah ke Sarawak."

Post a Comment