Terkini

KES ROGOL :Pelatih PLKN kemuka rayuan-ada isu dan asas .

KUANTAN, 29 Okt - Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mendakwa dirogol jurulatihnya pada 2004 mendesak agar pihak pendakwaan memfailkan segera rayuan kesnya ke Mahkamah Rayuan.

Mangsa menerusi peguamnya, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Selasa lalu yang melepas dan membebaskan bekas jurulatih PLKN Zuki Mohd dari tuduhan merogol.

"Kami mendapat arahan dari anak guam kami (mangsa) untuk memohon dan mendesak Pendakwaraya Negeri Terengganu memfailkan rayuan segera ke Mahkamah Rayuan memandangkan terdapat isu-isu penting dan asas yang perlu diselesaikan oleh mahkamah yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Beliau berkata selaku peguam pemerhati dalam perbicaraan kes itu, pihaknya juga sudah menulis kepada pejabat Timbalan Pendakwaraya Terengganu bagi tujuan tersebut.

Mohd Fadzli berkata anak guamnya yang mengalami trauma teruk sehingga kini dan hanya bergantung kepada ibubapanya berharap agar mahkamah dapat memberikan sepenuh keadilan kepadanya.

Pada 27 Okt lepas, Hakim VT Singham mengenepikan hukuman penjara 12 tahun dan tiga kali sebatan yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen pada 19 Dis 2005, sekaligus membebaskan Zuki yang telah menjalani hukuman penjara sejak 19 Dis 2005.

Ketika memutuskan rayuan Zuki untuk mengenepikan sabitan dan hukuman yang notisnya dikemukakan Zuki pada 21 Dis 2005, Hakim Singham berkata pihak pendakwaan gagal mengemukakan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir perbicaraan dan tertuduh sepatutnya tidak perlu dipanggil untuk membela diri.

Zuki didakwa merogol pelatih program berkenaan antara 7.28 malam hingga 9.10 malam dalam sebuah kereta Perodua Kancil di kawasan pertanian Rhu Tapai, Setiu, 28 Feb 2004.

-- BERNAMA

0 Response to "KES ROGOL :Pelatih PLKN kemuka rayuan-ada isu dan asas ."

Post a Comment