MALAYSIA AMANAH KITA

MALAYSIA AMANAH KITA
Terkini

Naik 20 sen,ini bukan Profesor Kangkung,berani sanggah pendapat Menteri .


SHAH ALAM – Kenaikan harga petrol dan diesel di negara ini dilihat memberi kesan kepada pelbagai perspektif kehidupan terutama kepada golongan kelas pertengahan dan bawah.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr Nor Ghani Md Nor menyentuh soal kesan yang berkait-kait ekoran kenaikan harga bahan api itu,  meskipun nilai 20 sen dianggap kecil oleh segelintir pihak.

“Yang jelas, ada kesan langsung kepada harga barangan. Saya tak dapat nak jangkakan berapa peratus tetapi, tentu ada kesan sebab melibatkan diesel dan petrol, terutama diesel yang menjadi input kepada proses pengeluaran dan pengangkutan.

“Kesan seterusnya kepada kesejahteraan rakyat. Terutama mereka yang berpendapatan rendah. Sebab 20 sen itu, peningkatannya 11 peratus daripada harga sekarang,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Menurutnya, pengurangan subsidi oleh kerajaan boleh mengurangkan defisit kerajaan sehingga RM3.3 bilion, tahun depan, namun itu bukan satu jumlah yang besar.

“Defisit kerajaan boleh dikurangkan sedikit. Implikasinya tak banyak saya rasa sebab jumlahnya tidak berapa besar," katanya.

Beliau menganggarkan berlaku pertambahan perbelanjaan sekitar RM22 setiap bulan bagi setiap pengguna ekoran kenaikan harga RON95 dan diesel.

“Sebenarnya beginilah. Memang kita boleh kata kita kena pandai berbelanja dan sebagainya tetapi hakikatnya, jika sekarang kita keluarkan RM200 sebulan untuk petrol, sekarang kena tambah lagi RM22 untuk sebulan, jika kita tak ubah cara penggunaan kenderaan dan sebagainya.

“Sesetengah orang kata, alah RM20, tak banyak sangat. Tapi hakikatnya, kerana RM20 itu, ramai yang menerima kesan langsung dan mungkin ada yang cukup-cukup atau dalam kehidupannya memang kurang sedikit pendapatan berbanding perbelanjaan,” katanya.

Mengulas lanjut soal peningkatan kos seharian membabitkan pengguna berpendapatan rendah, beliau menjangkakan penggunaan kereta akan beralih kepada motosikal yang lebih menjimatkan.

“Kos pengangkutan untuk mereka yang menggunakan kenderaan persendirian akan meningkat sebanyak 11 peratus.

“Tapi yang kita akan tengok, saya jangkakan adalah peningkatan kepada isi rumah yang akan bertukar bentuk kenderaan daripada kereta kepada yang lebih menjimatkan seperti motosikal,” katanya.

Namun katanya, penggunaan motosikal pula akan membawa kepada kesan langsung yang menyentuh soal keselamatan.

" Ada kajian mengatakan risiko motosikal 28 kali ganda berbanding kenderaan biasa.

“Saya rasa ada isu keselamatan di situ. Tadi kita sentuh soal pengurangan defisit RM 1.1 bilion, tetapi, mungkin negara perlu menanggung kos keselamatan dan penjagaan kesihatan yang lebih tinggi.

“Sebab apabila orang beralih kepada motosikal, ramai yang terlibat dengan kemalangan, jadi, ia akan menyebabkan kos pengurusan kesihatan meningkat. Selain kehilangan produktiviti sekiranya berlaku kemalangan maut dan sebagainya,” katanya.

Semalam, petrol RON97 turut mengalami kenaikan sebanyak 15 sen seliter, namun menurut Ghani, ia tidak menjejaskan pengguna.

“Saya tak rasa kita perlu risau sebab penggunaan RON97 itu mengikut tahap kemampuan. Ada dua sebab, pertama RON97 hanya 3 peratus daripada keseluruhan bahan api yang dijual dan kedua, ia digunakan oleh golongan yang mampu.

“Saya tak fikir itu satu perkara yang akan memberi tekanan kepada kesejahteraan kehidupan atau tekanan ekonomi kepada kumpulan ini. Jadi, saya rasa tak banyak kesan kepada mereka dan untuk ekonomi kita pun tak banyak kesan,” katanya.SH

0 Response to "Naik 20 sen,ini bukan Profesor Kangkung,berani sanggah pendapat Menteri ."

Post a Comment