Terkini

Sinar Harian buat tajuk "PR Perak tolak hudud", tajuk pecahkan Pakatan Rakyat.

Kepada, 
Editor Sinar Harian

Assalamu'alaikum
Pencerahan tentang tajuk Sinar Harian edisi 24/3/2015 "PR Perak tolak Hudud"

1. Dukacita dimaklumkan tajuk sedemikian adalah tidak tepat dalam konteks kenyataan media yang dibuat dan tindakan -tindakan proaktif PR Perak selama ini. Tajuk sedemikian bakal menimbulkan fitnah dan kemungkinan ancaman kepada pihak-pihak yang terlibat.

2. Mesyuarat PR Perak telah dibuat pada 21/3/2015 dan agenda mesyuarat adalah
i) Pengukuhan PR Perak secara khusus dan PR keseluruhannya.
ii) Bantuan kepada 13 penyokong PR yang di penjara lantaran protes di Kuala Kangsar pada 6/2/2009

3. Dalam mesyuarat tersebut, ahli-ahli majlis PR Perak yang beragama Islam telah memperjelaskan bahawa enakmen syariah Kelantan hanya berkuat kuasa kepada orang-orang Islam dan hanya untuk Kelantan. Bahkan kami memaklumkan undang-undang sedemikian hanya boleh berkuat kuasa setelah parlimen meluluskan peruntukan tertentu perlembagaan persekutuan yang menghadkan kuasa-kuasa mahkamah syariah.

4. Mesyuarat pada hari itu juga bersetuju untuk tidak membincangkan merit dan demerit perlaksanaan undang-undang syariah tersebut kerana semua ahli-ahli majlis yang non muslim juga akur bahawa undang-undang syariah adalah termaktub dalam kitab suci Al Quran.

5. Buat makluman PR Perak seawal 26/6/2014 telah menganjurkan sidang meja bulat "Pemahaman undang-undang jenayah syariah" yang dihadiri oleh 70 peserta dan sebahagiannya adalah pemimpin-pemimpin non muslim daripada PKR, DAP dan termasuk wakil-wakil rakyat. Wakil Dewan Ulama PAS Pusat turut membentangkan kertas kerja.

6. Kejayaan PR Perak menerangkan isu-isu undang-undang syariah secara inklusif dan interaktif dapat dilihat melalui testimoni bahawa tidak ada pemimpin-pemimpin non muslim PR Perak yang pernah mempersoalkan apatah lagi menghina hukum hudud. Ini adalah merupakan kejayaan dakwah kami yang berfalsafahkan "Supaya jika pun orang bukan Islam tidak memeluk Islam tetapi mereka tidak memusuhi Islam".

7. Oleh itu persoalan PR Perak tolak Hudud tidak berbangkit. Yang dibincangkan adalah kewajaran mengharmonikan hubungan pemimpin-pemimpin PR di semua peringkat melalui mekanisme sedia ada iaitu "Segala tindakan-tindakan penting oleh parti-parti komponen PR perlulah dibincang bersama melalui majlis Presiden PR Pusat". Peringatan oleh PR Perak supaya Majlis Presiden bermesyuarat dalam isu pembentangan enakmen syariah di Kelantan dan di Parlimen adalah bagi memgelakkan kekeliruan berterusan oleh ahli-ahli penyokong PR.

8. Adapun kenyataan bahawa enakmen syariah tidak berkaitan dengan Perak adalah dengan maksud PR Perak tidak akan membawa enakmen sedemikian di dalam DUN Perak sama seperti Kerajaan PR Selangor (2008 & 2013) dan PR Kedah (2008) tidak berbuat demikian kerana faktor-faktor yang diketahui ramai oleh pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PR. Adakah ini bermakna PR Selangor dan PR Kedah menolak Hudud ? Kami menggesa jangan sesiapa mempolitikkan isu hudud. Dalam konteks Perak, pendekatan praktikal kami adalah berdakwah tentang kelebihan dan kebaikan hukum-hukum Islam termasuk hudud. Kami berkeyakinan apabila masyarakat memahami Islam maka perlaksanaan hukum-hukumnya akan lebih mudah diterima.

9. Kenyataan PR Perak untuk menubuhkan Kerajaan berasaskan paksi TAKWA (Telus,Adil,Kebajikan,Wawasan dan Amanah) adalah konsisten sejak 7 tahun yang lepas yang tentunya bersesuaian dengan perkara-perkara penting dalam perlembagaan seperti Kedaulatan Islam, Raja Melayu, Bahasa Melayu dan Hak-Hak Istimewa Bumiputra.

10. Akhirnya PR Perak mengharapkan PR terus bersatu demi kebaikan dan masa depan rakyat dan negara ini.

Terima Kasih atas kerjasama saudara.
Wassalam.

Dr. Hj. Khairuddin Bin Dato' Abd. Malik
Setiausaha Majlis Pakatan Rakyat Perak


0 Response to "Sinar Harian buat tajuk "PR Perak tolak hudud", tajuk pecahkan Pakatan Rakyat."

Post a Comment