Terkini

Ambil tanah Kampung Mutiara, Batu Ferringhi, Kerajaan DAP tak salah.

 Ini berita tahun sudah. DAP dan PAS  diwakili Yb Dr Mujahid telah membantu penduduk Kampung Mutiara, Batu Ferringhi. DAP negeri tahu , tindakan mengusir penduduk, satu tindakan tidak berhati perut.

GEORGE TOWN, 15 OKT: Tindakan pemilik tanah Kampung Mutiara di Batu Ferringhi, Pulau Pinang mengusir penduduk Kampung Mutiara tanpa sebarang pampasan adalah sesuatu yang bertentangan dengan nilai asas manusiawi,

Dalam kenyataan bersama Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang Zairil Khir Johari dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, masalah pengusiran itu kini dihadapi 48 buah keluarga di Kampung Mutiara yang telah mendiami kawasan tersebut selama lebih 50 tahun,

Menurut kenyataan tersebut, mahkamah sudah membuat keputusan berpihak kepada tuan tanah, dan satu writ pemilikan (writ of possession) telah dikeluarkan bagi mengosongkan rumah-rumah tersebut.

“Kami membantah tindakan tuan tanah yang tidak berhati perut.

“Tindakan untuk mengusir penduduk Kampung Mutiara tanpa sebarang pampasan adalah bertentangan dengan nilai asas manusiawi, khususnya penduduk sudah menetap di kawasan tersebut selama berdekad-dekad,” kenyataan bersama tersebut dipetik.

Tambah kenyataan itu, rundingan telah dibuat bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), wakil rakyat tempatan dan kerajaan negeri.

Masalah penduduk Kampung Mutiara bermula apabila tindakan mahkamah dimulakan pemilik tanah berikutan pembelian tanah tersebut sekitar tahun 2007 dan isu tersebut melibatkan tiga pihak iaitu pemilik tanah, pemaju dan penduduk asal.

Namun, pemilik yang merupakan individu bermastatutin di Selangor tetap meneruskan tindakan undang-undang tanpa menawarkan sebarang pampasan atau ganti rugi.

Pemilik tanah tersebut menang kes di peringkat Mahkamah Rayuan Putrajaya, sekaligus mengakibatkan pengusiran.

Sebelum ini Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Hariszuan Jaharudin berkata, kerajaan negeri telah menyediakan khidmat guaman untuk penduduk asal ketika menghadapi tuntutan pemilik tanah hingga ke peringkat akhir mahkamah.

Menurutnya dari sudut undang-undang, pemilik berhak ke atas tanah tersebut, namun kerajaan negeri melalui MPPP secara pentadbiran tidak akan meluluskan permohonan pelan perancangan pembangunan di atas tanah tersebut sehingga tuntutan penduduk asal diambil kira.

Kerajaan negeri tak dapat kerjasama pemilik tanah, pemaju

Justeru dalam kenyataan bersama Zairil dan Mujahid, keduanya menegaskan bahawa tidak timbul persoalan kerajaan negeri tidak memberikan bantuan.

Ini kerana usaha kepimpinan Pakatan Rakyat Pulau Pinang selama enam tahun kebelakangan ini berjaya mendapatkan pampasan memadai dalam banyak kes yang membabitkan pengusiran setinggan di Pulau Pinang.

“Sebagai contoh dalam kes Kampung Chetty iaitu sebuah kampung juga terletak di Batu Ferringhi, pampasan satu unit rumah kos sederhana rendah tdiberi pemaju sebagai ganti rugi bagi setiap buah rumah yang dikosongkan.

“Dalam kes Kampung Chetty dan kampung-kampung setinggan lain di Pulau Pinang, pampasan biasanya berjaya diperolehi hasil usaha rundingan bersama wakil rakyat, kerajaan negeri, penduduk serta pihak pemaju.

“Malangnya, kerana kes Kampung Mutiara tidak melibatkan pihak pemaju dan kerajaan negeri tidak menerima sebarang permohonan merancang, maka kerajaan negeri tidak mempunyai locus standi untuk campur tangan.

“Dalam erti kata lain, kes ini adalah kes mahkamah antara tuan tanah dan penduduk semata-mata,” kenyataan tersebut dipetik.

Kedua Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Parit Buntar tersebut berharap agar Mahkamah Rayuan dapat mempersetujui permohonan pihak penduduk bagi penggantungan pelaksanaan hukuman (stay of execution) ke atas writ pemilikan yang dikeluarkan.

“Pada masa yang sama, kami akan terus bekerjasama dengan jentera setempat seperti JKKK untuk memberi bantuan dan nasihat kepada penduduk kampung,” katanya. – Roketkini.com

0 Response to "Ambil tanah Kampung Mutiara, Batu Ferringhi, Kerajaan DAP tak salah."

Post a Comment